Diberi nama Siti Nor Syuhada anak ke empat dari sepuluh orang adik beradik ini dilahirkan pada tanggal 27 Mac 1991 di Keratong Pahang. Ketika berusia 5 tahun keluarganya pulang berpindah ke negeri kelahiran ayahnya di Kelantan dan terus menetap di negeri Serambi Mekah ini. Mendapat pendidikan awal di Maahad Assabirin Ayer Lanas Jeli, beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam jurusan Bachelor Pendidikan Awal Kanak kanak. Pada 2014-2015, beliau memulakan tugasan sebagai seorang guru di SRITI Muallim, Perak dan kemudiannya meneruskan bakti sebagai guru di SRITI Asy Syafie Jeli dari 2018 hingga kini.
Semenjak kecil Syuhada minat melukis komik dan minat serta bakat istimewa ini terus dipupuk dan digilap hingga kini. Beliau yang menggunakan nama pena Imanimex kini telah menghasilkan 9 buah
buku komik ber genre dakwah. Antara karya beliau adalah Misi Budak Tahfiz 1 & 2, Muslimah yang Tercemar Misi 4 Flat, Seriuslah Ragaman Ramadan dan Kampus Psiko. Lebih membanggakan bukan hanya melukis komik sendiri, anak muda ini juga turut menjadi CEO kepada Syarikat Daie Kreatif Venture iaitu syarikat yang menerbitkan komik bermotif dakwah dengan tagline Alternatif Hiburan Akhir Zaman. Setakat ini, syarikat ini telah menerbitkan lebih 20 buah komik yang dilukis oleh pelukis bakat baru dan lama.
Siapa sangka Syuhada yang kini mempunyai lebih 127 k followers di Facebook Page Imanimex serta puluhan ribu followers di Instagram dan Tiktok pada mulanya sering mendapat komentar negatif tentang
lukisannya sewaktu beliau kecil. Komentar lukisan buruk hodoh dan tak cantik terhadap hasil lukisan beliau menyebabkan beliau melukis secara sembunyi sembunyi. Kesalah fahaman terhadap hadis Nabi
S.A.W yang melarang untuk melukis gambar juga telah menyebabkan Syuhada menjadi takut untuk melukis. Tetapi setelah memahami bahawa larangan itu adalah untuk lukisan yang disembah serta
bukannya larangan untuk lukisan dan komik yang boleh menyampaikan mesej yang baik beliau menjadi lega. Pada 2013 beliau mendengar sebuah ceramah bertajuk Bakat yang Perlu Dimanfaatkan. Ceramah
ini telah menjadi pemangkin utama untuk beliau melukis komik secara serius sebagai medium dakwah dengan menjadikan kanak kanak dan remaja sebagai sasaran mad’u. Pada tahun yang sama juga beliau
telah diuji dengan kehilangan ayah tercinta untuk selama lamanya.
Sudah 10 tahun Syuhada aktif melukis secara serius dan bermula 2017 hingga kini, beliau sering dijemput untuk menjadi penceramah bengkel melukis komik. Beliau juga menjadi salah seorang tenaga pengajar
karikatur GENTERA iaitu program di bawah Kerajaan Negeri Kelantan, dan sentiasa terlibat sebagai AJK dalam program melukis secara besar besaran antaranya ialah Kotakomik dan Anifest. Selain itu
setiap tahun beliau akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan membuka booth untuk jualan komik dakwah. Semoga Syuhada menjadi semakin sukses dalam bidang seni lukis komik dakwah ini dan semoga karya karya beliau mendapat tempat di hati para pembaca dan akan dinilai sebagai ilmu yang bermanfaat untuk generasi kini dan akan datang.