Wanitakelantan.com (2)

Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kita kesempatan menunaikan ibadah Ramadan bulan penuh keberkatan, keampunan dan rahmat. Kini, kita telah melangkah ke hari-hari Syawal, dalam suasana yang masih diraikan dengan bersilaturrahim dan pertemuan keluarga. Namun, dalam kemeriahan ini, kita wajar bertanya: Apakah benar kita telah memperoleh kemenangan yang hakiki?

Ramadan telah berlalu, meninggalkan kita dengan kenangan malam-malam qiyam dan siang hari yang penuh mujahadah. Tetapi, apakah kesannya benar-benar terasa pada hati dan jiwa kita? Adakah puasa yang kita tunaikan sekadar menahan lapar dan dahaga, atau ia telah menyuburkan taqwa dalam diri?

Sesungguhnya, Allah tidak menilai sambutan Syawal kita melalui jumlah juadah atau persalinan baharu, tetapi dengan sejauh mana kita mampu meneruskan amal soleh, serta menjaga nilai ketakwaan yang telah diasuh sepanjang Ramadan. Kata para salaf: “Bukanlah Hari Raya itu bagi mereka yang berpakaian baharu, tetapi Hari Raya adalah bagi mereka yang ketaatannya kepada Allah semakin bertambah.”

Sayyidina Ali RA: Teladan dalam Rasa Syukur dan Zuhud

Pada suatu petang di akhir Ramadan, Sayyidina Ali bin Abi Talib RA pulang ke rumah dalam keadaan berwajah muram. Sayyidah Fatimah RA, isterinya, bertanya dengan penuh prihatin, “Mengapa engkau kelihatan sedih, wahai suamiku? Sedangkan takbir kemenangan bakal bergema.” Sayyidina Ali menjawab dengan lembut. Bukan kerana keletihan, tetapi kerana hatinya berat berpisah dengan Ramadan. Beliau kemudian memohon untuk menyedekahkan semua bekalan makanan yang ada di rumah. Katanya, “Ramadan telah mengajar kita betapa pedihnya rasa lapar. Maka segala puji bagi Allah yang mengurniakan kita makanan hampir setiap hari.” Petang itu, sebelum masuknya Syawal, Sayyidina Ali keluar membawa bekalan gandum dan kurma, lalu mengagihkannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim. Inilah erti syukur sebenar — bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Kerisauan Para Salaf: Amal Diterima atau Ditolak?

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Lathaif al-Ma’arif menyatakan bahawa generasi awal umat ini bukan sahaja tekun dalam beramal, bahkan mereka lebih bimbang amal mereka tidak diterima, berbanding mereka yang tidak beramal. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun: 60: “Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan, dengan hati yang takut (kerana mereka tahu) bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.” Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, adakah ayat ini berkaitan dengan orang yang berdosa?” Baginda menjawab, “Tidak. Bahkan mereka adalah orang-orang yang solat, berpuasa dan bersedekah, namun tetap takut amal mereka tidak diterima.” (Riwayat Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi).

Sayyidina Ali RA pernah berkata, “Jadilah orang yang lebih risau sama ada amal diterima atau tidak, berbanding hanya sibuk melakukan amal.” Fadhalah bin Ubaid RA berkata, “Jika aku tahu bahawa Allah menerima satu amal daripadaku walaupun sebesar biji sawi, maka itu lebih aku sukai daripada dunia dan seluruh isinya.” Mu‘alla bin Fadl pula menyatakan bahawa para sahabat akan berdoa selama enam bulan sebelum Ramadan agar dapat bertemu dengannya, dan enam bulan selepasnya agar segala amal mereka diterima oleh Allah SWT.

Raya: Hari Gembira, Tapi Hati-hati dalam Gembira

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menyampaikan khutbah pada pagi Aidilfitri dengan menyebut, “Wahai manusia, kamu telah berpuasa kerana Allah selama tiga puluh hari, dan kamu telah bangun qiyam selama tiga puluh malam. Maka pada hari ini, kamu keluar dengan harapan agar Allah menerima amal kamu.” Seorang sahabat pernah ditanya mengapa beliau menangis di pagi raya. Jawabnya, “Ini memang hari kegembiraan. Tetapi aku hanyalah seorang hamba yang diperintahkan untuk beramal. Aku tidak tahu sama ada amalanku diterima atau ditolak.” Wahb bin al-Ward melihat orang tertawa di pagi raya lalu berkata, “Jika puasa mereka diterima, sewajarnya mereka tunduk dan bersyukur. Jika tidak, bagaimana mereka masih mampu tertawa?” Ibnu Mas‘ud RA pernah menyatakan, “Sesiapa yang amalannya diterima pada malam ini, maka tahniahlah buatnya. Tetapi siapa yang amalnya ditolak, maka takziahlah kepadanya.”

Fenomena Tarian dan Trend Tidak Wajar Sempena Aidilfitri

Dalam era media sosial masa kini, tidak dinafikan bahawa ramai anak muda berlumba-lumba mencipta dan mengikuti pelbagai trend sempena Hari Raya. Namun, perlu ditegaskan bahawa Aidilfitri bukanlah medan untuk berpesta tanpa batas, apatah lagi dengan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan adab Islam seperti menari, berjoget, atau membuat aksi yang melalaikan hanya demi tontonan dan hiburan. Tindakan sebegini bukan sahaja menyongsangkan makna sebenar Aidilfitri, malah mencacatkan roh ibadah yang telah dibina sepanjang Ramadan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan diampunkan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari). Ulama mengingatkan bahawa perbuatan melampau dalam bergembira boleh membawa kepada kelalaian dan akhirnya mencemarkan kemuliaan Syawal. Maka, sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan dalam batas syarak — menjaga aurat, tingkah laku, serta tidak menjadikan platform maya sebagai tempat untuk menzahirkan perkara yang tidak bermoral.

Penutup: Syawal dan Ujian Istiqamah

Sesungguhnya, Syawal bukanlah noktah kepada amal ibadah, tetapi ia adalah permulaan kepada ujian istiqamah. Ujian untuk mengekalkan amal soleh yang telah dibina dalam suasana Ramadan. Ujian untuk terus kuat walaupun tanpa suasana tarawih dan tadarus secara berjemaah. Apakah kita masih mampu menjaga solat sunat seperti sebelumnya? Masih bangun malam? Masih tekun membaca al-Quran? Itulah tanda sebenar kemenangan. Kemenangan bukanlah pada pakaian baharu atau jamuan yang lazat, tetapi pada hati yang terus kekal tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Semoga Allah menerima segala amal kita, dan mengurniakan kepada kita kekuatan untuk istiqamah.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu ‘am wa antum bi khair.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *