Angin Dari Faraj Wanita – Made With PosterMyWall

SOALAN

Apakah batal wudhu’ jika ada angin yang keluar daripada faraj wanita? Bagaimanakah jika ia sangat kerap berlaku?

JAWAPAN

Angin yang keluar melalui faraj Wanita (atau disebut juga dalam Bahasa Inggeris sebagai queef) membatalkan wudhu’. Ini pandangan para ulama’ Syafi’iyyah sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi.

“Benda yang keluar daripada kemaluan hadapan lelaki atau perempuan, atau kemaluan belakang kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angin, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angin yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh [Imam] al-Syafie rahimahullah dalam kitab al-Umm, dan disepakati itu oleh ashab [ulama’ Syafieyyah].”[1]

Sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌وُضُوءَ ‌إِلَّا ‌مِنْ ‌صَوْتٍ ‌أَوْ ‌رِيحٍ

Maksudnya: “Tidak batal wudhu’ kecuali kerana bunyi atau bau.”[2]

Jika ia berlaku dengan kerap atas faktor penyakit atau keuzuran, di sini terdapat keringanan untuk solat walaupun tetap keluar angin daripada farajnya kerana dianggap seperti darah istihadah. Pun begitu, saya menasihatkan wanita yang diuji dengan hal sebegini:

  1. Sedaya upaya menjaga kesuciannya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang angin daripada keluar;
  2. Bersegera mengambil wudhu’ apabila sudah masuk waktu solat fardu;
  3. Bersegera melakukan solat tanpa bertangguh iaitu melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid atau meletakkan penghadang solat (sutrah).[3]

Wallāhu aʿlam.

[1] Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 2/4

[2] Riwayat al-Tirmidhi, no. 74. Hadis ini dihukumkan ḥasan ṣaḥīḥ.

[3] Al-Muʿtamad fī Fiqh al-Shāfiʿī , 1/123

Artikel telah disunting oleh penulis wk.com

Artikel asal : maktabahalbakri.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *