Copy Of Try (8)

 Islam telah mengangkat martabat serta darjat para wanita dan mengiktiraf peranannya selari dengan dasar Membangun Bersama Islam. Sejarah telah merekodkan bahawa Sayyidatina Khadijah, isteri Rasulullah S.A.W adalah antara individu yang penting dalam mendokong kerja dakwah Rasulullah S.A.W, malahan sanggup mengorbankan diri dan harta bagi memastikan Islam dapat disebarkan ke serata alam. Surah An-Nisa’, surah yang keempat dalam Al-Quran membawa mesej bahawa Islam mengangkat darjat seorang wanita.

Peranan wanita sebagai ibu, pendidik dan penggerak masyarakat amat penting dalam membawa perubahan kepada pembangunan masyarakat dan tamadun bagi sesebuah negara. Sumbangan aktif kaum wanita terhadap pembangunan negeri dan negara perlu disedari dan dihargai oleh masyarakat.

Semenjak tahun 1990, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan pelbagai program dan penganugerahan kepada wanita Kelantan dengan penganjuran program seperti Hari Wanita Kelantan, Hari Ibu Mithali, Hari Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan, Hari Suri Mithali, Hari Polis, Hari Ibubapa, Sambutan Hari Jururawat, Sambutan Hari Guru dan pelbagai sambutan bagi menghargai jasa bakti mereka terhadap keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

Bermula pada tahun 2015, nama Hari Wanita Kelantan telah ditukarkan kepada nama Hari Sayyidatina Khadijah. Sebelum ini, Hari Sayyidatina Khadijah telah disambut setiap tahun di peringkat 45 Dewan Undangan Negeri (DUN), kawasan parlimen dan di peringkat negeri.

Program Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah atau ringkasnya HSK ini adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan untuk menghargai sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh wanita khususnya wanita Kelantan sepanjang 34 tahun pentadbiran Kerajaan Membangun Bersama Islam dibawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, disambung pula di bawah pentadbiran YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Bin Yakob bermula pada tahun 2013 dengan tema “Merakyatkan Membangun Bersama Islam” sehingga tahun 2023. Kemudian, legasi ini diteruskan di bawah pentadbiran YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin bin Haji Daud dengan tema “Penghayatan Membangun Bersama Islam” bermula 2023 sehingga sekarang.

Buat julung kalinya sambutan HSK 2023 ini menampilkan 3 buah pelancaran iaitu Dasar Wanita Solehah Negeri Kelantan, Manual HSK dan logo Genius Abqariah. Dasar Wanita Solehah Negeri Kelantan merupakan asas dan halatuju pembangunan wanita Negeri Kelantan dalam memenuhi aspirasi, agenda, mendepani cabaran dan tuntutan wanita semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sebanyak 21 Sektor Wanita yang merangkumi 14 Hak dan Tanggungjawab Wanita telah diperincikan dan bakal dilaksanakan melalui Pelan Tindakan Gagasan Wanita Kelantan (Solehah).Seterusnya, Manual HSK iaitu sebuah penyelidikan pengurusan organisasi cakna wanita Kelantan mengandungi 39 tatacara pengurusan acara yang dirangkumkan dalam  8 jilid. Pelancaran terakhir adalah Logo Genius Abqariah. Genius Abqariah merupakan sebuah inisiatif untuk mengumpulkan profail wanita Kelantan cemerlang dalam bidang masing-masing secara berpusat dan sistematik agar kemahiran dan tenaga yang ada dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan negeri dan negara.

HSK terus diraikan setiap tahun dengan pelbagai pengisian bermakna. Pada tahun 2024, program HSK membawa kelainan apabila projek istimewa dilancarkan iaitu “Projek Emas Untuk Palestin”. Projek ini bertujuan untuk mengumpul dana dan menyumbang kepada pembangunan serta kebajikan saudara-saudara kita di Palestin. Langkah ini bukan sahaja mencerminkan semangat solidariti umat Islam, tetapi juga melambangkan keprihatinan wanita Kelantan terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Kemuncak acara yang berlangsung pada setiap tahun ini akan diadakan penganugerahan kepada tokoh-tokoh dan ikon yang menjadi ikutan semasa. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tokoh-tokoh yang diraikan, sila rujuk pautan yang disediakan dalam Buku Program Rasmi HSK.

Buku Program:-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *