Template Web (2)
Sumber Gambar: KPWKM

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2020 yang lalu, bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ telah mengemukakan matlamat, strategi dan inisiatif merangkumi semua perkara serta menyerlahkan keprihatinan kerajaan terhadap semua segmen masyarakat.

Selain disifatkan sebagai belanjawan yang inklusif, Belanjawan 2021 juga turut disifatkan sebagai belanjawan ‘mesra wanita’ kerana dilihat mengambil kira banyak keperluan golongan wanita khususnya, dengan menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan wanita serta kumpulan keluarga dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Belanjawan 2021 benar-benar mempersembahkan banyak inisiatif yang akan memberi sinar kepada rakyat dalam pelbagai lapisan, khususnya bagi mereka yang terjejas sepanjang penularan wabak Covid-19.

Dalam Belanjawan 2021 juga, dapat dilihat peningkatan kadar bantuan kepada golongan OKU, kanak-kanak dan warga emas yang mampu membantu kumpulan berkenaan dalam tempoh pandemik ketika ini.

Kerajaan akan terus menjaga kebajikan golongan warga emas dan OKU melalui Program Khidmat Bantu di Rumah. Sehubungan itu, nilai sagu hati kepada sukarelawan di bawah program ini akan dinaikkan daripada RM150 kepada maksimum RM400.

Manakala, nilai sagu hati kepada klien program turut dinaikkan daripada RM30 kepada RM80. Kenaikan ini dijangka memanfaatkan lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas dan OKU.

Selanjutnya, bagi membantu mereka yang mempunyai pasangan OKU, sukacita kerajaan mengumumkan had pelepasan cukai bagi pasangan OKU akan dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM5,000.

Dalam pada itu, dalam belanjawan kali ini turut menyentuh isu yang pernah dibangkitkan sejak 2008, iaitu menaikkan kadar bayaran bulanan bagi penyelia dan petugas di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti.

Antaranya terdapat beberapa inisiatif khusus untuk wanita seperti program bagi meningkatkan pembabitan kontraktor wanita Bumiputera dalam kontrak kerajaan dan program bimbingan. Dengan harapan akan membantu golongan wanita menjana ekonomi, sekali gus dapat menyumbang kepada keluarga masing-masing.

Selain itu juga, inisiatif MySTEP yang menawarkan sebanyak 35,000 peluang pekerjaan, termasuk pegawai kebajikan masyarakat, akan mengukuhkan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang juga antara barisan hadapan dalam tempoh mendesak ini.

Bagi memperkasa usahawan wanita, sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas turut disediakan melalui Tekun, Mara dan AgroBank.

Selain itu, sebanyak RM50 juta juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, YaPEIM bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe.

Kerajaan menyedari akan pentingnya menangani isu keganasan rumah tangga. Oleh itu, kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan RM21 juta.

Sumber Gambar : KPWKM

Pusat ini dengan kerjasama NGO akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

Pembiayaan mikro kredit khas melalui Tekun, Mara dan AgroBank yang dikhususkan kepada golongan wanita tepat pada masanya dalam usaha memperkasakan usahawan wanita.

Peruntukan sebanyak RM21 juta bagi penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat, mampu menjadi rujukan bagi wanita golongan yang teraniaya seperti berdepan isu penceraian, keganasan rumah tangga dan sebagainya, kerana kebanyakan mereka ini tidak tahu di mana untuk mendapat rujukan.

Pelbagai program sedang dan telah dirangka bagi memperkasakan wanita, khususnya mereka dalam kalangan profesional yang pernah berdepan dengan isu keganasan domestik dan kini berazam memulakan kehidupan baru.

Sehubungan itu, bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan golongan ibu berkerjaya, sebanyak RM30 juta disediakan untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan kerajaan, terutamanya di hospital.

Manakala, bagi sektor swasta, geran padanan sehingga RM20 juta akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat penjagaan kanak­kanak di premis mereka.

Selain itu, sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi yang mendapat kanser payudara.

Bagi ibu tunggal dengan pendapatan tukang jahit yang tidak tetap, kini boleh menarik nafas lega sebaik mengetahui pelbagai inisiatif yang bakal diperolehi, termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin, Program Jaringan PRIHATIN dan Bantuan Bayaran Bersasar.

BPR yang menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) melibatkan peruntukan berjumlah RM6.5 bilion yang dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 di bawah BPR, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan RM1,200, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima sebanyak RM1,800.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak pula akan menerima bantuan sebanyak RM800, manakala yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,200. Bagaimanapun, belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini merangkumi semua bidang dan menyentuh pelbagai perkara bagi memastikan tiada kalangan rakyat yang tercicir untuk terus dibantu mengharungi kepayahan hidup dalam suasanan pandemik Covid-19.

Boleh dapatkan link artikel asal di HarakahDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *