WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.28 PM (2)

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Walaupun Zawati Yusoff dikategorikan sebagai insan yang tidak sempurna dari sudut fizikal, namun ianya tidak menjadi halangan untuk beliau menyumbangkan tenaga, memberi ilmu kepada pelajar (seorang guru) dan memberikan sokongan kepada masyarakat.

Pendidikan menengah beliau bermula di SMU (A) Kedai Buloh pada tahun 1986. Seterusnya, beliau meneruskan pengajian di SMU (A) Maktab Pengajian Islam peringkat SPM dan menyambung pengajian di SMU (A) Maahad Muhammadi (P) peringkat STPM. Beliau meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Minat yang mendalam dalam bidang perguruan, mendorong beliau untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) pada tahun 2005.

Kekurangan fizikal tidak menghalang beliau dalam melibatkan diri dengan memberi sumbangan kepada masyarakat. Beliau bergiat aktif berkhidmat sebagai guru kelas fardhu ain dari tahun 1991 – 1994 di masjid atau surau secara sukarela dan berkhidmat di bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan  sebagai   guru quran   semenjak  tahun  2009 sehingga sekarang. Beliau juga banyak terlibat dengan aktiviti Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) bersama murid-murid istimewa dengan membantu serta memberi sokongan.

Beliau mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana ianya bukan mudah untuk mengajar murid-murid OKU yang mempunyai pelbagai masalah pembelajaran seperti Sindrom Down dan Autisme. Selain itu, beliau melibatkan diri dalam aktiviti persatuan sukan dan kebajikan OKU Anggota Negeri Kelantan dengan menyelesaikan permasalahan OKU Kelantan.                                                                                             
Bakat dan minat serta kebolehan beliau dalam bidang perguruan telah melayakkan beliau menerima pelbagai hadiah dan penghargaan di peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. Antara anugerah yang telah diperolehi ialah Anugerah Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya peringkat negeri Kelantan pada tahun 2010 dan Anugerah Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Kelantan pada tahun 2016. Seterusnya, beliau menerima Pencalonan Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan pada tahun 2017.                                                                                                       
Beliau turut berjaya menterjemahkan buku dalam Bahasa Arab ke Bahasa Melayu bertajuk Qissasul Al-Hayawan Fi Al-Quran oleh Ahmad Behjat dan kemudian diterbitkan oleh JAKIM. Beliau juga menghasilkan beberapa modul PDP untuk murid pendidikan khas seperti Modul Wuduk dan Solat, Modul Keusahawanan Pendidikan Khas, Modul Terapi Al-Quran dan lain-lain lagi. Di atas sumbangan dan pencapaian beliau, maka selayaknya beliau dinobatkan sebagai Tokoh Zinnirah Ar-Rumiyah (HSK 2021).      

        

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *