Cover Image Kak Asmak

Setelah hampir selesai persidangan pertama, saya mula memahami bagaimana hendak meletakkan diri saya di dalam Dewan Negara. Sangat diakui, saya sendiri secara peribadi tidak pernah mempunyai cita-cita untuk memegang jawatan yang berat ini. Sebelum ini, saya banyak membantu PAS di belakang tabir dan banyak terlibat sebagai penyelidik dan penasihat dalam ruang lingkup yang agak akademik. Tapi nampaknya takdir milik Allah. Ia bukannya sesuatu yang mudah kerana menuntut pengorbanan yang tinggi dan sokongan jitu daripada pihak keluarga apatah lagi sebelum ini saya sudah rasa selesa dengan pencapaian tahap dan kehidupan sedia ada.

Apabila berada di dalam dewan, mendengar dan belajar dengan teliti perbahasan, saya teringat satu kisah drama Korea yang pernah saya ikuti. Kisah tersebut bagaimana seorang anak yang menjadi wartawan untuk mendapatkan kebenaran daripada seorang wartawan senior yang telah menyebabkan ayahnya meninggal dunia semasa kecil dan dia terpisah dengan abangnya akibat soalan dan laporan media yang disensasikan oleh wartawan tersebut. Kemuncak cerita, anak ini diberi peluang untuk bertanya soalan dan walaupun dia telah menunggu begitu lama untuk mendapatkan peluang bagi  mendedahkan perkara sebenar  melalui soalannya, tetapi akhirnya dia memilih untuk bertanya satu soalan yang professional sebagai seorang wartawan. Namun soalan tersebut telah menyebabkan wartawan tersebut terpaksa bersara daripada dunia kewartawanan dan dalam masa yang sama telah mengangkat kedudukannya dalam kalangan wartawan negara tersebut.

Kisah ini sebenarnya menggambarkan kedudukan yang saya ada sekarang. Bukan semua orang berpeluang untuk bertanya secara langsung kepada pentadbir negara. Apatah lagi kami berdua sahaja daripada Kelantan dan tiga orang sahaja daripada PAS dan saya satu-satunya Muslimah setakat ini. Bukan semua orang ada “The Power of Ask”. Soalan yang ditanya berkemungkinan bersifat menegur, memperbaiki, memberi cadangan, ingin mengetahui, memerli, mempertahankan, mengalih perhatian, mencipta sensasi dan lain-lain. Saya sendiri masih meneroka kuasa dan seni bertanya soalan di dalam dewan. Saya juga harus belajar bertanya dalam keadaan sedar diri bahawa saya mewakili kerajaan Islam Kelantan dan perlu bijak juga menanggapi respon dan sensitiviti masyarakat sekeliling.

Dalam Islam, kuasa bertanya sangat penting. Contoh yang paling jelas ialah kisah Nabi Ibrahim bertanya kepada ayahnya dalam Surah Al-An’am 74:

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi, dan (Kami memperlihatkannya) agar Ibrahim itu termasuk orang-orang yang yakin”.

Ini adalah pertanyaan seorang anak yang masih muda tetapi menggegarkan iman masyarakat sekeliling. Besarnya kuasa menyoal dan bukan semua diberikan ruang dan peluang.

Dalam pemerhatian singkat, tidak banyak lagi yang saya dapat pelajari. Tetapi saya dapat simpulkan bukan mudah untuk mengadaptasi dan menempatkan diri sebagai ahli Dewan Negara yang berkaliber, disegani kawan dan lawan serta membawa himmah Islam di persada Malaysia dan antarabangsa. Namun begitu saya kongsikan beberapa perkara yang perlu untuk menyokong bagi persediaan muslimat  pada masa depan:

1. Persediaan sebelum dilantik

Benarlah taqdir Allah bukan datang tiba-tiba, tetapi ia dididik sedikit demi sedikit. Cuma tinggal kita yang memahami hikmahnya atau tidak. Bermula dengan latihan kepimpinan di sekolah dan didedahkan dengan ilmu pergaulan dengan masyarakat sejak daripada kecil sehingga pembinaan asas intelek dalam penilaian di universiti. Saya tidak pandai menulis sebelum itu, tetapi di universiti, saya paksa diri untuk menulis walaupun memang tidak bagus. Kahwin awal pula mendidik saya tentang pengurusan kewangan dan keluarga yang lebih cekap kerana ketika itu saya sudah berkahwin, bekerja sendiri, mempunyai anak, membina harta asas dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kemudian saya dilantik ke jawatan pensyarah UITM dan semakin banyak  saya belajar perkara melalui pengalaman iaitu; melobi, crisis management terutama dengan media, jaringan industri dan NGO, persidangan dalam negara dan antarabangsa, membangunkan produk seperti polisi dan lain-lain serta teknik-teknik penyelidikan akademik. Nampaknya ketika saya memasuki dewan, semua ilmu yang saya telah diperolehi melalui didikan Allah terpaksa saya gembeleng kembali secara berpadu dan konsisten.  Terima kasih Allah atas didikan berperingkat sehingga jadinya siapa saya pada hari ini.

  2. Mentor

Memasuki dunia politik secara professional bukan mudah tanpa tunjuk ajar daripada mentor yang ikhlas dan berpengalaman. Mantan Senator muslimat terutamanya dan muslimin sangat membantu pada peringkat persediaan sebelum masuk dewan. Pelbagai tips termasuk diplomasi politik, persediaan teknikal, ilmu, diri dan keluarga. YB Zailah, YB Mumtaz dan YB Khairiah sering memantau, memberi pandangan dan tunjuk ajar. Hanya mereka yang memahami situasi yang saya hadapi sekarang. Ketawa dan menangis bersama-sama. Itulah kemanisan ukhuwah berjemaah.

  3. Sokongan keluarga dan Jemaah

Beberapa bulan sebelum perlantikan, saya sudah diberi isyarat bahawa nama saya termasuk dalam pemilihan tetapi ketika itu saya memang tidak bersetuju. Maklumlah saya mungkin boleh menerima perubahan sebab memang sudah berjanji lebih awal sekiranya kerajaan negeri memerlukan, maka saya akan akur. Tapi keluarga belum tentu dapat akur seperti saya. Hati saya agak berat pada peringkat awal tetapi ayah saya memberikan persetujuan selepas beliau istikharah, maka tiba-tiba saya nampak harapan dan laluan cerah di hadapan. Ibu saya juga sudah bersedia untuk menyokong saya bila-bila masa.

Suami juga seorang yang sangat memahami walaupun pada peringkat awal, ‘cinta hati saya’ terkejut dan bereaksi negatif. Tapi selepas seminggu diberitahu tentang perlantikan, tiba-tiba saya bangun tengah malam dan melihat suami tidak tidur dan sedang menatap  telefonnya dengan serius. Tiba-tiba terdengar suaranya, “eh, sidang dewan negara boleh habis tengah malam juga. Kena cari pembantu macam ni. Bahaya!”. Saya tergelak. Rupa-rupanya suami sedang mengkaji dengan serius sampai tidak tidur tentang skop tugasan ahli dewan negara. Alhamdulillah, saya rasa lega kerana suami sudah kembali pulih.

Saya juga rasa terharu dengan sokongan rakan Jemaah khususnya muslimat Kelantan. Beria-ria mereka mempertahankan saya sehingga sanggup bertegang urat untuk mendapatkan kuota muslimat. Nampaknya, saya bertanggungjawab untuk menjadi suara mereka yang terbaik.

4. Kekuatan penyelidik

Di dalam dewan, kematangan menyelidik dan menganalisis isu sangat perlu. Sangat bahaya sekiranya kita menerima bulat-bulat apa yang penyelidik telah sediakan terutamanya kita minoriti dan berdepan dengan pelbagai persepsi ideologi dan politik. Oleh itu penampilan perbahasan harus matang, sarat dengan falsafah dan konsep Islam tetapi bersifat mendakwah. Saya berasa bertuah kerana dibantu dengan pengalaman sebagai penyelidik sebelum ini dan kawan-kawan sekeliling. Selepas sidang ini, saya  mula merangka struktur dan budaya penyelidikan politik matang di kalangan penyelidik parlimen PAS agar kami mendapat pandangan lebih menyeluruh dan analitikal terhadap sesuatu isu.

  5. Jaringan sumber maklumat

Ketika inilah kawan-kawan lama dan jaringan sumber maklumat dicari. Berkali-kali mentor-mentor berpesan agar meluaskan pergaulan dan menjaga perhubungan sama ada lawan dan kawan. Kadang-kadang untuk memahami sesuatu isu tidak cukup dengan mengumpulkan bahan literatur sahaja tapi perlu turun ke padang untuk memahami isu secara realistik. Kalau hubungan tidak baik, pasti sukar maklumat terbaik diperolehi. Oleh itu, cabaran saya sekarang untuk meluaskan sebanyak mungkin sumber jaringan maklumat dan membentuk membentuk segmentasi maklumat dengan baik.

 6. Penjenamaan diri

Inilah yang saya sendiri masih dalam proses untuk memahami dengan baik. Maklumlah latar belakang saya sebelum ini versatiles; pendidik, pendakwah, aktivis dan lain-lain. Tapi sekarang saya sebagai Muslimat PAS mewakili Kerajaan Negeri dalam Dewan negara dan berdepan dengan rakyat dan rakan-rakan dewan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang parti, kumpulan dan ideologi. Perjalanan masih panjang dan saya harus terus meneroka untuk memposisikan dan menjenamakan diri dengan cara yang betul.

Tiada yang lain yang saya harapkan sekarang kecuali iringan doa dan semangat daripada semua. Di sebalik semua itu, pergantungan kepada Allah yang menjadikan saya kuat untuk menghadapi masa depan yang masih tidak tentu lagi. Semoga sedikit bakti ini akan dilihat oleh Allah.

 

Kenali YB kito

Jom menonton untuk lebih mengenali dengan lebih dekat Senator wanita ini, yang mewakili Negeri Kelantan, YB Asmak Husin.

Posted by Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita on Selasa, 9 Oktober 2018

 

Artikel berkaitan Ustazah Asmak Hussin  Senator Negeri Kelantan

YB Asmak Husin merupakan Senator di Dewan Negara, mewakili negeri Kelantan bagi sesi Julai 2018 – Julai 2021. Anak jati Kelantan ini merupakan lulusan Sarjana Muda Fiqh dan Usul Fiqh daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau menamatkan pengajian Sarjana dalam bidang Undang-undang dan Pentadbiran Agama Islam daripada Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebelum dilantik menjadi Senator, beliau bertugas sebagai pensyarah di UITM. 

Beliau juga merupakan
1. Ahli penggubal Dasar Kanak-kanak Fitrah Negeri Kelantan
2. Ahli jawatankuasa Semakan Dasar Wanita Kelantan
3. Ahli jawatankuasa induk Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga & Kebajikan (sejak tahun 2013)
4. Ahli PUM
5. Panelis rancangan Tanyalah Ustazah di TV9 dan Fiqh Wanita TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *