
Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid telah dinobatkan kepada Hajah Wan Habsah Wan Ahmad yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan terkenal dengan nama Chef Ustazah. Beliau berumur 47 tahun dan telah mendirikan rumah tangga dengan Haji Wan Abdul Fatah Hassan, 50 tahun. Hasil perkahwinan tersebut, mereka memiliki 6 orang cahaya mata.
Beliau melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana muda di Universiti Mu’tah Jordan dalam jurusan Syariah dan Pengajian Islam. Seterusnya, beliau menyambung ke peringkat sarjana menerusi jurusan yang sama. Beliau merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan pernah bekerja di bawah NGO muslim selama 4 tahun sebagai penganalisis. Pada masa yang sama, beliau merupakan pendakwah bebas dan penceramah motivasi kepada pelajar, pekerja dan keluarga. Selain itu, Puan Hajah Wan Habsah pernah mengendalikan rancangan ceramah pilihan di radio Kelantan FM selama 4 tahun. Setelah itu, beliau memulakan perniagaan sendiri di rumah secara sambilan pada tahun 2008 dengan menubuhkan Fatha Marketing. Beliau telah mewarisi kepakaran memasak daripada ibu beliau yang
merupakan pengusaha restoran selama lebih dari 20 tahun dan terkenal di Kota Bharu. Bersandarkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, beliau menimba ilmu dan mengambil pengalaman daripada beberapa usahawan yang telah berjaya dalam menambah baik kaedah pemasaran produk. Usaha gigihnya berhasil, apabila beliau berjaya mengusahakan produk muslim keluarannya sendiri iaitu 13 produk rempah ready-made yang menggunakan nama YHM iaitu Yes Halal atau Rempah Ustazah.
Selain berperanan sebagai pengarah urusan di Syarikat Fatha, beliau juga menjadi jurulatih masakan kepada usahawan, pengusaha katering, suri rumah dan orang awam yang berminat untuk melibatkan diri dalam keusahawanan. Beliau turut menjadi jurulatih kepada beberapa program iaitu kursus motivasi, kursus agama dan keusahawanan serta beliau juga mengendalikan kelas-kelas agama dan Fardhu Ain, Kelas Bahasa Arab dan Kelas Hafazan Al-Quran.
Sejak tahun 2009, Chef Ustazah sentiasa muncul di televisyen, radio, akhbar dan majalah. Beliau turut mempunyai rancangan masakan sendiri di televisyen seperti rancangan Serambi Ustazah di TV1 dan Lazeez Jiddan di TV Al-Hijrah. Selain itu, produk beliau turut mendapat liputan meluas dan didokumentasikan di Selamat Pagi Malaysia TV1, MHI TV3 dan Rancangan Assalamualaikum di TV Al-Hijrah. Pada setiap bulan, beliau akan muncul di Radio IKIM untuk rancangan Inspirasi bagi memberi motivasi kepada masyarakat di luar sana. Kini, Chef Ustazah mempunyai lebih 45 ribu orang pengikut di laman Facebook beliau.
Pada tahun 2016 beliau telah memenangi Anugerah Ikon Usahawan Halal Negeri Kelantan 2016. Selain itu, beliau berjaya merangkul Anugerah Inovasi Kelantan selama 2 tahun berturut-turut iaitu tahun 2018 dan 2019. Manakala tahun 2019 pada tahun yang sama, beliau telah menerima Anugerah Teknopreneur Mardi 2019. Sehingga kini, produk daripada Chef Ustazah telah dikenali ramai baik dalam negara dan luar negara. Beliau telah membawa produk beliau di peringkat antarabangsa iaitu Indonesia, Jepun, Dubai, Jerman, Mesir dan banyak lagi.
