Lazuli Real Estate (1)

Pening kepala nak cari idea dan cara dekor yang sesuai dengan rumah saya. Ruang terhad, bilik sempit. Tak banyak yang boleh dilakukan, tetapi geram tengok barang perhiasan yang cantik dengan warna kegemaran. Huh, mencabar betul!

Ya, tugas mendekorasi rumah memang mencabar, apatah lagi jika ruang kediaman terhad.

Pada masa sama, kita teringin letak pelbagai jenis perabot dan perhiasan idaman. Hmmm…

Bagaimana caranya supaya rumah yang sempit nampak luas dan mewah?

Tidak dinafikan, sukar menahan keterujaan apabila masuk ke pusat beli-belah yang menawarkan pelbagai pilihan barangan dekorasi.
Apatah lagi jika anda memang minat menatahias ruang kediaman. Ikutkan hati, mahu diborong semua yang berkenan. Tetapi, hasrat terbantut apabila memikirkan keadaan ruang rumah yang sempit dan terhad.
Baiklah. Panduan berikut ini mungkin boleh membantu anda memiliki dekorasi rumah idaman.

1. Seimbang dan harmoni.

Keseimbangan dan keharmonian penting dalam menghias rumah yang sempit. Misalnya, untuk pangsapuri tiga bilik. Perabot, kemasan, dan aksesori harus seiring dengan konsep dekor ruang. Tetapi, tidak semestinya perlu sama. Nanti hilanglah kreativiti dalam tatahias rumah anda.

Sumber : Dapoffice.com

2. Fokus dekor rumah bukan bilik.

Memandangkan sempit (keluasan terhad), berikan penekanan pada hiasan rumah dan bukannya hanya bilik. Daripada pening memikirkan konsep dekor bagi setiap bilik atau ruang, anda hanya perlu menatahias keseluruhan dalaman rumah dengan tema, gaya atau warna yang kesukaan untuk mendapatkan flow dekorasi idaman.

Anda boleh memilih warna dinding terang untuk satu bilik. Gunakan warna sama pada bedding set di dalam bilik lain. Kemudian, hias ruang tamu dengan bantal kecil pada sofa atau hamparan (menggunakan skim warna sama).

Sumber : Says.com

3. Kualiti dan jenama.

Tidak perlulah dekor setiap sudut dengan perabot dan aksesori berjenama. Elakkan daripada menggandingkan barang murah bersama yang mahal kerana ini hanya hanya menampakkan lagi ‘murahnya’ barang itu. Banyak barang atau perhiasan murah tetapi kelihatan mahal dan mewah. Rajin mencari, mesti jumpa. Cubalah.

4. Minimalis elegan.

Bagi memberi kesan ruang rumah yang sempit nampak luas dan mewah, pemilihan serta susun atur perabot juga aksesori hiasan sangat penting. Pastikan anda pilih yang kemas, ringkas juga selesa untuk penampilan ruang kelihatan lebih bergaya dan mahal. Gaya hiasan ini menepati ciri dekorasi moden minimalis yang elegan.

Sumber : lonelybloggers.com

5. Suai padan

Ruang tamu rumah yang dipenuhi produk daripada satu jenis sahaja membuat dekorasi rumah kelihatan ‘keterlaluan’. Suai dan padankan barang sedia ada atau daripada pelbagai jenama. Begitulah pakar hiasan dalaman melakukannya agar tatahias tampil lebih berkesan.

6. Lebihkan ruang

Sesuaikan ukuran perabot dengan bilik. Jika bilik kecil dan sempit, anda hanya memerlukan perabot bersaiz kecil. Bagi menambah seri, boleh gantung lukisan bersaiz besar untuk mencipta ilusi bilik yang luas.

Sumber : Fidelity Management

7. Masa, pilihan dan bajet.

Sebaik sahaja melangkah ke kediaman baru, anda mungkin terus berfikir untuk membeli perabot dan aksesori bagi memenuhi ruang yang ada. Kemungkinan pencarian pertama kali, anda akan gagal menemui barang yang diingini. Akhirnya, anda memilih sesuatu yang kurang sesuai untuk keperluan rumah atau berbelanja lebih daripada bajet. Jadi, ambillah masa hingga anda temui barang yang sesuai dengan citarasa dan ruang.

8. Jangan berlebihan.

Memang, tiada salahnya jika anda mahu menampilkan warna terang dan bentuk unik untuk menarik pandangan. Ini memang akan menjadi lambang cita rasa anda dan mempunyai mesej dekor tersendiri.
Bagaimanapun, jangan berlebihan. Tonjolkan gaya dekor impian anda secara sederhana dan seimbang. Ini kerana, jika terlalu banyak, ruang menjadi berserabut atau semak. Misalnya, anda hanya perlu meletakkan satu koleksi pasu di ruang tamu, pasti lebih unik.

Sumber : Bonito Designs

9. Gaya ruang.

Selain menjadi tempat berehat, ruang tamu sering menjadi simbol cita rasa peribadi pemilik rumah. Ruang tamu diberi perhatian dalam hal dekorasi kerana kepelbagaian fungsinya.
Bagi memenuhi kegunaan ruang yang menjadi tumpuan seisi keluarga dan tetamu ini, boleh pelbagaikan aksesori (perabot dan peralatan) untuk menyerlahkan gaya ruang.

Sumber : Tipsmake.com

Anda dapat sesuatu daripada idea dekor di atas?

Semoga 9 idea dekor rumah sempit nampak luas dan mewah yang dikongsikan ini dapat memberi inspirasi dan membantu anda dalam menatahias rumah.

Sumber : Gaya360o

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *