WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.28 PM (1)

Wee Sock Yam atau nama pena beliau ialah Sujata Wee. Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Jelawat Bachok, Kelantan. Beliau telah dianugerahkan Anugerah Khas Wanita Bukan Islam bersempena program Hari Sayyidatina Khadijah 2021 kerana mempunyai pengalaman yang meluas dalam bidang penulisan.

Beliau bersama penulis Malaysia dan penulis nusantara di dalam 67 buah antologi pelbagai gaya termasuk pantun, sajak, syair, gurindam, cerpen dan penulisan makalah. Beliau seorang yang aktif mendeklamasikan sajak sama ada di dalam dan di luar negara dan beliau pernah ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain negeri serta dijemput ke Thailand dan Indonesia untuk acara sastera dan mendeklamasikan sajak.                                            
Selain itu, beliau merupakan Ahli Persatuan Penulis Kelantan, Persatuan Penyair Kelantan dan Persatuan GEMA serta menjadi biro dan wakil kampung kepada Persatuan Peranakan Cina Kelantan. Di samping itu, beliau juga merupakan AJK Persatuan Buddha Wakaf Bharu dan giat menghadiri aktiviti kesasteraan dalam negeri Kelantan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
 


Bakat beliau turut terserlah dalam penulisan puisi eceran kerana tersiar didalam beberapa akhbar seperti akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Sinar Harian, Buletin Penyair, Jurnal Pemuisi, Wilayahku, New Sabah Times, Jendela Timur, Berita Harian, majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Pelita Bahasa. Antara karya yang diterbitkan oleh beliau adalah dua buah buku persendirian iaitu kumpulan sajak dan cerpen ‘Tidak Terkalahkan’ dan buku kumpulan cerpen ‘Merenda Impian’.                                                                        
Penglibatan dalam bidang seni ini telah memperlihatkan beberapa kejayaan dan pencapaian Wee Sock Yam. Antara pencapaian beliau ialah dianugerahkan Hadiah Penghargaan Sajak dan Cerpen anjuran GEMA dua tahun berturut -turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020. Selain itu, beliau memenangi tempat ketiga sayembara  pantun empat kerat anjuran KEMBARA SASTERA 2020, memenangi hadiah saguhati sayembara sajak 2020 anjuran UMK Kelantan, memenangi hadiah saguhati Sayembara Malaysia Prihatin anjuran Perpustakaan Awam Kelantan 2020, hadiah penghargaan cerpen sempena Perayaan Jubli Emas 50 Tahun GAPENA 2020 dan lain-lain.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *