Jawapan:
Oleh kerana masalah ini berlegar dalam banyak Facebook dan juga media sosial di samping persoalan yang sampai ke meja kami maka, sewajarnya kami menekuni isu ini dan melebarkan lagi jawapan.
Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini daripada hadis Anas bin Malik RA:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)
Pun begitu, ada khilaf mengenai apakah perlu perempuan berkenaan menggantikan puasa atau tidak. Berikut perbezaan pendapat secara ringkas:
Pertama: Mazhab Hanafi: Jika perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa, wajib mengqada’kan puasa sahaja, tetapi sunat membayar fidyah. Pendapat ini juga dinyatakan oleh al-Hasan, Atha’ al-Nakhaie, al-Zuhri, al-Auzaie, Sufyan al-Thauri. Ini juga salah satu wajah dalam mazhab Syafie.
Kedua: Mazhab Syafi’i dan Hanbali: Wajib qada’ dan perlu membayar fidyah bagi perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa jika mereka takut kesihatan janin atau anaknya yang disusukan sahaja mengikut pendapat muktamad. Ini juga pendapat Mujahid.
Ketiga: Mazhab Maliki: Wajib mengqada’ dan fidyah hanya dikenakan kepada yang meninggalkan puasa kerana menyusukan bayi tidak kepada yang hamil. Wanita hamil hanya wajib mengqadha’kan sahaja tanpa fidyah. Ini juga pendapat ketiga dalam mazhab Syafie.
Keempat: Pendapat sebahagiansahabat antaranya Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Sirin: Jika kedua-duanya yakni perempuan yang hamil dan menyusu bimbang ke atas dirinya atau anaknya maka bolehlah ia berbuka dan membayar fidyah sahaja berdasarkan umum ayat
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Baqarah:184)
Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/70)
Berdasarkan kesemua pendapat mazhab ini, Sheikh Attiyyah Saqr dalam Seen Wa Jeem Lil-Mar’atil-Muslimah (soal jawab muslimah) mengatakan boleh saja memilih salah satu dari pendapat di atas. Namun Dr Yusuf Qaradhawi mengatakan pendapat yang rajih ialah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas R.Anhuma.
Tarjih
Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha jika bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Juga jika dibimbangi terhadap dirinya dan anaknya, maka hendaklah diqadha sahaja. Justeru jika dibimbangi pada anak yang dihamilkan, atau yang disusukan sahaya, tanpa dirinya, maka diwajibkan qadha’ jika berbuka dan dibayar fidyah. Pendapat ini juga adalah pendapat jumhur dengan berkata sepertimana kaedah: “Hukum memberi makan kekal kepada hak yang tidak mampu berpuasa.”
Imam al-Turmuzi berkata: “Dan amalan di sisi ahli ilmu kebanyakannya bahawa perempuan tersebut boleh berbuka dengan memberi makan orang miskin sebagai fidyah dan juga qadha.”
Pendapat ini adalah sama dengan pendapat Syeikh Taqiyuddin.
Ibn Kathir berkata: “Bagi wanita yang hamil dan menyusu boleh meninggalkan puasa tetapi selepas itu hendaklah membayar fidyah dan mengqadha puasanya.”
- Ahli ilmu dan para ulama telah menyebut bahawa sabit Ibn Abbas dan Ibn Umar telah rujuk daripada pendapat ini. Justeru, tidak boleh disabitkan pendapat tersebut kepada kedua-duanya. Lihat kitab As-Saum Wa al-Iftar Li Ashab al-A’zar (hal. 152-153)
- Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra menjelaskan dengan sanad yang bersambung daripada Ibn Umar bahawa seorang perempuan mengandung (hamil) berpuasa pada bulan Ramadan dan merasa kehausan yang teramat, lantas ditanya halnya kepada Ibn Umar. Kemudian Ibn Umar memerintahkannya untuk berbuka dan memberi makan setiap hari seorang miskin secupak. Kemudian tidak memadainya apabila dia sihat, hendaklah dia qada’nya. Lihat as-Sunan al-Kubra 4/230.
- Berkenaan Ibn Abbas, Abdul Razzaq telah menyebut dengan sanadnya yang menunjukkan wajib qada’. Lafaznya daripada al-Thauri dan Ibn Juraij, daripada Atha’ daripada Ibn Abbas katanya: “Perempuan yang hamil dan menyusu boleh berbuka di siang hari Ramadan dan hendaklah dia qada’ puasa tanpa memberi makan. Lihat Musannaf 4/218.
- Justeru, jadilah pendapat Ibn Abbas R.Anha dan Ibn Umar R.Anha bersama dengan pendapat jumhur.
Perbahasan Ayat
Kami nyatakan di sini pendapat para ulama berkenaan maksud ayat:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah: 184)
Tafsiran Ulama berkenaan ayat ini.
Antaranya:
- Ibn Kathir berkata: “Bahawa nasakh ayat tersebut tetap berlaku bagi orang yang sihat dan bermukim dengan kewajipan berpuasa baginya.”
- Ibn Abbas berkata: “Ayat ini tidak dinasakhkan kerana yang dimaksudkan adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu melaksanakan ibadah puasa. Justeru, dia berhak berbuka dan memberi makan setiap harinya seorang miskin. Ini juga riwayat daripada Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Ibrahim al-Nakhaie dan Said bin Jubair.”
- Mengikut riwayat Ubaidillah daripada Nafi’ daripada Ibn Umar bahawa ayat ini sudah dinasakhkan.
- Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani berkata: “Bagi mereka yang berpuasa dalam keadaan sukar dan masyaqqah termasuk yang megandung dan menyusukan juga, harus ketika itu berbuka kerana hilangnya kemampuan padanya.”
- Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: “Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.”
- Syeikh Ibn Asyur dalam Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Perkataan al-mutiq ialah yang mampu melakukan dan jika digunakan perkataan taqah lebih hampir kepada darjat kemampuan menuju kepada martabat lemah. Kemudian beliau menyebut golongan yang hamil dan menyusukan anak boleh berbuka dan hanya memberi makan setiap hari yang mereka berbuka.”
- Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: “Ayat ini menunjukkan pada permulaan Islam yang difardhukan ke atas mereka puasa sedangkan mereka masih belum biasa yang menyebabkan merasa sukar lantas diberi keringanan untuk mereka berbuka dan hanya membayar fidyah kemudian dinasakh dengan ayat yang lain.”
- Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam tafsirnya Zahrah al-Tafasir antara lain menyebut: “Ayat ini menunjukkan begitu sukar sehingga hilang kemampuan secara berterusan seperti orang yang teramat tua dan inilah tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Mas’ud.”
Perbahasan ayat ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
- Adakah ia dinasakhkan atau tidak.
- Apakah maksud yang dikehendaki dalam ayat ini.
Secara ringkasnya, para ulama telah khilaf berkenaan ayat ini samada dinasakhkan atau tidak kepada empat pendapat:
Pertama: Ia tidak dinasakhkan seperti pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Ia telah dinasakhkan seperti pendapat Salamah dan jumhur.
Ketiga: Ia hanya dikhususkan kepada orang yang mampu yang tiada uzur baginya dan kekal terhadap perempuan yang menyusu dan hamil.
Keempat: Bahawa sebahagiannya dinasakhkan dan sebahagiannya bersifat muhkam.
Berkenaan dengan persoalan kedua, siapakah yang ditujukan dalam ayat ini, terdapat tiga pandangan seperti yang dinukilkan daripada Tafsir Fakhr al-Razi:
Pertama: Ayat ini kembalik kepada orang yang musafir dan sakit.
Kedua: Ayat ini kembali kepada orang yang mukim dan sihat. Inilah pendapat kebanyakan ahli tafsir.
Ketiga: Ayat ini diturunkan kepada syeikh yang tua.
Penutup
Menekuni pandangan ulama maka kita dapati khilaf yang berlaku dalam kalangan mereka tidak lain tidak bukan kecuali mencari dalil yang paling kuat dan rajih. Pada saat yang sama, ada dalam kalangan ulama yang memilih jalan ihtiyat di mana ia lebih selamat. Justeru, dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:
- Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja.
- Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehah dia berbuka dan membayar fidyah sahaja, menurut pendapat sebahagian ulama seperti Ibn Abbas, Ibn Umar dan Ibn Sirin, Syeikh Abu Zuhrah dan Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur. Manakala menurut mazhab al-Syafie, harus berbuka tetapi wajib diqadha’ dan dibayar fidyah.
Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan