Senam

Islam sangat menitikberatkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi. Ketangkasan, kecergasan fizikal dan mental seseorang Muslimah bukan sahaja bergantung kepada latihan rohani tetapi juga kepada latihan fizikal dan mental seperti apa yang dilakukan dalam bersukan atau bersenam.

Dunia mengetahui bahawa sukan menjana kecergasan fizikal dan mental, bermakna dengan bersukan badan sihat otak cerdas. Walau bagaimanapun dan dalam apa juga bidang termasuk bidang sukan, Islam tetap menetapkan beberapa syarat dan peraturan sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya terutama dalam kalangan wanita Muslimah agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah”. (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini jelas memperlihatkan betapa Rasulullah S.A.W amat menitikberatkan kesihatan agar terhindar dari penyakit yang memudaratkan umpamanya jantung, strok,darah tinggi, barah, diabetis dan sebagainya. Selain daripada itu, dengan sukan juga dapat memupuk tali persaudaraan antara ahli keluarga, masyarakat setempat, negara dan bangsa di dunia. Sebagai contoh, sukan menjadi tali penghubung antara Malaysia dengan negara-negara luar. Bermakna sukan bukan saja menguji kekuatan fizikal dan mental malah membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah sejagat.

Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira dan dipraktikkan oleh Muslimah dalam bersukan…

 

1. Menjaga aurat dengan memakai pakaian menurut syariat.

Sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar: 

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

 

2. Bersukan hanya di kalangan wanita.

Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan. Mengambil kepentingan hak dan kemuliaan wanita dalam sukan adalah sesuai jika tempat dan waktu bersukan bagi lelaki dan wanita diasingkan. Wanita mempunyai hak yang perlu dilayan sesuai dengan fitrah dan kejadian wanita yang sopan dan pemalu. Layanan istimewa bukan sahaja terhadap wanita Islam malah terhadap wanita bukan Islam. Seperti contoh pengasingan penggunaan bilik gymnasium mengikut hari-hari tertentu antara lelaki dan perempuan untuk kaum wanita dapat melakukan aktiviti sukan tanpa batasan.

Sukan2

3. Jaga pergerakkan semasa bersukan

Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Sukan wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet dan sebagainya harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian terutama dari kaum lelaki.

 

4. Jaga etika ketika menyokong

Dalam menyokong pasukan, keganasan perlu dielakkan. Menang dalam pertandingan tidak semestinya menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia. Penyokong sukan wanita biarlah dari kalangan wanita sahaja, tidak dipertontonkan kepada lelaki. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara ,membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.

Nabi SAW bersabda: 

Maksudnya:“Dicucuk kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik dari dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Sukan1

5. Jangan suka bersukan sehingga melalaikan

Sukan tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti kewajipan bersolat.

Firman Allah SWT:

“Dan celaka bagi orang yang lalai dari melakukan solatnya (sehingga solat diluar waktu).”(4 : al-Ma’un).

 

6. Mempunyai sifat jati diri yang kuat

Wanita yang bersukan perlu ada jati diri dan keimanan yang teguh agar tidak mudah membuka tudung semasa mempamerkan aksi sukan. Sesetengah atlet wanita yang berkecimpung dalam sukan sering kali dilihat membuka tudung semasa bersukan dan kembali bertudung selepas kejohanan atau pertandingan. Fenomena ini dilihat sebagai mencemar imej Islam dan jati diri yang goyah. Perlu ada cara lain yang difikirkan bagi mengatasi syarat yang dikenakan oleh sesetengah peraturan dalam sukan yang tidak membenarkan memakai tudung ketika kejohanan.

Penglibatan wanita dalam sukan haruslah dipandang dari perspektif sama ada membawa implikasi yang baik ataupun sebaliknya. Secara dasarnya, kebanyakan wanita dikaitkan dengan kelembutan dan wujudnya ketidaksesuaian dalam mana-mana acara sukan. Namun, fenomena ini masih mampu diperbetulkan dengan pelbagai cara melalui penekanan dan perundangan baru yang melanggar peraturan dan adat khusus masyarakat Timur di Malaysia.

Etika berpakaian, penetapan masa dan batasan dalam pergaulan di dalam bersukan merupakan antara pembangunan secara globalisasi semestinya dijadikan wadah utama tanpa mengenepikan pegangan segenap lapisan masyarakat.

Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Syari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang.

Allah berfirman:

“Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87).

 

#Bersukanlah mengikut garis panduan dan syariat Islam, Badan cergas otak cerdas. 

 

Artikel dipetik dari Atiya.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *