16

Pernahkah kita terfikir, adakah Ramadan yang sedang kita jalani ini adalah Ramadan terakhir untuk kita? Adakah kita sempat untuk menjalani Ramadan pada tahun seterusnya? Sempatkah kita mengejar malam Lailatul Qadar? Tiada siapa yang mampu menjawab persoalan ini melainkan Allah S.W.T Yang Maha Agung.

Rata-rata manusia begitu yakin mereka akan bertemu Ramadan pada tahun seterusnya sedangkan kita manusia hanya mampu merancang, Allah yang menentukan percaturan hidup ini. Setiap kali terdetik dalam fikiran untuk bertangguh dalam mengejar pahala ibadah wajib mahupun sunat ingatlah bahawa manusia tidak tahu bilakah masa-masa terakhir kita di dunia yang fana ini. Lakukan ibadah seikhlas hati dengan bersungguh-sungguh seolah-olah itu adalah ibadah terakhir kita supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang menyesal kerana tidak sempat beramal soleh ketika hayatnya di dunia. Perkara ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

 “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).” (Surah al-Mu’minuun, ayat 99)

Bagaimana kita ingin melatih diri untuk bersungguh-sungguh melakukan ibadah yang sentiasa mengingatkan kita kepada ibadah terakhir?

Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Pemurah sangat menyukai hambanya yang bersungguh-sungguh meminta dalam berdoa kepadaNya. Allah SWT menegaskan dalam ayat 55, Surah al- A’raf yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dengan suara yang lembut. Kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Antara doa yang boleh diamalkan semasa dalam bulan Ramadan ialah:

اللهم بارك لنا في شهر رمضان وبلغنا ليلة القدر

Maksudnya: ” Ya Allah berkatilah kami di dalam bulan Ramadan dan sampaikanlah kami dengan Lailatul Qadr

Andai ini Ramadan terakhir:-

🔹 1. Banyakkan berdoa

Pernah ditanya kepada Tok Kenali iaitu seorang tokoh ulama’ ulung berkenaan doa yang paling ringkas dan ibu bagi segala doa, maka beliau menyebut doa ini yang merupakan antara dua doa yang tidak pernah ditinggal oleh Nabi SAW

i. Doa memohon perlindungan dan keselamatan

اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya: “Wahai Rabb kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan akhirat dan hindarkanlah kami dari seksa api neraka”

Antara tafsir bagi kalimah “hasanah fi dunya” iaitu dikurniakan kebaikan di dunia, bentuk kebaikan di dunia adalah seperti beroleh keluarga yang baik. Dan apa-apa yang berkaitan dengan kehidupan dunia kita seperti dikurniakan rezeki yang diberkati dan amalan soleh yang berterusan.

Doa khusus Nabi kepada Anas bin Malik:


اللهم اكثر مالى وولدي واطل حياته على طاعتك وأحسن عمالى واغفرلي

“Ya allah banyakkanlah harta dan anaknya, panjangkanlah umurnya dalam kehidupannya dalam ketaatan dan perbaikilah amalan dia dan ampunilah dia”

ii. Doa memohon keteguhan iman

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِيَ عَلَى دِينِكَ وعلى طاعتك

Ertinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan terhadapMu”.

Pengurusan kehidupan itu sangat penting supaya ia dapat menjalaninya dengan lebih bermakna. Sebahagian manusia mudah tertipu dengan godaan dunia dan lupa bersyukur sehingga terlupa untuk memanfaatkan kedua-dua nikmat ini dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah

عن ابن أنس رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (HR Bukhari No: 5933)

🔹 2. Belajar untuk ikhlas

Ramadan umumnya dikenali sebagai bulan pesta ibadah kepada seluruh umat Islam di dunia kerana bulan ini adalah bonus pahala berganda yang akan dikreditkan kepada buku amalan kita .Siapa tidak mahu bonus pahala bergandakan? Sangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang ini kerana pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala yang ditawarkan manakala pintu neraka ditutup serta syaitan yang dibelenggu. Latih diri supaya ikhlas dalam membuat segala gerak kerja, moga kita beroleh pahala.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *