Lazuli Real Estate

Bapa atau golongan lelaki ialah seorang individu yang penting dalam institusi kekeluargaan. Seperti yang sedia maklum, kecemerlangan sesebuah keluarga dari segi akhlak, adab, ilmu dan keterampilan turut memberi kesan kepada kecemerlangan sesebuah institusi atau negara.  Seorang bapa atau golongan lelaki merupakan pemimpin yang bertanggungjawab untuk membimbing isteri dan anak-anaknya mengikut acuan yang telah digariskan dalam ajaran Islam.  Oleh yang demikian, Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Kerajaan Negeri Kelantan telah melancar Program Big Hero sebagai salah satu kaedah bagi merealisasikan perkara tersebut.

Program Big Hero telah dilancarkan pada 20 Februari 2020 bertempat di Dewan Balai Islam Lundang bertujuan untuk melahirkan golongan lelaki yang profesional dalam menyeimbangkan urusan rumah tangga dan kerjaya dalam usaha melahirkan masyarakat harmoni dan sejahtera.

Program ini adalah penjenamaan baharu kepada Kursus Kecemerlangan Keluarga dan Kerjaya (Lelaki) yang telah diadakan sebelum ini. Paling istimewa dalam program ini adalah Penyampaian Anugerah Khas kepada Tokoh Big Hero Kelantan iaitu pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan Negeri kepada ayah dan suami yang sanggup berkorban menjaga isteri sakit dan keluarga masing-masing. Bagi memeriahkan lagi program Big Hero ini, turut diselitkan beberapa aktiviti lain seperti persembahan nasyid, ceramah motivasi, pemeriksaan kesihatan, kaunter KWSP dan lain-lain.

Kategori Anugerah Ayah Cekal iaitu anugerah yang diberikan kepada bapa tunggal yang mendidik anak-anak sehingga berjaya, manakala Anugerah Suami Budiman iaitu anugerah yang diberikan kepada suami yang menjaga Isteri atau anak yang sedang sakit terlantar atau dalam keadaan kurang upaya untuk bergerak sendiri sepanjang hayat.

Penerima anugerah Suami Budiman:

1. Nik Raihan Nik Abd Rahman berusia 67 tahun menjaga isterinya yang mengalami strok hampir 20 tahun. Mempunyai 7 orang anak.

2. Fairol Hazri Rahim mejaga isterinya yang strok hampir 2 tahun dan mempunyai 4 orang anak

3. Hil Juhari Bin Zakaria menjaga isterinya yang strok hampir 11 tahun dan mempunyai 4 orang anak.

4. Seliman Bin Mamat berusia 59 tahun yang baru sahaja kehilangan isterinya setelah menjaga hampir 11 tahun mengalami strok dan mempunyai 6 orang anak

5. Ahmad Talhah Bin Ab Rahman menjaga isterinya hampir 8 tahun yang mengalami koma dan mempunyai 3 orang anak.

Penerima anugerah Suami Cekal:

1. Mohd Subri Bin Hussain telah kehilangan isteri pada tahun 2014 dan membesarkan 10 orang anaknya sendirian.

2. Mohd Zain Abdullah membesarkan 7 orang anak dan 3 daripadanya adalah OKU

3. Mohd Zabri Bin Zakaria yang bekerja sebagai penoreh getah mempunyai 6 orang anak dan seorang anaknya mengalami kanser otak

4. Maharudin bin Mat berusia 54 tahun mempunyai 6 orang anak yang masih bersekolah

5. Mahassan b Awang mempunyai 7 orang anak dan seorang daripadanya OKU.

Setiap dari penerima mempunyai kisah hidup yang pelbagai mendepani cabaran sama ada isteri telah pergi dahulu mengadap ilahi atau diuji sakit yang memerlukan perhatian rapi. Namun yang pasti, mereka ini tetap teguh disamping isteri tercinta dalam mengharungi dugaan yang datang. Berhempas pulas memastikan anak-anak mendapat pembelaan dan pendidikan sewajarnya. Sewajarnya, mereka ini wajar dijadikan contoh buat para suami dan bapa lain di luar sana kerana telah memainkan peranan sewajarnya selaku pemimpin keluarga.

Rasulullah S.A.W juga telah menjelaskan hak-hak lelaki ke atas kaum wanita pada peristiwa arafah tanggal 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah ialitu sebelum kewafatannya di dalam khutbah wida’(perpisahan) ;

Dan takutlah kamu kepada Allah di dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah”Riwayat Muslim

Intisari petikan khutbah ini menjelaskan bahawa wanita itu ialah amanah daripada Allah ke atas kaum lelaki.

Seorang lelaki itu mempunyai hak keatas seorang wanita dibawah tanggungjawabnya. Sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam. Setiap lelaki itu akan dipertanggungjawabkan kepadanya terhadap 4 golongan wanita;

#1- Ibunya

Ibu ialah orang yang sangat berjasa dan banyak berkorban untuk kita. Bermula sejak mengandungkan, melahirkan dan membesarkan.

Ibu sememangnya adalah orang yang selayaknya untuk diberi penghormatan. Menjadi tanggungjawab anak lelaki untuk menjaga dan memelihara ibunya.

Muslim women hugging each other

#2- Isterinya

Apabila berumahtangga, lelaki akan menjadi ketua keluarga. Allah menegaskan di dalam al-quran tentang tanggungjawab lelaki di dalam memimpin kaum wanita.

Sekiranya ketua keluarga menjalankan tanggunngjawabnya, rumahtangga pasti akan menjadi harmoni. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud;

Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu berhala..”

Sumber Gambar kr.123rf.com

#3- Anak Perempuan

Apabila lelaki berkahwin dan dikurniakan cahaya mata. Maka dia juga bertanggungjawab di dalam menjaga dan mendidik anak perempuannya. Anak perempuan perlu diberi lebih perhatian kerana sifatnya yang lemah lembut dan juga mudah terpengaruh.

Didiklah anak perempuan dengan mengajarkannya batas-batas di dalam agama yang seharusnya diikuti bagi kaum perempuan.

Berwasiatlah untuk para wanita kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk dan yang paling bengkok dari bahagian tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Jika engkau ingin meluruskan tulang rusuk tersebut maka engkau akan mematahkannya, maka jika engkau membiarkannya maka akan tetap bengkok, maka berwasiatlah untuk para wanita ”Hadis Riwayat Abi Hurairah R.A

#4- Saudara Perempuan

Apabila seorang wanita itu telah kehilangan ayah ataupun ketiadaan suami. Maka adalah menjadi kewajipan kepada saudara-saudara lelakinya untuk mengawasi dan menjaga maruah saudara-saudara perempuannya. Allah berfirman yang bermaksud;

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”Surah Taha: 132

Sebagai seorang ketua, suami kepada isteri, ayah kepada anak perempuan, saudara lelaki kepada saudara perempuannya, kamu lelaki seharusnya memahami hak-hak wanita di bawah tanggungjawabnya. Mereka hendaklah menjaga, mendidik mereka dengan penuh kasih sayang dan memperjuangkan mereka sekiranya mereka dianiaya dan dizalimi.

Tahniah buat semua penerima Anugerah Big Hero. Anda Si Hero, Pelindung Para Wanita

Disediakan oleh PRO U-KeKWa dengan tambahan dari sumber https://tzkrh.com/wahai-lelaki-kamu-adalah-sebaik-perlindung-kaum-wanita/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *