D477e41d 5215 4b5e Aa65 C41a9d60f73d

Budimu disanjung, Jasamu dikenang.

Penerima Anugerah Jasamu Dikenang, Allahyarham Mariani Sulaiman dilahirkan pada 1 Mac 1968. Anak kelahiran jati Kelantan ini pada waktu hidupnya adalah merupakan pasangan kepada Roslan Ismail dan dianugerahkan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Nadhirah Roslan, dan Nur Aliyah Roslan. Kedua-dua orang anak perempuannya berkelulusan peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Beliau memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Menengah Teknik Alor Star peringkat SPM. Menyedari betapa perlunya memiliki tahap pendidikan yang tinggi, pada tahun 1987 sehingga 1988 beliau meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara. Kemudian, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan HKL, Diploma Kejururawatan pada tahun 1989 sehingga 1991. Pada tahun 2001 sehingga 2004, beliau meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia, kelulusan Ijazah Sarjana Muda.

‘Umpama orang mengantuk disorongkan bantal’, itulah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan perasaan beliau tatkala menerima surat tawaran untuk menjadi seorang jururawat. Nampaknya, impian untuk bergelar seorang jururawat sudah tercapai. Khidmat baktinya sebagai jururawat bermula di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian (HUSM) pada tahun 1992 sehingga 2020 sebagai ketua jururawat.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menjadi petugas haji sepanjang dua tahun berturut-turut pada tahun 2007 dan 2008 dalam bidang perubatan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji di Mekah. Selain itu, beliau menjadi ahli badan kebajikan dan ahli koperasi di HUSM. Seterusnya, beliau juga merupakan Biro Pendidikan Kejururawatan HUSM dan menyertai Persatuan Jururawat Malaysia.                                                                                     
Sesiapa yang mengenalinya akan mengatakan beliau seorang jururawat yang berdedikasi, penyayang dan mudah didekati di kalangan kakitangan HUSM dan pesakit. Selain itu, beliau seorang yang tegas dan menjadi contoh kepada kakitangan HUSM serta seorang yang bijak menguruskan masalah melibatkan staf dan pesakitnya. Sepanjang perkhidmatannya, beliau menerima Anugerah Maal Hijrah pada tahun 2009 dan menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 2006 dan 2016. Beliau juga menerima Anugerah Sanjung Budi.                                                                           
Pada tahun 2020, negara kita dilanda pandemik COVID-19 yang menyebabkan para petugas barisan hadapan terpaksa sentiasa bersiap siaga berkhidmat tanpa mengira waktu dan penat lelah. Akhirnya, pada 15 Disember 2020, seorang petugas barisan hadapan, Mariani Sulaiman telah gugur meninggalkan kita semua akibat jangkitan COVID-19. Beliau difahamkan positif COVID-19 sewaktu melakukan kerja-kerja mengesan kontak rapat pesakit. Setelah dua puluh sembilan tahun menabur bakti sebagai seorang jururawat, beliau akhirnya pergi untuk selama-lamanya ketika berusia 52 tahun. Semoga amal beliau sebagai seorang jururawat dan petugas barisan hadapan hingga mengorbankan nyawanya akan dinilai oleh Allah serta rohnya ditempatkan di kalangan para syuhada’ dan orang soleh. Al-Fatihah.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *