Encik Mohd Ramli bin Abdul Rahman, seorang individu yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya fizikal. Bersama isteri tercinta, Puan Siti Hafsah, mereka telah dikurniakan lapan orang cahaya mata. Kekurangan fizikal tidak pernah menjadi penghalang bagi beliau untuk memenuhi segala tanggungjawab yang dipikulnya.
Encik Mohd Ramli sentiasa menerapkan hal-hal keagamaan dalam keluarganya, berkomunikasi dengan baik, serta mengadakan perbincangan dengan isteri dan anak-anak dalam setiap perkara. Pendekatan ini telah membentuk keluarga beliau ke arah Keluarga Mawaddah.
Selain memikul amanah sebagai seorang suami dan bapa di rumah, beliau juga aktif bersama NGO Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan dan Persatuan Insan Istimewa Kelantan. Dengan penuh harapan, beliau berusaha untuk membantu dan memperkasakan rakan-rakan senasib.