Kerjaya : Kursus Untuk Wanita Di Kelantan
Wanitakelantan.com (5)

Karnival Kelantanku Cakna 2025 merupakan antara usaha terbesar Kerajaan Negeri Kelantan tahun ini dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat. Dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKeKWA), program ini berlangsung selama empat hari bermula 29 Julai hingga 1 Ogos 2025 di perkarangan Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Ia menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui program-program kebajikan, kekeluargaan, penghargaan dan penglibatan komuniti secara menyeluruh.

Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah menjadi pembuka tirai kepada karnival ini. Majlis ini dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Hj Daud, yang menekankan bahawa peranan wanita dalam pembangunan masyarakat perlu terus diiktiraf dan dihargai, bukan hanya dalam konteks rumah tangga tetapi juga dalam masyarakat dan pentadbiran. Menurut beliau, Islam telah lama mengangkat martabat wanita sejak 1,400 tahun dahulu dan lebih awal daripada mana-mana gerakan barat yang memperjuangkan hak wanita.

Tokoh Wanita turut diraikan dalam majlis ini. Tokoh Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid diberikan kepada seorang ahli akademik,Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz manakala penerima Tokoh Al-Khansa Amru diberikan kepada Hajah Rahimah Nik Idris seorang tokoh dalam bidang kesenian merupakan antara tokoh terakhir yang mahir dalam seni halus sulaman kelingkan.

Hari Warga Emas Kelantan yang disambut pada 30 Julai pula memperlihatkan pengiktirafan khusus kepada golongan warga emas sebagai aset penting dalam membimbing generasi muda. YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Haji Ahmad Yakob; Mantan Menteri Besar Kelantan dalam ucapannya menyarankan agar warga emas tidak tersisih walaupun sudah berumur, sebaliknya terus menjadi rujukan dan tempat berkongsi nasihat kepada generasi hari ini, terutama dalam suasana masyarakat yang semakin mencabar.

Majlis ini juga menyaksikan pelancaran Skim Warga Emas Mukramun sebagai usaha kerajaan negeri menginstitusikan kebajikan warga emas secara lebih sistematik. Skim ini adalah kesinambungan kepada Dasar Warga Emas Mukramun yang telah digubal sejak 2022.

Selain itu, program Sulam Kasih Ambang Merdeka turut mencuri tumpuan apabila Kelantan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records apabila Berjaya mengumpulkan seramai 1068 peserta menjahit sembat Jalur Gemilang secara serentak. Acara ini menjadi simbol penyatuan pelbagai lapisan masyarakat dalam semangat patriotik yang berlandaskan nilai Islam dan kebersamaan. Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Program Fun Walk Che Siti Wan Kembang yang turut diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti karnival ini pula mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan umur termasuk warga emas dan golongan muda. Ia diadakan bukan sahaja untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan tetapi juga sempena Kempen Kesedaran Payudara dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan masyarakat.

Dalam semua acara ini, satu pengajaran penting yang boleh diambil ialah bahawa pembangunan tidak boleh dilihat dari sudut fizikal dan ekonomi semata-mata. Ia perlu disertai dengan usaha menjaga kebajikan, mengangkat martabat wanita, menghormati orang tua dan membina jaringan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain.

Karnival Kelantanku Cakna 2025 bukan sekadar acara tahunan tetapi gambaran pendekatan Kerajaan Negeri Kelantan yang konsisten dalam membawa dasar Membangun Bersama Islam ke peringkat pelaksanaan yang nyata. Ia membuktikan bahawa dalam sebuah negeri Islam, rakyat bukan sahaja dilayan dengan adil, tetapi diraikan dengan kasih sayang dan diberi ruang untuk menyumbang dalam pelbagai bentuk.

Setiap pengisian dirancang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab sosial dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Contohnya, Hari Sayyidatina Khadijah bukan sekadar memperingati tokoh wanita Islam tetapi mengajak masyarakat khususnya wanita meneladani sifat kepimpinan, ketabahan dan peranan ekonomi yang dimainkan oleh isteri Rasulullah ﷺ dalam masyarakat.

Hari Warga Emas pula mengingatkan kita bahawa golongan tua bukan hanya perlu diraikan sesekali tetapi perlu dilibatkan dan dihargai secara berterusan. Ia menjadi ruang untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan menanam rasa hormat kepada generasi terdahulu dan menyedarkan anak muda bahawa kehidupan ini bersifat berperingkat  hari ini kita muda esok kita akan tua.

Pasar Cik Siti yang turut dijalankan sepanjang karnival bukan sekadar ruang niaga tetapi medan pembangunan ekonomi masyarakat khususnya wanita dan belia  melalui pendekatan yang selari dengan syariah. Ia menunjukkan bahawa ekonomi dan Islam tidak pernah bercanggah bahkan saling melengkapi apabila diuruskan dengan jujur dan adil.

Podcast “Di Bawah Naungan Satu Ayat” pula membawa kelainan dengan pengisian ilmu secara santai tetapi padat menjadikan karnival ini bukan hanya menyentuh jasad tapi juga akal dan hati. Ia membuktikan bahawa dalam era digital dakwah tetap relevan asalkan disampaikan dengan cara yang betul dan bersesuaian dengan suasana semasa.

Daripada keseluruhan penganjuran satu ibrah yang jelas boleh diambil ialah bahawa kerajaan yang benar-benar cakna tidak hanya muncul ketika musim pilihan raya tetapi sentiasa hadir dalam kehidupan rakyat memberi bantuan, membuka ruang, memperkasakan potensi dan menjaga maruah mereka.

Karnival ini juga memberi isyarat bahawa dalam sesebuah pemerintahan Islam, rakyat bukan sekadar penerima dasar tetapi merupakan rakan kongsi dalam membina negeri. Islam bukan hanya dipamer dalam ceramah dan slogan tetapi dalam tindakan dan pendekatan menyantuni rakyat.

Kesimpulannya, Karnival Kelantanku Cakna bukan hanya sebuah acara sambutan. Ia menjadi cermin kepada dasar yang menitikberatkan kebajikan, menyatukan keluarga dan memperkukuh masyarakat. Inilah wajah Kelantan yang ingin dibina sejahtera, adil, dan cakna bukan kerana dunia semata-mata tetapi kerana kita percaya bahawa setiap amal itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *