Biasa kita dengar badan dah kembali ke berat asal seperti sebelum bersalin tapi masih ada ‘tayar spare’ di perut. Nak sorok pun tetap nampak. Keadaan ini bukan sahaja membuatkan wanita jadi rendah diri tetapi ada yang sanggup mencuba pelbagai produk asalkan kesannya lebih cepat.
Jangan bimbang mengenai hal ini kerana jika konsisten insya-Allah semuanya dapat kembali seperti asal. Paling penting kena disiplin dan jangan culas nak melakukannya semasa dalam pantang sehingga selesai pantang.
1) Menyusu bayi
Petua ini antara yang sangat berkesan. Sebaik selepas bersalin, susukan anak secara eksklusif. Ia boleh bantu buang lemak yang tidak diperlukan.
Menyusu badan boleh cepatkan proses kecutkan rahim dan boleh bakar 200 hingga 600 kalori sehari.
Bila rahim dah mengecut, perut buncit pun kembali kempis. Kalori terbakar juga bantu hilangkan lemak yang tak perlu di perut.
2) Berbengkung
Wanita yang dalam berpantang wajib berbengkung. Memang akan rasa tak selesa dan gatal. Tapi cara inilah mempercepatkan proses mengempiskan perut.
Rahim kita sangat sensitif ketika ini, kerana telah berubah saiz berganda dari asal. Pergerakan yang banyak ketika berpantang perlu dielak bagi elak masalah pada rahim.
Sebab itu wajib berbengkung untuk menjaganya. Kulit-kulit geleber dan perut buncit juga boleh dibetulkan semula. Namun bagi wanita yang bersalin secara pembedahan nak berbengkung biarlah tempat jahitan itu benar-benar pulih. Mungkin yang ceaser ia mengambil masa lama sikit.
3) Bertungku / Bertangas / Bersauna
Bertungku antara kaedah tradisional yang boleh membantu melancarkan darah, lemak dan mengurangkan bengkak dalam perut dan rahim. Memang ini antara amalan yang wajib dilakukan wanita bersalin.
Bertangas dan sauna juga boleh pecahkan lemak. Lemak-lemak di perut penyebab buncit pun boleh hilang. Angin dan air berlebihan dalam badan pun boleh keluar.
Toksin yang ada dalam badan juga keluar melalui kulit dan badan akan rasa lebih ringan dan kembali kepada bentuk asal.
4) Kawal Pemakanan
Mengawal pemakanan antara salah satu cara yang dapat membantu. Tapi ni ramai ibu silap sangka. Bagi yang menyusu anak ramai beranggapan kena makan lebih dari biasa sebab nak menyusu anak. Jangan buat andaian seperti ini kerana anda dapat lihat badan seperti di pam-pam. Lepas tu mulalah risau.
Apabila anak dah tak minum susu ibu sepenuhnya, dicadangkan ibu-ibu perlu kawal makan agar perut tidak buncit dan menggeleber.
5) Betulkan Postur Tubuh
Cuba lihat cara anda berjalan. Tahukah anda postur badan ketika berjalan dan angkat barang boleh menyebabkan perut buncit?
Jadi lepas ni, kena tegakkan postur badan ketika berjalan. Jangan pandang remeh, kerana ia mungkin menyebabkan perut anda buncit sampai bila-bila.
6) Senaman dan Aktiviti Fizikal
Mesti ramai dah tahu petua ni walaupun susah nak buat kan? Namun alasan yang biasa adalah tiada masa nak bersenam.
Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal dan berenang juga boleh kurangkan lebihan lemak dibahagian perut. Jika nak kesan terbaik, perlulah buat secara konsisten.
7) Detoksifikasi
Badan kita pasti tak boleh lari dari toksin. Kebanyakannya terkumpul di bahagian perut. Itu yang menyebabkan kita ada masalah penghadaman, seterusnya membentuk lemak dibahagian perut.
Badan kita perlu didetoksifikasi dari masa ke semasa untuk buang toksin. Toksin berkurang, perut pun boleh kempis. Banyak minuman detoks yang boleh dibuat sendiri dan di cuba tanpa perlu makan ubat kurus.