Tips Suri Rumah Hadapi Tekanan

Apa itu tekanan?

  1. Stress atau tekanan ialah keadaan diri seseorang itu mengalami ketidakstabilan sama ada fizikal ataupun mental dan ianya berkaitan dengan cara hidup kita.
  2. Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai, ‘Suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya. (Sumber: Kajian stress menurut sarjana barat dan islam)
  3. Bebanan ini boleh wujud dalam bentuk ancaman, bebanan, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya.
Sumber Gambar : Pinterest

Antara bentuk tekanan suri rumah

  1. Kurang keyakinan diri. Suri rumah merasa kurang yakin kerana selalu beranggapan diri mereka tidak berketerampilan. Keterampilan diri adalah cara kita melihat diri sendiri termasuklah kepercayaan, pemikiran dan perasaan.
  2. Cabaran hidup berbeza. Situasi yang dihadapi setiap orang tidak sama. Contohnya cabaran mempunyai anak yang ramai, cabaran tinggal berasingan dengan pasangan dan cabaran mereka menetap di rumah mertua membuatkan tekanan hidup semakin bertambah.
  3. Suri rumah vs wanita bekerjaya. Stigma yang mengatakan wanita bekerjaya lebih berjaya berbanding suri rumah seharusnya tidak dicanang. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan wanita mestilah saling menyokong antara satu sama lain.
  4. Suami yang tidak membantu dalam pengurusan rumah. Memiliki pasangan yang tidak memahami beban tugasan yang ditanggung membuatkan tekanan semakin bertambah. Ini terjadi apabila suami meletakkan sepenuhnya tugasan rumah di bahu isteri.
  5. Tiada pendapatan sendiri. Kebanyakan suri rumah kurang berkesempatan untuk menyertai aktiviti luar. Mereka beranggapan tidak membantu dalam masyarakat kerana hanya menyumbang kepada keluarga sendiri.
  6. Pandangan serong oleh keluarga. Isu ini timbul apabila adanya perbandingan dalam kalangan ahli keluarga yang bekerjaya dan lebih berkemampuan berbanding dengan keluarga suri rumah tersebut.
  7. Pengulangan rutin. Tugasan rumah yang tidak pernah habis menyebabkan berlakunya pengulangan rutin. Suri rumah merasa bosan melakukan perkara yang sama setiap hari dan ini menyebabkan kadar stress meningkat.

Sebab fokus kepada suri rumah? Bagaimana dengan wanita bekerja?

Dua-dua ustazah akui ada tekanan masing-masing. Sebenarnya kedua-duanya bekerja. Ia membawa maksud sama ada bekerja di rumah ataupun bekerja di luar rumah. Subhanallah. Bila sebut tekanan suri rumah, saya bukan tujukan kepada wanita yang tidak bekerja sahaja. Bahkan, wanita bekerja juga menjadi suri rumah Ketika berada di rumah. Jadi, kenapa ustazah fokus tentang perempuan sahaja? Sebab biasa orang perempuan yang mudah tertekan.

Antara punca kenapa wanita mudah tertekan

Ada sebelum ini seorang wanita berjumpa saya, kalau siapa yang sedang ada masalah sekarang, mudah-mudahan dengan cerita dan kisah yang saya hendak kongsikan ini tuam puan tidak rasa teruk sangat. Dalam situasi yang sekarang ini, Masha Allah. Saya tahu ada dalam kalangan kita orang yang menghadapi masalah dan tekanan yang sangat dasyat dalam rumah tangga.

Berbalik kepada cerita tadi, masa itu saya dalam keadaan sibuk almaklumlah tengah angkut barang dari galeri ke dewan dan bermacam lagi sebab galeri nak renovate. Lepas itu kan saya ini masa itu tidak bersedia menerima orang dalam minggu itu. Saya akan tunduk dan menyorok hendak masuk pejabat. Saya bagi tahu staf yang saya belum bersedia untuk berjumpa sesiapa dalam keadaan sangat penat dan banyak sangat kerja yang saya perlu selesaikan.

Tapi, takdir Allah ada hamba Allah ini datang hendak memberi sumbangan yang banyak. Jadi, saya nak raikan dengan keluar juga kemudian saya bertembung dengan seorang wanita yang sedang dukung seorang anak kecil dan ada di sampingnya seorang anak perempuan pakai tudung elok. Anak perempuannya yang kecil mungkin dalam linkungan umur 6 atau 7 tahun macam itu.

Kemudian, wanita ini berkata, ‘Ustazah, Alhamdulillah saya berdoa dengan Allah supaya saya dapat berjumpa ustazah. Sebenarnya saya telah datang beberapa kali tapi saya tidak ada rezeki berjumpa ustazah. Saya berdoa sungguh-sungguh agar Allah izinkan saya berjumpa ustazah.’

Saya kata, ‘Masha Allah, kuatnya kamu. Allah izinkan jumpa. Saya sebenarnya pada pagi ini mengelak hendak jumpa orang bukan sebab saya tidak suka jumpa orang tetapi keadaan saya tidak mengizinkan kerana ada beribu buku yang saya nak kena tandatangan. Ada tugas-tugas lain yang saya perlu segerakan.’ Sebab sekali jumpa orang, bukan sekejap tuan puan.

Wanita ini pun bercerita dengan air mata. Dia berkata, ‘Ustazah saya buntu dan saya perlu pandangan ustazah. Apa yang saya perlu buat? Saya pernah menikah dapat anak yang sulung perempuan.’ Anak itu senyum umur dalam 6 atau 7 tahun. ‘Kemudian berpisah dan saya bernikah pula kali kedua dengan suami sekarang dan saya dapat anak kecil. Anak lelaki yang dia dukung. Dia kata, ‘Ustazah, Allah uji saya dengan lelaki yang kurang baik. Lelaki yang menguji kesabaran saya.’ Katanya lagi, suaminya yang kedua ini sudah berani bawa perempuan. Perempuan yang tidak ada sebarang ikatan selalu datang berkunjung ke rumah terutama waktu dia keluar bekerja. Perempuan itu berada di rumah dan melakukan perbuatan keji dan terkutuk, bersekedudukan, dan berzina dalam satu bilik. Bermesra depan mata dia. Bayangkan, ini bukan drama mat salleh atau drama korea. Drama korea pun tidak macam ini.

Gambar Hiasan : Pinterest

Ini sebuah rumah tangga yang di dalamnya ada anak-anak dan isteri. Si suami buat perkara terkutuk secara live depan isteri.

Wanita ini berkata lagi, ‘Pernah beberapa kali tidak membuka pintu sewaktu si wanita itu datang. Apa yang berlaku kepada saya setelah itu adalah dipukul, tampar dan sepak terajang.’

‘Kemudian, bila saya cakap saya hendak mohon cerai dan berpisah. Suami kata tempat saya di neraka kerana kamu minta cerai.’

Gambar Hiasan : Pinterest

Tuan puan sekalian, suka saya katakan syurga dan neraka ini bukan terletak pada tangan manusia. Seorang suami tidak boleh menetapkan sama ada syurga atau neraka. Yang menetapkan syurga atau neraka hanyalah Allah SWT. Cuma kita dibentangkan oleh Allah SWT jalan ke syurga dan ke neraka.

Namun di luar sana ada ramai lelaki yang mengalami masalah rumah tangga suka mengugut isteri dengan perkataan syurga dan neraka.

Saya pun berkata kepada wanita ini, ‘Puan, kalau puan minta cerai kepada lelaki sebegini tidak ada dosa sedikitpun.

Saya kata lagi, ‘Jadi tindakan puan mengambil keputusan untuk berpisah dikatakan meminta cerai tanpa sebab yang syara’ itulah baru dilaknat oleh Allah SWT. Dalam keadaan ini suami itu dalam keadaan terlaknat. Firman Allah SWT.

‘Dan belanjakanlah apa yang ada kepada kamu kerana menegakkan agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan dengan bersifat bakhil. Dan baikilah sebaik-baik usaha perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.’ Subahanallah.

Wanita itu kata berasa malu andai bercerai kali kedua.

Saya kata, ‘saya jumpa ramai wanita di luar sana yang berpisah sampai kali ke-3 dan ke-4. Bukan kerana dia memikirkan kata-kata orang, apa yang puan alami, puan sahaja alami. Kalau Puan buat sesuatu kerana fikir kata-kata orang, berapa ramai orang yang boleh membantu puan dan orang itu boleh berada di tempat puan. Puan telah terhina dengan begitu berat sekali.’

Cadangan ustazah bagi yang mengalami masalah ini.

Minta cerai. Jangan fikir kata orang ramai. Buatlah cepat demi masa depan dirinya dan anak-anak. Saya percaya ramai wanita di luar sana Bahagia walaupun seorang diri.

Bagaimana menghadapi netizen yang pelbagai terutama dengan status ibu tunggal asbab perkahwinan yang tidak berjaya sama ada lebih dua kali atau sebaliknya.

Masyarakat kita lazimnya, bila melihat seseorang yang berpisah atau bercerai lebih dari dua kali adalah salah wanita. Mulalah ada khabar berita, si wanita ini tidak baik untuk dijadikan isteri tanpa memastikan dahulu situasi sebenar. Kebanyakannya orang tidak nampak kesalahan suami, orang hanya nampak kesalahan isteri sahaja. Wanita itu dalam dilema dan takut berhadapan dengan cabaran tersebut menyebabkan sanggup menahan diri membiarkan masalah membelenggu diri.

Gambar Hiasan : Pinterest

Kekuatan sebenar kita kalau bergantung kepada diri kita, kita sebenarkan tidak akan kuat. Kita sebenarnya lemah. Kita tidak ada kekuatan apa pun. Tidak ada daya, tidak ada upaya melainkan Allah SWT.

Kemudian saya cadangkan supaya amalkan surah al-Ghafir ayat 44,

‘Daku menyerahkan urusanku kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha melihat keadaan hambaNya. ‘

Puan sebut ayat itu, nanti mulut-mulut orang yang nak berkata keji kepada puan akan terkunci. Serahkan segalanya kepada Allah SWT. Biarlah kadang-kadang tidak semua benda kita boleh menceritakan kepada orang lain. Kita tidak mahu buka aib bekas suami. Sebab kita berharap si suami itu berubah suatu hari nanti dengan izin Allah. Jadi kita tidak mahu mencanang kisah buruk punca keruntuhan rumah tangga itu bercerai kerana suami. Maka, biarlah Allah yang mempertahankan kita. Biarlah akhirnya Allah lah yang menutup pintu-pintu fitnah manusia.

Apakah peranan seorang suami dalam mengawal emosi isteri.

Ingat balik di saat mula-mula akad nikah. Akad itu disaksikan oleh wali si isteri. Khutbah nikah dibaca. Tarikh itu perlu dikenang sentiasa kerana lafaz itu ada satu ikrar sebenarnya. Yang mana kita berjanji akan menunaikan tanggungjawab kita sebagai suami. Tanggungjawab kita Ketika itu memimpin tangan isteri dan anak-anak kita untuk menuju ke syurga Allah SWT. Bila kita jelas semua itu, maka kita kena jelas dengan pemahaman apakah peranan dan tanggungjawab kita selepas itu. Hari-hari yang berlalu, hari-hari yang mendatang, apa peranan kita.

  • Kembali kepada agama. Jalan yang paling selamat untuk kita meniti hari-hari yang mendatang. Contohnya kefahaman berkenaan akidah mengucap dua kalimah syahadah dan sebagainya. Kemudian kita menghayati rukun Islam tersebut dan pasakkan kepada diri dan keluarga kita rukun iman iaitu kepercayaan. Membayangkan ketakutan sebagai seorang suami yang akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpin. Akad nikah juga bermakna akan bersedia untuk menerima segala kekurangan dan kelebihan si isteri dan perjanjian melayari alam perkahwinan itu bersama.
  • Berkaitan dengan komunikasi. Zaman sekarang, kita mungkin kurang berkomunikasi dengan pasangan. Dalam kepenatan si isteri pulang dari tempat kerja menyebabkan tekanan. Apabila pulang dari rumah, makin tertekan apabila melihat keadaan rumah yang bersepah. Kebanyakan si suami lihat perkara ini biasa. Tapi bagi seorang wanita, ia adalah perkara yang luar biasa. Pandangan suami ustazah mengapa orang lelaki lebih beria bercakap dengan kawan-kawan berbanding anak dan isteri. Rupanya, topik yang dibincangkan oleh pasangan seperti tertekan dan sebagainya menyebabkan si suami tidak ada idea.
  • Motivasi dalam diri. Persepsi ramai orang terhadap suri rumah adalah tidak banyak kerja dan hanya goyang kaki. Tapi, hakikatnya, tugas suri rumah lah tugas yang berat. Menyebabkan mereka ini stress dalam rumah sahaja. Bagi orang yang rumah sempit dan kurang berada yang mempunyai ruang rumah yang kecil dan di luarnya tidak ada apa-apa melainkan beranda. Itulah dunia dia sehari demi sehari. Bila dia kurang dibawa keluar oleh si suami menyebabkan tekanan menjadi lebih meningkat.

Kesimpulannya

Yang membezakan rumah tangga bahagia atau tidak bahagia adalah bagaimana mereka menguruskan tekanan. Kita perlu belajar bagaimana menguruskan tekanan, bukan belajar melepaskan tekanan. Menguruskan marah, bukan belajar melepaskan marah. Sebab itu baginda Rasulullah SAW memberi guidelines amalan-amalan. Contoh Sayidatina Fatimah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang penat kerana kelelahan dalam mengurus rumah tangga. Bukan Rasulullah memberikan suatu amalan membuang rasa penat. Penat mesti penat. Letih sebab orang mukmin daripada penat itu dapat pahala.

Gambar Hiasan : Pinterest

Pesanan buat suami di luar sana, tolong jangan mainkan isu poligimi. Sebab berapa ramai wanita di luar sana struggle. Cabaran suami yang berkerjaya adalah dikekelilingi oleh para wanita berkerjaya. Wanita berkerjaya biasanya penampilannya menarik. Percakapannya juga menarik. Maksudny lelaki apabila berada dalam kelompok wanita yang bekerjaya, dia akan melihat sisi yang dia tidak melihat pada isterinya yang merupakan seorang suri rumah. Sebab isteri di rumah selekeh penampilan, dengan nampak isteri itu tiada ilmu dan nilai. Ini perkara yang perlu diubah oleh seorang lelaki. 

Diriwayatkan oleh ‘Ali bin Abi Talib: Fatimah datang kepada Nabi SAW meminta seorang hamba kerana beliau keletihan melakukan kerja rumah. Baginda bersabda maksudnya:

Bolehkah saya memberitahu anda tentang sesuatu yang lebih baik daripada itu? Ketika anda tidur bacakan “Subhanallah” 33 kali, “Alhamdulillah” 33 kali dan “Allahu Akbar” 33 kali.

HR. BUKHARI

Artikel disediakan oleh penulis wk.com

Artikel asal boleh ke link FB Page Ustazah Asma’ Harun Official

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *