Apa itu Ectopic Pregnancy atau Kehamilan Ektopik?
Kehamilan ektopik bermaksud kehamilan di luar tempat atau kehamilan di luar rahim. 1 hingga 2 peratus kehamilan adalah kehamilan ektopik. Daripada jumlah ini, 98 peratus merupakan kehamilan ektopik dalam tiub fallopian. Kehamilan ektopik lain termasuklah rongga abdomen, ovari, cornu rahim dan serviks.
Siapakah yang berisiko?
Punca kehamilan ektopik tidak diketahui, namun terdapat faktor risiko yang telah dikenalpasti seperti berikut:
- Pernah mengalami kehamilan ektopik
- Penyakit Radang Pelvis (PID) atau Salpingitis (Radang tiub fallopian)
- Subfertility (kesukaran mengandung)
- Pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis
- Pernah menjalani pensterilan tiub atau tiub fallopian diikat
- Endometriosis
- Menggunakan Peranti Kontraseptif Intrauterine (IUCD)
- Menjalani rawatan kesuburan
Mengapa kehamilan ektopik berbahaya?
Di dalam kehamilan ektopik, embrio tidak sampai ke rahim, sebaliknya ia tertanam dalam lapisan tiub fallopian dan menyebabkan pendarahan. Saiz embrio yang semakin membesar menyebabkan tiub fallopian meregang dan lalu pecah. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang teruk dalam abdomen dan mengancam nyawa maka diagnosis awal dan rawatan amat diperlukan.
Tanda dan gejala
Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda atau gejalanya pada minggu kelima hingga kelapan kehamilan. Jika anda hamil dan mempunyai tanda dan gejala berikut, segera berjumpa doktor:
- Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan)
- Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap
- Sakit hujung bahu (yang disebabkan oleh pendarahan intra-abdomen)
- Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar
Jika gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan; tiub fallopian boleh pecah, menyebabkan pendarahan berlebihan. Pada peringkat ini, anda mungkin mempunyai gejala berikut:
- Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
- Pening, pengsan, berpeluh dan letih-lesu
- Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
- Perut membengkak
- Pucat
Jika anda mengalami tanda dan gejala di atas segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Dapatkan bantuan ambulan atau seseorang untuk menghantar anda ke hospital.
Diagnosa
Kehamilan ektopik sukar untuk didiagnosa. Ia mengambil masa beberapa hari terutamanya jika hanya terdapat sedikit tanda. Doktor akan membuat pengesahan kehamilan dengan melakukan ujian air kencing (UPT). Kemudian pemeriksaan abdomen dan faraj akan dijalankan.
Selepas itu, imbasan ultrabunyi pelvis akan dilakukan. Selalunya imbasan trans-faraj (TVS) dilakukan supaya doktor boleh melihat organ pelvis dengan lebih jelas. Doktor akan memeriksa sama ada kehamilan adalah di dalam atau di luar rahim.
Kehamilan ektopik jarang berlaku jika kehamilan dalam rahim telah disahkan. Walau bagaimanapun kehamilan ‘heterotopic’ boleh berlaku, iaitu kehamilan di dalam beserta kehamilan ektopik.
Kehadiran cecair (darah) dalam pelvis juga boleh menandakan kehamilan ektopik. Pada peringkat awal kehamilan, kehamilan mungkin sukar dilihat imbasan ultrabunyi dan doktor mungkin mahu mengulangi pemeriksaan dalam satu atau dua minggu lagi.
Dalam keadaan tertentu, ujian darah diperlukan untuk memeriksa tahap serum beta-hCG dan ujian ini biasanya perlu diulangi 2 hari kemudian. Ini membantu doktor menilai kehamilan dan menentukan samada ianya adalah kehamilan ektopik atau tidak.
Laparoskopi (pembedahan teropong) perlu dilakukan untuk pengesahan secara visual. Pada masa yang sama, kandungan ektopik tersebut boleh dikeluarkan dengan membuang tiub fallopian yang terlibat.
Rawatan
Rawatan untuk kehamilan ektopik bergantung kepada keadaan pesakit. Antara faktor-faktor mempengaruhi rawatan adakah ektopik telah pecah atau tidak, sama ada pesakit stabil (tekanan darah yang normal dan kadar nadi), saiz kantung kehamilan ektopik, dan kehadiran darah di dalam pelvis dan tahap serum beta-hCG. Jarak anda tinggal dari hospital yang berdekatan, mungkin juga menjadi salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh doktor bagi menentukan rawatan yang sesuai untuk anda.
Terdapat beberapa cara untuk merawat kehamilan ektopik:
- Rawatan konservatif.
- Wanita yang boleh menjalani rawatan konservatif termasuk wanita yang asimptomatik dan tidak pecah serta tiada pendarahan pelvis. Wanita ini perlu diberi kaunseling sewajarnya. Selain itu wanita dengan tahap serum beta-hCG yang semakin berkurangan juga sesuai menjalani rawatan secara konservatif.
- Rawatan perubatan.
- Rawatan perubatan melibatkan suntikan methotrexate. Kriteria membolehkan rawatan perubatan ini termasuk kehamilan ektopik yang tidak pecah, diameter kantung kehamilan kurang dari 3cm, tahap serum beta-hCG kurang dari 3000 IU dan imbasan ultrabunyi tidak menunjukkan pendarahan dalam pelvis. Anggaran tahap serum beta-hCG yang berterusan diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan.
- Pembedahan.
- Rawatan secara pembedahan laparoskopi (pembedahan teropong)adalah rawatan bagi kebanyakan kehamilan ektopik. Namun, ia bergantung pada kewujudan peralatan pembedahan dan kepakaran doktor. Doktor boleh memilih untuk membuang ektopik tersebut atau membuang keseluruhan. Keputusan ini adalah berdasarkan pemerhatian ke atas tahap kesihatan tiub lain. Bagi kes kehamilan tiub yang telah pecah dan keadaan wanita tidak stabil, pembedahan terpaksa dilakukan (berbanding pembedahan laparoskopi) kerana proses pembedahan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Jika berlaku kes kehilangan darah yang banyak, pemindahan darah diperlukan.
Bolehkah saya hamil semula?
Peluang untuk hamil pada masa depan masih ada tetapi bergantung kepada berapa sihat tiub lain dan faktor lain seperti: umur anda, dan/atau jika anda sukar hamil sebelum ini. Jika tiub bersebelahan tidak tersekat atau rosak, peluang untuk hamil adalah masih ada tidak kira samada tiub yang terjejas oleh ektopik dikekalkan atau dibuang sepenuhnya.
Secara umum, 65 hingga 70 peratus wanita dengan sejarah kehamilan ektopik akan hamil lagi dalam tempoh 18 bulan. Walau bagaimanapun, jika kedua-dua tiub fallopian rosak atau pecah, anda perlu menjalani rawatan kemandulan (IVF) untuk hamil pada masa depan.
Adakah kehamilan ektopik yang lain boleh berlaku?
Peluang mendapat kehamilan ektopik sekali lagi adalah antara 12 hingga 20 peratus bergantung kepada beberapa faktor. Doktor akan mengenalpasti risiko tersebut dan memaklumkan anda.
Apa yang perlu saya lakukan apabila saya hamil sekali lagi?
Peluang mendapat kehamilan ektopik sekali lagi adalah antara 12 hingga 20 peratus bergantung kepada beberapa faktor. Doktor akan mengenalpasti risiko tersebut dan memaklumkan anda.
Berapa lama saya perlu tunggu sebelum mencuba untuk hamil lagi?
Ini bergantung kepada persediaan diri anda dari aspek fizikal dan emosi. Namun, sebaik-baiknya selepas 3 hingga 6 bulan selepas pembedahan (3 bulan bagi pembedahan laparoskop dan 6 bulan bagi pembedahan biasa).
Soalan berkaitan kehamilan ektopik
Seorang wanita didiagnos dengan kehamilan ektopik. Sekiranya anak tersebut dilahirkan atau gugur, apakah status darah tersebut? Adakah darah yang keluar dianggap darah nifas?
Jawapan
Sekiranya darah yang keluar selepas kelahiran atau keguguran itu, datangnya daripada rahim maka darah itu adalah darah nifas, jika keluar selepas kelahiran dan tidak lewat sehingga 15 hari. Ada pun jika darah tersebut bukan keluar daripada rahim, maka darah itu tidak dianggap sebagai darah nifas, mahupun darah haid, tetapi darah istihadah.
Ini kerana darah tersebut tidak termasuk dalam definisi darah haid, sedangkan darah nifas ialah darah haid yang terkumpul. Mengikut para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/77) :
دم جبلة ـ أي خلقة وطبيعة ـ تقتضيه الطباع السليمة يخرج من أقصى رحم المرأة بعد بلوغها على سبيل الصحة، في أوقات معلومة
Maksudnya:
“Darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”
Maka apabila darah yang keluar bukan daripada rahim maka ia bukan nifas mahupun haid, bahkan istihadah. Sebaliknya jika daripada rahim jua, maka adalah nifas.
Wallahua’lam.
Artikel asal