WhatsApp Image 2021 03 28 At 2.57.30 PM (1)

Pemenang anugerah Tokoh Siti Aminah Abdul Wahab pada tahun ini adalah Puan Norhanan Mohd Nor atau lebih mesra dikenali dengan nama Che Nan yang berasal dari Melor, Ketereh. Membesarkan anak seorang diri seramai tujuh orang bukanlah suatu yang mudah bagi beliau. Sejak 17 tahun lalu, beliau terpaksa mengambil alih tanggungjawab membesarkan anak-anak seorang diri.

Semenjak dari muda, hidup beliau sentiasa diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Sewaktu beliau baru berumur 13 tahun, beliau telah kehilangan ibunya di dalam kemalangan kebakaran. Peristiwa itu mendidik beliau menjadi seorang yang cekal dan pandai berdikari sejak dari kecil. Che Nan ditakdirkan untuk mendirikan rumah tangga pada umur yang muda. Seusia 20 tahun, beliau telah menjadi seorang ibu dan tanggungjawab ini digalas sebaiknya. Redha dengan ketentuan takdir Ilahi yang menetapkan jodoh perkahwinannya cuma bertahan separuh jalan, Che Nan mula menggalas tugas sebagai seorang armalah atau ibu tunggal sewaktu mengandungkan anaknya yang bongsu.

Dikurniakan anak seramai tujuh orang, merekalah yang menjadi tunjang kekuatan Che Nan. Terpaksa membesarkan anak-anaknya dalam serba kekurangan, kini Che Nan mengalirkan air mata kegembiraan bila seorang demi seorang anaknya berjaya di dalam kerjaya dan pelajaran. Berkat dari kesabaran beliau, walau tiada pendapatan tetap, Che Nan berjaya membesarkan  anak-anaknya  hasil dari  berjimat-cermat  wang zakat  yang diterima serta sumbangan dari sanak-saudara yang sering membantu. Anak-anaknya kini ada yang menjadi jururawat, penguatkuasa tempatan, inspektor siasatan, jurutera dan yang lain masih menuntut di institut pengajian tinggi, pondok agama dan sekolah menengah.                                                                                    
Memahami kesusahan dan penderitaan ibu mereka yang bersusah payah membesarkan mereka seorang diri, kesemua anaknya tidak melupakan jasa Che Nan. Sewaktu masih belajar di universiti lagi, anak-anak Che Nan sentiasa mengirimkan wang biasiswa mereka untuk ibu di kampung. Dengan wang itulah Che Nan berniaga kecil-kecilan untuk membesarkan anak-anak yang masih di bangku sekolah. Kini, setelah menjawat jawatan besar, anak-anak beliau masih lagi setia membantu ibu mereka di kampung. Rumah buruk yang menjadi tempat berteduh Che Nan juga telah diganti baru oleh anak-anaknya yang sudah bekerjaya.                                        
Walau diuji dengan kesukaran membesarkan anak-anak seorang diri, Che Nan tidak pernah lupa untuk belajar ilmu agama dan sentiasa menghadirkan dirinya ke pelbagai program dan ceramah keagamaan. Walau terpaksa menggendong anak kecil dan menaiki bas dari Melor ke Kota Bharu, Che Nan gigih untuk menghadiri setiap minggu kuliah ilmu yang disampaikan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sewaktu almarhum masih hidup. Beliau aktif dengan pelbagai kerja sukarelawan dan misi kemanusiaan. Beliau pernah dilantik sebagai ahli majlis Majlis Daerah Ketereh (MDK) selama hampir 3 tahun bermula tahun 2014 sehingga 2016. Selain itu, beliau juga sangat aktif dalam NGO Misi Kembara Dakwah dan pernah menyertai aktiviti kemanusiaan di Bangladesh. Malahan, ke ceruk pedalaman Gua Musang juga Che Nan pernah jejaki demi membantu masyarakat yang memerlukan.                                                                                         
Setiap program yang disertai oleh beliau telah menyedarkan beliau dan melatih diri untuk menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah SWT. Che Nan mengharapkan setiap penglibatan beliau dalam misi kemanusiaan ini menjadi asbab kepada keampunan dari Allah dan mendapat bekalan yang dapat dibawa ke akhirat kelak. Semoga penerima Tokoh Siti Aminah Abdul Wahab ini mampu menjadi contoh kepada masyarakat bahawa seorang ibu tunggal mampu membesarkan anak-anak dan dalam dalam masa yang sama aktif menabur bakti kepada masyarakat.

Sumber Gambar : FB Page HSK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *