Lelaki Qawwam (1)

Baru-baru ini viral satu video berkenaan seorang lelaki memecahkan cermin kereta yang dinaiki oleh dua orang anak dan isterinya.
Saya tidak pasti apa isu antara suami dan isteri tersebut, tapi yang pastinya perbuatan itu akan meninggalkan kesan yang mendalam dan menyebabkan trauma pada diri anak-anak.
Saya sudah sebut berkali-kali tentang perkara ini, sedasyat manapun masalah suami isteri, jangan sesekali abaikan kebajikan dan perasaan anak-anak.
Anak- yang membesar daripada broken family biasanya akan mempengaruhi masa depan mereka.

Lelaki qawwam sifatnya pelindung kepada wanita


Lelaki sifatnya adalah pelindung kepada wanita. Seperti yang digagaskan di dalam al-Quran tentang kepimpinan lelaki melalui surah an-Nisaa’ ayat 34

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri).
Sebagai seorang lelaki, mereka mesti bijak menguruskan marah dan baran.
Jangan menggunakan kelebihan kekuatan yang Allah beri untuk menzalimi wanita dan kanak-kanak. Jika ada sifat sebegini, itu dayus namanya.

Saya nak kongsikan 5 tips mengawal marah:

1) Apabila datang rasa marah, istighfar dahulu supaya emosi kita bertenang sekejap.

Kerana apa perlu istighfar?

Perlu diingat marah yang berlebihan adalah datang daripada bisikan dan hasutan syaitan. Oleh itu perbanyakkan istighfar agar api kemarahan dapat diredakan.

2) Marah mesti bertempat.

Sebenarnya dalam diri seorang lelaki perlu juga ada sifat pemarah. Iaitu marah apabila perkara berkaitan agama dipermainkan atau marah apabila ahli keluarga melakukan perkara yang dimurka Allah. Marah mesti atas asbab mendidik. Ini tidak, kesalahan isteri atau anak-anak hanya kecil sahaja, namun habis semua makin cacian dilemparkan kepada mereka.

Hati wanita dan anak-anak ini halus, bayangkan betapa terlukanya mereka kerana kata-kata suami yang menyakitkan itu.

3) Apabila berlaku pergaduhan suami isteri.

sebelah pihak mesti mengalah. Mengalah bukan bermakna kita kalah, tapi untuk menenang dan meredhakan keadaan sebelum menjadi lebih parah.

4) Mesti letakkan limitasi dalam marah.

Gambar Hiasan : Google

Yang menjadi kes pukul isteri, anak-anak, pecahkan barang rumah kerana marah yang tiada limit dan tidak boleh dikawal.

Ingat ya tuan puan, Rasulullah menyatakan antara ciri orang beriman adalah mereka yang mampu mengawal marah.

Daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلاً، قَالَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَوْصِنِي‏.‏ قَالَ ‏”‏ لاَ تَغْضَبْ ‏”‌‏.‏ فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ ‏”‏ لاَ تَغْضَبْ ‏

Maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.

(Sahih al-Bukhari (6116)

5) Diam

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Mengapa perlu diam jika kita sedang marah? Apabila kita berada dalam keadaan marah, kata-kata yang keluar itu seakan-akan sudah lupa dunia. Semua keluar tanpa befikir panjang, lalu itulah menyebabkan bertikam lidah dan pergaduhan lebih besar dan memudaratkan.

Artikel disediakan oleh Ustazah Asmak Husin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *