PERISTIWA PERANG BADAR – Made With PosterMyWall

Pada hari Jumaat, 17 Ramadan tahun kedua Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Perang Badar al-Kubra.

Badar ialah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dengan Makkah.

Tentera Islam mengawal lokasi strategik tersebut dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.

Peperangan itu melibatkan tentera Islam seramai 313 orang anggota berhadapan dengan 1,000 orang anggota tentera Musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata.

Pada peringkat awal, tujuan tentera Islam bukan untuk berperang. Sebaliknya, tujuan mereka adalah untuk memintas pasukan pemimpin Makkah bernama Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dari Syam.

Tindakan ini bagi melumpuhkan bekalan musuh yang berpusat di Makkah.

Tiba-tiba. mereka berhadapan dengan bala tentera musuh yang jumlahnya lebih besar dan bersenjata lengkap. Malah, bala tentera musuh Islam ini pula terdiri daripada ahli keluarga mereka sendiri.

Peperangan ini juga melibatkan para malaikat yang membantu orang yang beriman dan iblis yang memberikan semangat kepada kaum Musyrikin.

Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 orang tentera Musyrikin terbunuh. 70 orang lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Peperangan ini ialah suatu peristiwa yang luar biasa apabila tentera Islam yang jumlahnya kecil, lemah dari sudut kelengkapan memenangi pertempuran yang besar.

Ini membuktikan orang yang berjuang demi mencapai keredhaan Allah SWT pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan, setelah membuat persediaan sekadar kemampuan walaupun tidak sama dengan musuh, tetapi keikhlasan dan bertawakkal kepada Allah selepas berikhtiar dan berusaha mengikut perintah-Nya dengan ikhlas.

Allah SWT menegaskan dalam al-Quran:

(وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرࣲ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةࣱۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ)

“Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang Badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.”

[Surah Ali ‘Imran: 123]

Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan perlu ada sifat taqwa dalam diri apabila berjihad. Maka puasa ialah tarbiah yang menumbuhkan taqwa dalam diri seseorang yang beramal dengannya.

Allah SWT menamakan para sahabat yang terlibat dalam Perang Badar sebagai contoh bagi Hizbullah iaitu kumpulan yang menegakkan agama Allah SWT.

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran:

(لَّا تَجِدُ قَوۡمࣰا یُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ یُوَاۤدُّونَ مَنۡ حَاۤدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوۤا۟ ءَابَاۤءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَاۤءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَ ٰ⁠نَهُمۡ أَوۡ عَشِیرَتَهُمۡۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَتَبَ فِی قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِیمَـٰنَ وَأَیَّدَهُم بِرُوحࣲ مِّنۡهُۖ وَیُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۚ رَضِیَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوا۟ عَنۡهُۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَاۤ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ)

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadanya dan dimasukkannya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka pun sangat redha kepada Allah (keatas hidayah dan limpahan rahmat-Nya). Mereka itulah Hizbullah (parti Allah). Ketahuilah, sesungguhnya Hizbullah itu ialah golongan yang beruntung.”

[Surah al-Mujadalah: 22]

Artikel telah disunting oleh penulis wk.com

Untuk mendapatkan lebih banyak kisah-kisah menarik berkaitan perjuangan menegakkan Islam di bulan Ramadan, boleh dapatkan buku Fiqh Ramadan daripada Pustaka Permata Ummah di pautan yang disediakan:

bit.ly/Buku_FiqhRamadan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *