Kategori NGI Cakna
Berpegang kepada hadis Rasulullah SAW “Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat bagi orang lain”, pengasas Dapur Ramadhan (DR) ini menginfakkan masa, tenaga dan wang ringgit demi membantu masyarakat yang memerlukan. Bertitik tolak daripada sumbangan RM 10, 000.00 daripada seorang hamba Allah, beliau mula mengusahakan satu ruangan kecil di belakang rumahnya yang diberi nama Dapur Ramadhan (DR) yang mula beroperasi pada bulan Ramadhan 2017. Beliau yang dimaksudkan ialah Zarina binti Mohd Zawawi atau lebih dikenali sebagai “Kak Na” oleh penduduk kampung Bukit Gading, Tanah Merah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lemal, Pasir Mas sebelum melanjutkan pendidikan tertinggi di Institut Teknologi Mara Kelantan (UiTM) dalam jurusan Business Studies.
Redha dengan jodoh yang tidak panjang, Puan Zarina bertekad membesarkan empat orang anak dengan titik peluhnya sendiri tanpa mengharapkan simpati orang lain. Beliau memilih kerjaya sebagai Eksekutif Perancang Inventori di syarikat N. Metic Sdn. Bhd. Petaling Jaya sebagai langkah awal sebelum membuat keputusan untuk pulang menabur bakti di negeri kelahiran. Minat yang mendalam di dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan mendorong beliau untuk menggerakkan beberapa inisiatif kebajikan melalui Dapur Ramadhan miliknya. Antaranya ialah pembuatan produk ketupat palas sejuk beku yang dihasilkan oleh 17 orang pekerja yang dipilih dari kalangan asnaf. Hasil penjualan ketupat dan derma daripada rakan Facebook akan digunakan untuk membayar upah pekerja dan menyediakan 400 bungkus nasi untuk diagihkan kepada anak-anak asnaf di 8 buah sekolah pada hari persekolahan di bawah program “Jamu Makan Pelajar Asnaf”
Berkonsepkan “free to take”, beliau mewujudkan kabin Asnaf sebagai tempat penyimpanan barang-barang keperluan yang terdiri daripada makanan, keperluan dapur, dan sebagainya yang disumbangkan oleh orang persendirian mahupun NGO. Usaha ini membolehkan golongan asnaf miskin dan tidak berkemampuan dibantu secara tidak langsung. Selain itu juga, sumbangan yang diberikan akan dihulurkan sendiri oleh pasukan Dapur Ramadhan ke rumah asnaf-asnaf yang dikenalpasti melalui aktiviti ziarah yang dijalankan secara berkala dengan kerjasama rakan NGO seperti Dapur Hati, Team Project RM10, dan Warga Kilang di dalam aktiviti kebajikan menerusi aktiviti “Visit Masuk Kampung”. Kabin Asnaf ini juga membuat jualan amal dimana kakitangan Dapur Ramadhan dibenarkan membeli keperluan rumah dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar raya dan gedung serbaneka selain menggunakan kaedah potongan gaji tanpa faedah sebanyak
RM 5.10 sehari.
Keyakinan beliau dengan janji Rasulullah bahawa “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seperti orang yang berpuasa”, membuatkan beliau terus bersemangat menyediakan 100 bungkus nasi dan kuih muih kepada warga Pondok Darul Ilmi, Bukit Gading sebagai juadah berbuka puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis semenjak penubuhan Dapur Ramadhan. Berkat usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan, Puan Zarina telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Cakna Kebajikan (Kategori NGI Cakna) sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020.