Soal Jawab Puasa Enam Di Bulan Syawal

✅GABUNG NIAT : PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL DAN PUASA QADA

✅PUASA QADA VS PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL: MANA SATU YANG PERLU DIDAHULUKAN ❓

“Assalamualaikum Ustazah, bolehkah saya bertanya. Adakah sah jika saya gabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qada (ganti)? Atau salah satu sahaja sah?”

Gambar Hiasan : Google

“Ustazah, saya pernah mendengar bahawa adalah sebaik-baiknya kita berpuasa secara berasingan antara puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qada. Tetapi ustazah, bolehkah sekiranya saya melakukan puasa enam terlebih dahulu kerana bimbang jika saya melakukan puasa qada terlebih dahulu, saya tidak berkesempatan untuk berpuasa enam di bulan Syawal?.”

JAWAPAN:

▶️ GABUNG NIAT : PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL DAN PUASA QADA

Gammbar Hiasan : Google

Bagi menjawab persoalan pertama;

• Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dan puasa qada.

  1. PANDANGAN PERTAMA: HANYA SAH SATU NIAT SAHAJA

🟦 Ini merupakan pandangan Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari (ulama di dalam mazhab Syafie), yang dijelaskan dalam kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir.

“Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk puasa qada atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Pahala yang sempurna tidak akan diperoleh melainkan dengan hanya berniat puasa khusus untuk enam hari di bulan Syawal sahaja.”

  1. PANDANGAN KEDUA: SAH NIAT KEDUA-DUANYA

Ini merupakan pandangan Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Imam Sulaiman al-Bujairimi, Imam as-Suyuti dan ulama-ulama lain di dalam Mazhab Syafie.

🟦 Imam Ramli (ulama mazhab Syafie) menukilkan dalam kitab Nijayah al-Muhtaj iaitu:

“Jika seseorang itu berpuasa pada bulan Syawal dengan tujuan qada atau nazar atau selain darinya, atau berpuasa pada hari Asyura dan seumpamanya, maka dia juga mendapat pahala sunat bagi puasa tersebut sepertimana yang difatwakan oleh ayahku (Syihabuddin al- Ramli) kerana mengikut (fatwa) daripada Imam al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadhrami dan selain daripada mereka.

🟦 Imam Ibnu Hajar al-Haitami (ulama mazhab Syafie) pula membincangkannya dalam kitab al-Fatwa al-Kubra:

“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau jika diniatkan salah satu, maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”

🟦 Di dalam fatwa Syeikh ‘Atiyyah Saqr yang merupakan Pengerusi Majlis Fatwa Majlis Fatwa al-Azhar Mesir, beliau menyebutkan:

“Harus bagi mereka yang hendak qada puasa Ramadan untuk berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal dengan niat qada. Maka ia memadai untuk qada bahkan beroleh juga ganjaran pahala bagi puasa sunat enam hari tersebut apabila diniatkannya. Hal ini kerana setiap amalan adalah berpandukan niat. Namun jika diasingkan niat puasa antara kedua-duanya itu maka ianya lebih afdal”.

🟦 Dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi, Imam Sulaiman al-Bujairimi (ulama mazhab Syafie) pula mengqiyaskan (menyamakan hukum) menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dan puasa qada dengan pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid walaupun seseorang itu tidak melakukannya. Disebutkan:

“Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardu atau sunat yang lain, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

“Apabila masuk salah seorang daripada kamu ke dalam masjid, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga, maksud ayat bagi ‘solat sebelum duduk’ yang disebutkan dalam hadis tersebut adalah termasuk dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain.

🟦 Imam as-Suyuti (ulama mazhab Syafie) menjelaskan dalam kitab Ashbah Wan Nazoir, berkata:

“Sekiranya seseorang berpuasa sunat, qada atau nazar atau kafarah dan menggabungkan niat puasa sunat dengan wajib, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (niat secara umum) maka keadaan tersebut mengikut seperti hukum solat Tahiyyatul Masjid.”

▶️ PUASA QADA VS PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL: MANA SATU YANG PERLU DIDAHULUKAN ❓

Gambar Hiasan : Google

Persoalan kedua pula merujuk kepada dua pandangan.

  1. PANDANGAN PERTAMA: PUASA QADA TERLEBIH DAHULU
Gambar Hiasan : Google

🟦 Yusuf al-Qaradawi cenderung untuk bersegera menggantikan puasa qada terlebih dahulu:

“Saya memilih wanita itu mesti menggantikan puasa qada terlebih dahulu, kemudian barulah berpuasa sunat. Ini kerana, manusia tidak terjamin usianya. Orang sihat boleh jatuh sakit, orang muda akan menjadi orang tua dan orang yang kuat boleh menjadi orang yang lemah.”

  1. PANDANGAN KEDUA: BOLEH MEMILIH SAMA ADA PUASA QADA ATAU PUASA ENAM TERLEBIH DAHULU

🟦 Jumhur ulama menyatakan hujah berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Terjemahan: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam safar (bermusafir) maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Ayat tersebut tidak menyatakan bahawa wajib menggantikan puasa dengan kadar segera. Justeru, dibolehkan sekiranya ingin melakukan puasa enam di bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa qada.

KESIMPULAN:

▶️ Mengikut pendapat yang muktamad, afdal (lebih baik) mengasingkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qada.
▶️ Walau bagaimanapun, sah jika menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qada serta mendapat ganjaran pahala kedua-duanya.
▶️ Dibolehkan puasa enam terlebih dahulu jika:

  1. Dibimbangi tidak sempat untuk puasa enam jika didahului puasa qada.
  2. Sihat walafiat untuk puasa qada selepas itu.
    ▶️ Namun begitu, menyegerakan untuk menggantikan puasa terlebih dahulu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Wallahua’lam.

RUJUKAN:

  1. Al-Quran
  2. Soal Jawab Fiqh Ibadah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Hussin.
  3. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  4. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Semoga bermanfaat buat semua.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

Rujukan : FB Page Ustazah Asma’ Binti Harun 🌹

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *