BEBAS

RANTAU PANJANG – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan negeri ini bebas daripada serangan wabak influenza A.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang kes melibatkan wabak berkenaan.

“Bagaimanapun, kita sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan rapi dalam mengesan wabak tersebut,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini supaya tidak panik khususnya berhubung isu suntikan vaksin sambil memberitahu, pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan sekiranya ada klinik swasta yang menaikkan harga vaksin sesuka hati.

Katanya, orang ramai turut dinasihatkan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami demam luar biasa.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk menangani wabak tersebut terutama mereka yang keluar masuk di pintu sempadan kedua-dua negara.

Terdahulu dalam program tersebut, Dr Zaini turut memeriksa suhu badan salah seorang warga Thailand yang memasuki negara ini, di ICQS Rantau Panjang dengan menggunakan therma scanner dan mengagihkan risalah mengenai influenza kepada orang ramai.

Artikel diambil dari laman Sinar Harian.
Ditulis oleh Hazelin Liana Kamarudin | | 15 Januari 2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *