
Ramadan semakin menghampiri, mengetuk pintu hati kita, memanggil-manggil insan yang rindu akan kasih sayang Ilahi. Inilah bulan yang dinanti, bulan di mana pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, dan pintu neraka dikunci rapat. Beberapa hari sebelum tibanya Ramadan bukan sekadar menghitung hari, tetapi saat yang penuh makna untuk kita menyiapkan diri, menyucikan hati dan menyalakan obor keimanan agar bersinar menerangi setiap sudut kehidupan.
Wahai diri, sudahkah engkau bersedia? Sudahkah engkau membasuh hatimu dengan taubat? Bukankah kita ini insan yang sering alpa, yang berkali-kali tersungkur ke dalam lautan dosa? Namun Allah itu Maha Pengampun, seluas lautan kasih sayang-Nya, setinggi langit keampunan-Nya. Taubat bukan hanya kata di bibir tetapi penyesalan yang membasahi hati disertai tekad untuk tidak mengulanginya. Rasulullah SAW, insan suci lagi maksum, beristighfar lebih 70 kali sehari. Maka kita, hamba yang bergelumang dengan noda, mengapa masih bertangguh untuk kembali kepada-Nya?

Ramadan adalah bulan al-Quran, bulan di mana kalam suci ini diturunkan sebagai cahaya yang menyuluh kegelapan jiwa. Alangkah indahnya jika kita menyambut Ramadan dengan mendakap al-Quran sepenuh hati, bukan hanya membacanya, tetapi mendalami setiap bait maknanya. Lihatlah Abdullah bin Mas’ud RA, seorang sahabat yang setiap kali membaca al-Quran, air matanya mengalir deras seakan-akan ayat Allah itu menembusi sanubarinya. Jika para sahabat begitu teguh dengan al-Quran, mengapa kita masih menjauh daripadanya?
Persiapan Ramadan bukan sekadar pada perut yang menahan lapar dan dahaga, tetapi pada hati yang semakin dekat dengan Ilahi. Adakah solat kita sudah khusyuk? Adakah zikir kita sudah meresap ke dalam jiwa? Lima hari ini adalah detik terbaik untuk menghidupkan ibadah, menyuburkan zikrullah, dan memperbaiki hubungan dengan Allah. Bukankah hati yang sentiasa mengingati Allah akan sentiasa tenang? Selain menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia juga harus diperbaiki. Jika ada sengketa, damaikan. Jika ada dendam, leraikan. Hati yang bersih, ibadahnya pun akan lebih bermakna.
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam menyambut Ramadan. Baginda menghidupkan malamnya dengan solat, memperbanyakkan doa dan menggandakan sedekah. Aisyah RA meriwayatkan bahawa saat Ramadan tiba, Baginda akan membangunkan keluarganya untuk bersama-sama beribadah. Ini adalah isyarat bahawa Ramadan bukan bulan untuk berehat, tetapi bulan untuk kita mengerah tenaga demi meraih pahala yang berlipat kali ganda.
Lihatlah bagaimana para ulama terdahulu menghidupkan Ramadan mereka. Imam Asy-Syafi’i, seorang mujtahid agung, mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam Ramadan. Saidina Umar al-Khattab pula bukan sahaja menjaga ibadahnya tetapi juga memastikan rakyatnya tidak kelaparan kerana Ramadan bukan hanya tentang hubungan dengan Allah tetapi juga tentang kasih sayang kepada sesama manusia.

Lima hari sebelum Ramadan ini adalah peluang keemasan untuk kita bermuhasabah. Jangan biarkan detik-detik ini berlalu dengan sia-sia. Bersihkan hati dengan taubat, suburkan jiwa dengan al-Quran, eratkan kasih sayang dengan manusia dan contohi mereka yang telah berjaya menyelami kemanisan Ramadan. Para salafussoleh menyambut kehadiran Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan banyak berdoa kepada Allah.
Mereka berdoa supaya direzekikan bertemu Ramadan dan diberikan keberkatan, keimanan, keselamatan untuk menempuhi Ramadan dengan ibadah-ibadah yang diterima.
Antara doa yang diriwayatkan adalah doa ini.
DOA MENYAMBUT BULAN RAMADAN
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya : Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).
[Diriwayatkan oleh Imam Tabrani dalam Kitab al-Du’a (913)]
Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi lembaran baru yang paling indah dalam hidup kita. Bulan yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi saat di mana hati kita kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Semoga setiap hela nafas kita dipenuhi dengan zikrullah. Setiap sujud kita semakin mendekatkan diri kepada-Nya dan setiap amal yang kita lakukan menjadi penyebab terampunnya segala dosa. Biarlah Ramadan ini membakar kealpaan, menerangi jalan taqwa dan membentuk kita menjadi hamba yang lebih bersyukur, lebih bersabar serta lebih mencintai akhirat. Ya Allah, jadikanlah Ramadan ini yang terbaik dalam hidup kami yang membawa keberkatan dunia dan akhirat. Ameen, ya Rabbal ‘Alamin.