MAZIDAH

Tanggal 9 April 1973, iaitu 50 tahun yang lalu lahirlah seorang puteri yang diberi nama Mazidah binti Muhammad. Beliau sekarang menetap di Baitun Nuur Kg Takang, Kota Bharu bersama suami dan 7 orang cahaya mata yang masih belajar. Suaminya Dr. Norhisyam bin Md Nawi merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan. Mazidah telah mendapat pendidikan di peringkat menengah di Maahad
Muhammadi Perempuan Kota Bharu. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di UIA dalam bidang Sarjana Muda Bahasa Arab dan Diploma Pendidikan. Seterusnya, beliau berjaya mendapat kelulusan Sarjana
Pendidikan (Perkembangan Kurikulum) di Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada tahun 1999 hingga 2005 di Kolej Teknologi Darul Naim di Pengkalan Chepa. Setelah itu, beliau
berkhidmat pula di Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan sebagai Penolong Pengarah Wanita. Setahun kemudian, beliau mendirikan rumah tangga dan telah memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.


Beliau memilih untuk menumpukan sepenuhnya kepada pembinaan keluarga muslim yang unggul di rumah di samping menjadi penulis sambilan dan juga sesekali sebagai penceramah bebas. Mazidah bersama suami sangat komited dalam aktiviti pendidikan kekeluargaan. Beliau dan suami bermula dengan pendidikan di peringkat keluarga sendiri, kemudian dikongsi dan disebarkan kepada komuniti
seterusnya sehingga ke peringkat negeri.

Menggunakan tagline untuk keluarganya #BersamaDiSyurga, beliau dan suami berkongsi falsafah, visi dan misi yang jelas untuk keluarga mereka. Visi mereka adalah menjadikan Baitun Nuur iaitu kediaman
mereka sebagai pusat perkembangan pendidikan, pentarbiahan dan pengislahan keluarga muslim melalui pembentukan rumah tangga muslim mithali, manakala misi mereka pula adalah membina dan
membentuk sebuah rumahtangga muslim contoh melalui perancangan yang sistematik dan usaha serta amalan yang berterusan. Fokus untuk memulakan pendidikan dan pembelajaran dari rumah,
Mazidah sentiasa mendokumentasikan setiap perjalanan dan pencapaian hidup anak-anaknya dalam fail yang tersimpan rapi di arkib peribadi rumahnya. Uniknya, setiap tahun keluarga mereka akan
mempunyai Perancangan Tahunan Strategik dan membuat perancangan rapi untuk aktiviti keluarga mereka. Semenjak anak mereka menginjak usia remaja, perancangan strategik ini disediakan oleh anak mereka sepenuhnya dengan pantauan oleh Mazidah dan suami. Aktiviti merangka pelan strategik ini adalah untuk melatih anak-anaknya melibatkan diri dalam dunia organisasi di masa akan datang.


Mazidah sangat aktif menyampaikan ceramah motivasi khususnya motivasi kekeluargaan sama ada secara bersemuka atau atas talian. Di samping berceramah, beliau juga aktif menulis di media sosial dengan
memfokuskan kepada pendidikan anak-anak dan keluarga. Minat yang mendalam dalam bidang pengumpulan dan pendokumentasian ilmu mendorong beliau untuk menulis tiga buah buku iaitu Indahnya Pendidikan Awal Anak Cara Islam, Modul Keluarga Mawaddah dan Pendidikan Cuti Sekolah. Selain itu, beliau juga turut menjadi rujukan ramai pihak dan terlibat sebagai panel penggubal dasar seperti menjadi Dasar Anak Yatim, Dasar Kanak-kanak Fitrah, Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan, Dasar Warga Emas Mukramun dan Dasar Wanita Solelah.


Mengambil contoh tokoh inspirasi sepanjang zaman iaitu Ummul Mukminin Sayyidatina Hafsah Umar yang teliti dan menjadi penyimpan utama khazanah berharga umat Islam kitab suci Al-Quran, Mazidah
percaya dengan pendokumentasian yang tersusun dan teliti akan dapat menjaga serta mewariskan ilmu itu pada generasi akan datang selain manfaatnya juga boleh dikongsi ramai. Komitmen dan kesungguhan
yang ditunjukkan oleh Tokoh Sayyidatina Hafsah ini wajar dicontohi oleh para ibu dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu dan mempunyai jati diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *