Saya terkejut melihat status di laman Facebook SUHAKAM bertarikh 14 Jun 2021 yang mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga. Lebih mengejutkan apabila hasil yang disasarkan daripada penyelidikan itu ialah ke arah mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia.
Saya percaya ramai lagi yang tertanya-tanya pendirian terkini SUHAKAM apabila melihat status tersebut.
Penyelidikan mestilah bertujuan untuk mengetahui fakta sebenar secara adil, dan bukannya awal-awal lagi didasarkan atas premis yang bias.
Sebarang usaha ke arah mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia tidak boleh diterima kerana
1. Ia membuka ruang kepada perkahwinan sesama jantina.
Adakah kita sanggup untuk melihat runtuhnya institusi kekeluargaan yang melahirkan zuriat dan keturunan? Runtuhnya institusi kekeluargaan akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap kelansungan generasi dan populasi rakyat sesebuah negara.
Adakah kita sudah bersedia melihat seorang ayah tiba-tiba berubah menjadi perempuan, dan anak-anak tiba-tiba kehilangan watak lelaki seorang ayah?
Atau seorang ibu secara tiba-tiba memilih untuk tidak lagi menjadi perempuan dan anak-anak kehilangan watak wanita sebagai seorang ibu?
https://abcnews.go.com/Health/transgender-parenting-children-cope-mom-dad/story?id=16010681
Perubahan seperti ini akan memangsakan anak-anak apatah lagi jika mereka masih kanak-kanak.
Adakah kita mahu situasi ayah secara tiba-tiba berubah menjadi ’emak’ dan emak tiba-tiba berubah menjadi ‘ayah’ berlaku di Malaysia?
2. Ia membuka ruang kepada perlakuan jenayah seterusnya menjadi ancaman kepada undang-undang negara.
Perlakuan liwat adalah menjadi satu kesalahan dalam undang-undang sivil (377A dan 377C Kanun Keseksaan )dan juga undang-undang syariah [Seksyen 25
Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.]
3. Ia membuka ruang kepada ketidakadilan terhadap jantina asal. Contohnya dalam aspek sukan.
Atlet wanita terdedah pada pertandingan yang tidak adil memandangkan kemampuan fizikal lelaki dan wanita adalah berbeza walaupun fizikal lelaki itu berpenampilan wanita.
Inilah yang telah berlaku kepada seorang atlet wanita bernama Chelsea Mitchell dan beberapa atlet wanita yang memfailkan saman bersama Alliance Defending Freedom terhadap Connecticut Interscholastic Athletic Conference, kerana dia dan rakan-rakannya kalah apabila berlawan dengan atlet transgender (yang asalnya berjantina lelaki).
Asas bantahan mereka ialah atlet wanita terhalang daripada perlawanan yang adil apabila jantina ketiga dibenarkan bertanding dalam kategori wanita.
4. Membuka ruang kepada penipuan jantina terhadap pasangan (gender identity fraud). Risiko lebih besar di negara Malaysia yang masih teguh pegangan agama dan nilai ketimuran, adalah perkahwinan didirikan atas sebab penipuan.
Lelaki yang mahu berkahwin dengan wanita sejati begitu juga sebaliknya bagi wanita yang mahu berkahwin dengan lelaki sejati, berkahwin dengan bukan lelaki atau wanita asli kerana jantina ketiga diterima dan dibenarkan.
Adakah kita mahu kisah Gayle Newland yang didapati bersalah di Mahkamah UK kerana menipu jantina sebenar, berulang lebih banyak di Malaysia jika ruang kepada jantina ketiga dibenarkan di sini?
5. Rakyat negara ini majoritinya beragama Islam dan Perlembagaan Negara meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama lain bebas diamalkan dalam negara.
Justeru itu prinsip-prinsip agama khususnya Islam tidak boleh dikesampingkan dalam mendefinisikan hak asasi manusia.
Hal ini kerana kebebasan beragama (freedom of religion) tidak bermaksud bebas dari agama (freedom from religion).
Kita tetap menjunjung Rukun Negara yang pertama – kepercayaan kepada Tuhan.
Islam mempunyai pandangan jelas berkenaan golongan yang mengalami kekeliruan jantina.
Hukum berkenaan khunsa atau Disorder of Sex Development (DSD) telah lama dibahaskan oleh para fuqaha sebelum istilah hak asasi manusia dilaung-laungkan lagi.
Ini bermakna kewujudan mereka yang lahir dengan masalah organ jantina diakui masalah mereka dalam Islam beserta hukum dan penyelesaiannya. Namun jantina ketiga dengan mengubah jantina sedia ada adalah isu yang sama sekali berbeza.
Malah tidak pula dinafikan mereka yang diuji dengan perasaan cenderung pada sesama jantina dalam keadaan mereka bukan khunsa, maka ini adalah ujian yang memberi mereka pilihan sama ada untuk bertaqwa dengan mematuhi pantang larang agama, atau menurut sahaja keinginan nafsu perasaan.
Bagi yang memilih taqwa akan dimuliakan Allah dengan syurga.
An-Nazi’at Ayat 40 :
Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya.(Ayat 40)
Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya). (Ayat 41)
Perlu dibezakan antara ujian dan keingkaran. Ujian tidak salah. Namun keingkaran terang-terangan adalah satu bentuk kesombongan.
6. Hak asasi manusia mestilah berdiri di atas kompas yang betul. Sebarang usaha mengkesampingkan pandangan agama terutama dalam masyarakat yang masih teguh pegangan agamanya, adalah satu kepincangan dan mencemari hak asasi manusia yang hakikatnya luhur.
Artikel telah disunting oleh penulis wk.com
Artikel asal boleh ke FB Page Mumtaz MD Nawawi Official