Norhamidar binti Abd Hamid merupakan anak jati Kubang Kerian dan dilahirkan 37 tahun yang lalu iaitu pada tanggal 28 April 1986. Beliau merupakan ibu muda yang mempunyai 3 orang cahaya mata iaitu dua
lelaki dan seorang perempuan hasil dari perkahwinan dengan Ahmad Huzaifah bin Fauzi.
Bermula dengan pendidikan menengah di Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu sehingga peringkat SPM, beliau meneruskan pengajian peringkat Diploma di UiTM dalam bidang Diploma Sains. Seterusnya beliau menyambung lagi pengajian ke peringkat Ijazah di universiti yang sama dalam bidang Sarjana Muda Sains Kepujian. Biologi Pada tahun 2018 pengajian diteruskan lagi ke peringkat Sarjana di USM dalam bidang Sarjana Sains (Fisiologi Perubatan).
Sifat dahagakan ilmu dan tidak puas dengan ilmu yang ada menyebabkan ibu muda yang sangat komited ini menyambung pengajian peringkat PHD di USM Kampus Kesihatan. Beliau menjalankan kajian rawatan penyakit kencing manis yang memberi kesan kepada saraf manusia. Sungguhpun sibuk dengan pengajian
beliau tetap menyumbang bakti kepada masyarakat Norhamidar merupakan Pengerusi NGO Wanita (Pertubuhan Wanita Prihatin Sejahtera Kota Bharu) dan aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan khususnya kepada kaum wanita untuk memperkasakan serta meningkatkan kualiti sosial dan ekonomi wanita dalam aspek pendidikan kemahiran dan kebajikan.
Beliau juga melibatkan diri dalam NGO kesihatan seperti PAPISMA (Petubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia), PESONA (Persatuan Strok Negeri Kelantan), MAPTB (Malaysian Association for the
Prevention of Tuberculosis) dan skuad WAJA anjuran PAPISMA dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Walaupun bergiat aktif di dalam masyarakat dan sibuk mengurus anak anak yang masih kecil, ibu muda ini sentiasa tenang dalam menghadapi setiap cabaran. Hasilnya pada tahun 2021 beliau telah mendapat Anugerah Sanggar Sanjung Peringkat Universiti. Kesungguhan beliau dalam mendalami ilmu pengetahuan dan sumbangan kepada masyarakat seharusnya diberikan penghargaan agar kisah beliau dapat dijadikan inspirasi dan motivasi kepada semua.