KAK TAZ 1

8hb Mac adalah hari yang dipilih bagi mewakili wanita seluruh dunia.Ia adalah hari yang diperkenalkan dan diterima oleh sebahagian penduduk dunia akan wujud dengan entiti hak dan tanggungjawab seorang wanita. Wanita merupakan rukun dalam satu komuniti yang normal.

 

Islam mengiktiraf wanita bermula sejarah kisah ulung Adam a.s dan Hawa isterinya. Kisah ini takkan lengkap tanpa kisah Hawa dan Iqlima kemudiannya.

 

Seterusnya kehebatan Nabi-nabi ulul azmi semuanya terkandung peranan wanita dari pelbagai posisi. Kisah Ibrahim a.s ulul azmi dengan kisah hebat isteri bernama Sarah dan anaknya Nabi Ishak a.s dan Hajar selaku madunya dan ibu kepada Nabi Ismail sehingga mencetuskan manasik haji rukun Islam hasil pengorbanan mereka sekeluarga.

 

Nabi Musa a.s diperkukuhkan dengan peranan Firaun dan tak akan sempurna tanpa ada peranan 5 wanita dalam hidupnya iaitu permaisuri bernama Asiah ibu angkatnya , Yu’kabad ibu kandungnya, Maryam kakaknya dan Safura isterinya anak kepada nabi Syuaib dan kakaknya.

 

Nabi Isa a.s dengan kisah unik sucinya seorang wanita bernama Maryam yang tak mungkin akan diganti dengan jutaan wanita baik dan cantik seluruh dunia sepanjang masa.Dara suci abidah yang menjadi ibu yang hebat. Kisah Nabi Nuh a.s dalam menghadapi bencana alam luar biasa yang mana isterinya yang menjadi dalang kepada kaumnya yang menentang dakwah dan perjuangan Nabi Nuh a.s.

 

Biografi Nabi Muhammad saw yang penuh dengan puluhan ribu wanita hebat yang diketuai oleh Khadijah r.a , Aishah dan semua ummahatul Mukminin , Aminah ibunya dan para puterinya bernama Fatimah dan adik beradik perempuannya serta ibu-ibu susu, ibu saudara dan para sahabiyyah seluruhnya.

 

Semua wanita ini adalah sebahagian catatan sejarah yang diwahyukan kepada seorang lelaki hebat bernama Muhammad saw dan di dalam alquran terdapat surah atas nama wanita seperti surah Maryam bukannya surah Isa dan surah Yusuf a.s yang menukilkan cerita Zulaikha dan para wanita dalam kerajaan Mesir dan beberapa surah lain yang asbab nuzulnya juga berkait dengan wanita.

 

Dalam Islam hukum dan tatacara berkait wanita dijelaskan terperinci dalam surah annur dan annisa’ dan surah-surah lain.Semua ikon-ikon dan hukum ini masih menunggu perincian dan kupasan mengikut keperluan zaman dan tempat untuk perlaksanaannya.

 

Wanita adalah golongan istimewa dengan perlindungan dan hak yang dikurniakan Allah swt, yang tak mungkin mana-mana lelaki soleh dan berilmu berani menyanggah dan mempertikaikannya. Kini yang menjadi perbahasan ialah perlaksanaan bukan undang-undang dan hukum. Wanita harus bangkit mengingatkan para lelaki tentang hak dan tanggungjawab ini seterusnya menikmati semua yang dikurniakan dalam masa yang sama menunaikan hak dan tanggungjawab kepada para lelaki dalam hidupnya.

 

Maka bagi wanita Islam kita merai hari Wanita ini sebagai simbol memperingati bagaimana istimewanya hak wanita yang diberikan Allah swt dalam Islam bukannya meraikan kejayaan menuntut hak sebagai seorang wanita.

 

Maka piagam dan wasiat terbesar Nabi Muhammad saw “Berbuat baiklah kepada kaum wanita” selari dengan kehendak Islam harus sama-sama ditunaikan secara tuntas dan optima maka selamatlah masyarakat dunia dan akhirat.

 

“Selamat Hari Wanita Antarabangsa” untukmu Wanita yang istimewa.

 

YB Hajjah Mumtaz Md Nawi
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan
8hb Mac 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *