Ibu Bayi

Tugas hakiki yang telah diamanahkan Allah kepada para  isteri ialah  untuk menguruskan rumah tangga dan menjaga harta benda suami.  Namun, trend hari ini yang mana ramai para wanita berpendidikan tinggi dan kos hidup yang semakin meningkat memerlukan para wanita juga perlu keluar bekerja untuk membantu suami. Dengan bertambahnya komitmen ini, wanita perlu lebih bijak dalam pengurusan masa dan lebih ‘multitasking’.

Antara tips yang boleh dilakukan oleh para isteri untuk mengelakkan rumah menjadi  ‘tongkang pecah’ dan menjadikan urusan rumah menjadi lebih tersusun:

 

  1. Kekerapan membasuh pakaian.

Pakaian kotor jangan dibiarkan sehingga menimbun. Jika tidak, lebih tenaga diperlukan untuk menyelesaikan baju yang sudah setinggi ‘gunung’ dan akan memerlukan masa yang lebih lama untuk diselesaikan.  Jika mampu, gunakan mesin basuh yang berkapasiti lebih besar dan dapat memuatkan lebih banyak pakaian dalam satu-satu masa. Untuk mengurangkan kedutan dan memudahkan urusan menyimpan, pakaian hendaklah digantung menggunakan hanger untuk menjemur dan diletakkan di tempat yang berbumbung untuk mengelakkan kejadian cuaca yang tidak menentu.

 

  1. Menggosok pakaian untuk seminggu.

Kebiasaanya para isteri akan menggosok pakaian ke pejabat pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja. Apa kata tukar tabiat ini dengan menggosok pakaian untuk tempoh seminggu pada hujung minggu. Ia akan mengurangkan dilema para wanita untuk setiap pagi memikirkan apa yang harus dipakai pada hari tersebut. ‘Match making’ untuk tudung dan baju telah dibuat seminggu sebelum. Jadi tiada lagi keadaan kalut untuk memadankan pakaian pada waktu pagi tersebut. Pada masa yang sama, ia dapat mengurangkan sebahagian kecil kadar penggunaan  elektrik.

 

  1. Menyediakan bahan mentah untuk memasak bagi tempoh seminggu

Lauk pauk seperti ayam dan ikan, diasingkan dalam bekas-bekas kecil untuk sekali hidangan. Apabila hendak digunakan, hanya keluarkan dari tempat beku dan dibiarkan seketika sebelum digunakan. Pes untuk memasak seperti bawang kisar dan cabai juga boleh disediakan dan disimpan di dalam peti sejuk. Selain itu, lauk pauk juga boleh disediakan dalam jumlah banyak untuk satu-satu masa dan disimpan dalam bekas kecil di dalam peti sejuk di tempat sejuk beku. Apabila ingin dimakan, hanya di panaskan sahaja.

 

  1. Mengembalikan barangan ke tempat asal setelah diguna.

Tanamkan tabiat untuk mengembalikan segala barang pada tempat asal setelah digunakan. Dapatkan kerjasama dari anak-anak untuk melakukan perkara yang sama terutama barang permainan mereka.

 

  1. Mengemas rumah pada waktu malam saat ahli keluarga telah tidur.

Saat anak-anak telah melelapkan mata, masa untuk  si ibu beraksi. Kemaskanlah apa yang patut mengikut kemampuan. Kemaskan pinggan mangkuk, melipat baju dan menyimpan barang-barang ke tempat sepatutnya.

 

  1. Mulakan hari di awal pagi

Waktu pagi akan menjadikan seseorang  lebih produktif. Para isteri boleh lebih bersedia dengan lebih awal terutama untuk mereka yang mempunyai anak yang telah bersekolah. Menyediakan sarapan, mengurus pakaian suami dan anak-anak dan juga mengemas rumah. Mulakan pagi dengan melakukan solat sunat terlebih dahulu diikuti dengan tugas-tugas yang lain.

 

Sokongan dari pihak suami amat diperlukan pihak isteri dalam menguruskan keadaan di rumah. Anak-anak yang sudah boleh menerima arahan boleh dididik secara perlahan-lahan untuk membina tabiat mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *