Si Dia Ajak Dating

Kak Nur, hari tu ada seorang ustaz ajak Nani jumpa kat sebuah restoran. Ustaz tu lepasan Timur Tengah. Terkejut beruk Nani dibuatnya. Asal memang berminat dengan calon suami lulusan agama tapi bila awal-awal lagi ajak bertemu di luar, rasa ralat pula.”

Habis tu, Nani terima ke pelawaan dia untuk jumpa?”

Tak de lah kak Nur. Nani abaikan je ajakan dia. Rasa tawar hati dengan lelaki macam itu.”

Baguslah Nani tidak terus setuju. Kalau kak Nur pun tidak akan pilih calon suami begitu. Belum ada apa-apa, sudah ajak berjumpa di luar.”

Alhamdulillah, ini pengalaman benar yang berlaku kepada junior saya, sewaktu dia baru sahaja grad dari Fakulti Perubatan. Dengan kata lain, bakal seorang doktor. Sememangnya saat itu Nani (bukan nama sebenar) sedang berusaha mencari jodoh juga.

Walaupun Nani belajar bidang perubatan, dia mempunyai latar belakang pengajian agama, iaitu bekas pelajar di Maahad Muhammadi Perempuan. Nani memahami batas ikhtilat dan komited memelihara maruah dirinya.

Apa yang Nani lakukan, itulah yang seharusnya menjadi prinsip dan pendirian semua gadis hari ini. Pelihara hijab dan pergaulan, Insya-Allah, Allah jaga kita.

Ingat! Apabila Islam membicarakan tentang menjaga batas ikhtilat dengan ajnabi, Allah tidak pernah mengecualikan title lelaki tertentu waima dia seorang nabi. Para wanita tetap berkewajiban memelihara limit yang telah ditetapkan. Apabila disebut batas di sini bermaksud benteng perlindungan bagi maruh seorang wanita. Ibarat pagar rumah kita. Bukan bermaksud tembok jel yang mahu memenjarakan kebebasan.

Berikut adalah tip ringkas apabila diajak dating atau berjumpa oleh mana-mana lelaki ajnabi. Tidak kiralah title mereka doktor, ustaz, jurutera, usahawan, tukang rumah, Pencetus Ummah (PU) dan lain-lain.

  • Elakkan diri daripada mudah perasan agar tidak mudah ditimpa perasaan.
    • Apabila sudah ditimpa perasaanlah, ramai perempuan lupa diri dan lupa Allah. Akhirnya, menyerah diri. Na’uzubillah. Perasan itu sifat mazmumah. Jadi memang patut sesiapa yang perasan terhijab hatinya melihat realiti. Ramai lelaki ‘usha’ perempuan dengan niat menguji; Adakah perempuan itu tahu menjaga diri atau tidak.
  • Patuh sahaja perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya agar diri selamat dunia akhirat. Jangan berdating dengan mana-mana lelaki ajnabi.
    • Jangan berdating dengan mana-mana lelaki ajnabi. Insya-Allah, akan dapat suami yang tidak pernah berdating dengan mana-mana perempuan. Sabar adalah perlu untuk meninggalkan larangan Allah. Jangan terburu nafsu, nanti diri yang lesu.
    • Kalau hari ini, lelaki mudah berdating dengan kita yang belum sah sebagai isterinya, peratus untuk dia berdating dengan perempuan lain yang tidak halal selepas berkahwin dengan kita adalah tinggi.
    • Perasaan terhadap pasangan sebelum kahwin dan perasaan terhadap suami sangat berbeza bagai langit dan bumi. Jangan ambil mudah. Cemburu kepada suami tidak sama cemburu kepada pasangan yang tidak halal.
  • Jika bercita-cita mendapat suami soleh, usahakan diri sendiri menjadi solehah dahulu.
    • Jika kita tinggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, Allah gantikan dengan yang lebih baik. Dalam kes di atas, tolaklah ajakan mana-mana lelaki ajnabi untuk berjumpa di luar sama ada secara beramai-ramai tanpa ada keperluan syar’ie. Alhamdulillah, saya saksikan sudah ramai gadis yang memelihara batas pergaulan dengan ajnabi, Allah kurniakan suami yang baik.
  • Cara mendiamkan lelaki yang mengorat atau mengusik kita ialah diam. Saya banyak belajar daripada abang-abang kandung bagaimana seharusnya kita bersikap bila bermuamalah dengan lelaki ajnabi.

Iya….

Diamlah apabila lelaki ajnabi menelefon sedangkan tiada perkara penting yang hendak dicakapkan.

Diamlah apabila lelaki asing hantar mesej peribadi tentang perkara yang tidak perlu.

Diamlah apabila ada lelaki jalanan memberi salam mengorat di tepi-tepi jalan.

Diam sahaja.

Tidak perlu perasan, tidak perlu marah atau mencela mereka.

Silap hari bulan kita sama berdosa dengan mereka.

Jika saudari marah-marah, ia hanya memberi modal tambahan untuk mereka mengusik kita.

Jadi diam sahaja. Mereka akan kehilangan idea serta berasa jemu kerana bercakap seorang diri.

Buat kerja kita dan abaikan mereka.

Jika kita memelihara diri, pasangan yang Allah telah tentukan untuk kita juga akan memelihara dirinya dengan ‘Inayah Allah. Pokoknya, yakin dengan jodoh ketentuan Allah. Cari yang halal dengan cara yang halal. Insya-Allah diberkatiNya.

  • Buat lelaki yang baik, ajarlah anak-anak perempuan atau adik beradik perempuan mengenai lelaki. Saya memerhati cara Abah melindungi anak-anak perempuannya. Abang kandung bercerita mengenai pandangan lelaki terhadap perempuan, jadi saya lebih tahu menjaga diri agar menjadi gadis yang bermaruah. Alhamduillah.

Tip-tip di atas pernah dikongsi hasil pengalaman sendiri dalam entry

https://sayangislam.com/2009/10/1/3/mat-rock-ajak-dating/ .

Saya berasa terpanggil untuk berkongsi semula dalam versi kedua dengan menambah pengalaman junior selepas membaca berita masih ramai gadis mudah diperdaya oleh lelaki durjana dan terkeliru dengan title agamawan.

Sabda Nabi SAW :

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan pada setiap anak Adam bahagiannya daripada perbuatan zina yang pasti terjadi dan tidak mungkin dihindari. Maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan perkataan, dalam keadaan nafsu berkeinginan dan membuak-buak, dan kemaluanlah yang akan membenarkan (perkara itu) atau menafikannya”

Hadis direkod Imam Bukhari: 6612

Carilah redha Allah, nescaya bahagia!

#Covid-19; KitaBerwaspada, AllahJagaKita

Artikel telah disunting oleh penulis wk.com

Artikel asal ditulis oleh Penulis, Wan Ainon Wan Abdullah

Nota Siri Jumaat 18

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *