66851741 2817583354981200 6874464296802189312 N

Taman Etnobotani Gua Musang 18 Julai 2019

Firman Allah swt

Bismillahirahmanirrahim

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.

(Surah Al-Maidah : 2)

Kes kematian mendadak 15 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang akibat komplikasi demam campak pada bulan Mei yang lalu tidak pernah berlaku dalam masyarakat berkenaan.

Kejadian boleh dianggap sejarah hitam bagi masyarakat Orang Asli dan satu perkara yang luar biasa. Kematian keluarga terdekat turut memberi kesan emosi secara langsung pada ahli keluarga dan komuniti Kaum Batek.

Bukan mudah untuk mereka melupakan kesedihan apabila seorang demi seorang ahli keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga meninggal dunia di depan mata.

Isu kematian, penyakit yang sedang di hadapi dan berada di penempatan yang asing bagi mereka sudah pasti memberi kesan psikologi yang mendalam bagi warga Kuala Koh. Sebahagian dari mereka terpaksa berpisah dengan ahli keluarga yang masih tinggal di kampung. Ini juga mempengaruhi emosi para penghuni di  pusat penempatan ini.

Warga Kaum Batek yang di tempatkan sementara di Pusat Penempatan Sementara Taman Etnobotani Gua Musang memberi ruang dan peluang kepada beberapa pertubuhan untuk sama-sama memberi sokongan psikologi kepada mereka. Pertubuhan Misi Kembara Dakwah MKD dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat  Kelantan (MESRA) telah bekerjasama mengadakan program  di sini.

Penempatan mereka di sini adalah perlu untuk mengawal penyakit dari merebak dan memudahkan Pusat Kesihatan Daerah merawat dan memberi pendidikan kesihatan dan kebersihan.

Misi Kembara Dakwah dan  MESRA telah berganding bahu melaksanakan program  bagi mengisi slot sokongan psikologi. Program bermula jam 9 pagi hingga 1 tengahari telah mendapat sambutan semua penghuni di sini. Jabatan Hal Ehwal Agama dan Istiadat Kelantan (JAHEAIK) sebagai tuan rumah juga turun membantu dalam pengisian program.

Semasa kami tiba kelihatan bebarapa anak muda orang asli sedang menyapu  dan menyusun kerusi di dewan . Seawal jam 8.30 pagi  penghuni PPS telah mula berkumpul di dewan untuk sarapan. Mereka  beratur mengambil makanan dan makan dengan tertib dibantu oleh pasukan JPAM dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Penghuni diajar untuk membasuh pinggan sendiri menggunakan sabun sambil diperhatikan oleh anggota JPAM. Asas kebersihan dalam kehidupan harian perlu dititikberatkan supaya wabak penyakit tidak berulang lagi. Latihan ini perlu diajar berulangkali dan untuk permulaan perlu juga dipaksa supaya ia menjadi satu tabiat yang akan sentiasa diamalkan apabila pulang ke kampung nanti.

Sebaik selesai sarapan kami terus mengumpul penghuni di depan pentas utama dengan menayangkan video lagu kanak-kanak dan juga lagu-lagu nasyid. Warga Kuala Koh memang berbakat dalam nyanyian. Sesi pemanasan telah dimulakan oleh Pegawai JAHEIK dengan lagu-lagu pendidikan. Sesi yang memang diminati oleh kanak-kanak maupun orang dewasa.

Seramai 60 orang kanak-kanak yang berumur antara 4 tahun hingga 12 tahun  telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang di susun. Demonstrasi cuci tangan, muka dan gosok gigi telah dilaksanakan sebaik saja selesai edaran kit kebersihan yang telah disumbangkan oleh MESRA. Walaupun sesi ini telah di jalankan sebelum ini, ia masih perlu dibuat berulangkali .

Kelihatan anak-anak sungguh gembira dengan slot kebersihan ini. Tambahan pula apabila mereka dapat kit kebersihan secara percuma.  Kit kebersihan ini mengandungi sabun mandi, shampoo, ubat gigi, berus gigi, sikat, ketip kuku dan tuala muka.

Mewarna dan melukis adalah salah satu cara untuk menyokong psikologi mangsa-mangsa tragedi. Pakar-pakar psikologi menggunakan kaedah ini untuk menilai  status emosi mangsa dan rawatan lanjut boleh diberikan. Sesi pagi yang singkat ini kami isi dengan slot mewarna untuk kanak-kanak. Ibu-ibu ada yang turut membantu. Kami biarkan saja, inilah masanya kita dapat perhatikan mereka. Dengan masa yang singkat dan pemerhatian dapat dilihat keadaan emosi mereka yang makin stabil .

Anak-anak muda terutama pemuda Kuala Koh suka menyanyi. Acara telah diselang seli dengan slot nyanyian lagu – lagu kesukaan orang asli.

Wanita dan kecantikan berpisah tiada. Slot kecantikan dan kesihatan mendapat sambutan para beliawanis dan ibu-ibu . Mereka di ajar cara mencuci tangan dan muka. Bedak kompak dan lipstik mampu menarik mereka. Para sukarelawan menunjuk  cara berhias yang betul. Keutamaan dan kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan menjadi pengisian utama pada kali ini. Mendidik wanita Kaum Batek perlu di jadikan misi dalam perancangan masa akan datang. Wanita yang bijak dan pandai menguruskan kebersihan adalah tonggak dalam memastikan kesihatan warga Kuala Koh terjamin.

Sebelum program berakhir semua warga Kuala Koh di sini sama-sama di ajar berdoa dan dihiburkan dengan nasyid yang mendidik .

Keseronokan jelas kelihatan. Adakah keseronokan ini akan berkekalan . Bagaimana mereka akan lalui kehidupan mereka apabila  pulang ke kampong halaman mereka. Program sokongan dan pendidikan  perlu diteruskan dan dibuat secara berkala. Kelebihan kepada pertubuhan  Misi Kembara Dakwah apabila sudah kerap kali melaksanakan program-program di Kuala Koh. Kehadiran ahli  MKD yang telah dikenali memudahkan kerja-kerja sokongan dilakukan.    

Dr Wan Martina Wan Yusoff
Aktivis Kemasyarakatan Orang Asli Ikon Kemasyarakatan Kerajaan Negeri Kelantan  2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *