Wanita Istimewa Edit

Kenapa wanita Kelantan sangat istimewa ?
Adakah kerana gelaranya yang masyhur dengan negeri Cik Siti Wan Kembang?

Adakah kerana lelaki di negeri ini terkebelakang?

Tidak sama sekali. Ia adalah disebabkan faktor kerana wanita Kelantan ini sendiri sentiasa ingin ke depan, dilihat sebagai memiliki, membeli dan menjual tanah, emas dan terlibat dengan pelbagai aktiviti pengeluaran hasil pertanian, tekstil, makanan dan lain-lain.  Mereka ini sangat gigih, ada yang berniaga di pasar besar, pusat membeli belah, zon bebas cukai, kedai runcit, peruncit yang menjual bahan mentah dari rumah ke rumah dengan menaiki van dan ada juga yang menjadikan kediaman sendiri sebagai tempat untuk menjual barangan harian secara kecil-kecilan.

Arwah nenek saya dulu seorang peniaga kecil di pasar Pasir Puteh, menjual keperluan harian dan pakaian yang diambil daripada pembekal tempatan. Dengan hanya berniaga kecil-kecilan itu, arwah mampu menyara 10 orang anaknya sehingga berjaya. Pengalaman saya juga sepanjang 5 tahun belajar di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), saya sentiasa memerhati gelagat dan kesungguhan wanita yang berniaga di pasar Siti Khadijah, mereka tidak pernah kenal  erti lelah, malu, masing-masing menumpukan kepada kerja masing-masing. Mereka berniaga dan bekerja bermula dini hari hingga ke petang.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, penerima anugerah Tokoh Wanita Kelantan Antarabangsa di Majlis Hari Sayyidatina Khadijah 2017

Sumber gambar: FB Page Hari Sayyidatina Khadijah

Sejak dulu dan akhir-akhir ini juga, ramai wanita Kelantan berjaya di persada antarabangsa, nama mereka disebut-sebut kerana membawa nama negara ke persada dunia seperti Professor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Saintis muda Malaysia iaitu Dr Siti Kayriyyah Mohd Hanafiah juga berasal daripada Kelantan, tokoh usahawan dan jutawan yang berjaya juga ramai dari kalangan wanita Kelantan seperti Puan Hjh. Siti Aishah Bt Haji Mahmood, Dato’ Seri Vida, Neelofa, dan ramai lagi.

Selaras dengan Kerajaan Negeri Kelantan sejak zaman pemerintahan mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga kini yang disambung oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yaacob, sentiasa mengangkat dan memartabatkan wanita sehingga menamakan pasar-pasar besar di seluruh negeri ini dengan nama-nama wanita seperti Pasar Besar Siti Khadijah (Kota Bharu), Pasar Besar Siti Aisyah (Jelawat), Pasar Siti Hajar (Pasir Puteh), Pasar Siti Fatimah (Rantau Panjang) dan Pasar Sumayyah (Tumpat).

Salah seorang peniaga wanita di Pasar Besar Siti Khadijah

Sumber gambar: letopkeypad.blogspot.com

Kelantan tidak pernah mendiskriminasikan wanita, malah sangat cakna kepada mereka dengan mewujudkan serta memberikan pelbagai kemudahan, inisiatif dan bantuan untuk membangun serta mendorong wanita Kelantan menjadi lebih proaktif, berdikari dan berdaya saing dalam pelbagai sektor dan bidang. Oleh kerana itulah, saya sendiri berasa sangat istimewa dan bangga menjadi wanita Kelantan. Sememangnya wanita Kelantan sangatlah istimewa.

Di sediakan oleh: Puan Bazilah Kamaruldin

Penulis bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan, Unit Kemahiran Wanita di Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Kerajaan Negeri Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *