Kbw Julai 18

KOTA BHARU, 9 Julai 2018 – Setelah 8 tahun penganjurannya, Kuliah Bulanan Wanita (KBW) yang diadakan secara bulanan sekali lagi menampil dengan sedikit kelainan. Kuliah Bulanan Wanita (KBW) anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama PURNAMA dan PUSPANITA telah diadakan bermula pada tahun 2010 atas cetusan idea Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Nik Mat. Pada permulaannya, Allahyarham menyarankan kepada Exco Wanita agar mengadakan satu kuliah kerohanian kepada penjawat awam. Setelah 8 tahun diadakan, KBW telah mendapat perhatian daripada seluruh wanita Kelantan untuk hadir bersama. Seramai 850 orang peserta hadir memenuhi dewan Balai Islam, Lundang.

Majlis dirasmikan oleh YB Hjh Mumtaz Md Nawi(Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita) dan seterusnya membuat gimik pelancaran Kempen “Aurat Dijaga Maruah Terpelihara”. Satu gimik khas telah menarik peserta apabila kecomelan Muffin Stokin diedar oleh para urus setia.

“Hari ini pelbagai isu yang berlaku yang amat menakutkan kepada kita. Antaranya isu LGBT. Hari ini saya bukan hendak berdebat tentang gender, bagi mengatasi LGBT melalui program Kerajaan Negeri memberi pendekatan bahawa wanita adalah anugerah terindah. Sebaik-baik hadiah untuk lelaki di dalam syurga bukan rumah yang besar tetapi dianugerahkan bidadari-bidadari dan isteri adalah Ketua Bidadari. Ini merupakan satu anugerah / hadiah daripada Allah. Saya berharap jabatan-jabatan boleh menerapkan kepada wanita bahawa menjadi wanita sangat indah. Ianya satu takhlifan (tanggungjawab) Allah kepada kita di mana wanita dijadikan dengan rasa cinta ”, kata Mumtaz dalam ucapan perasmian.

 

KBW bagi bulan Julai membicarakan tentang ‘Wanita Anugerah Terindah’ yang disampaikan oleh YB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (Ahli Parlimen Kubang Kerian) dan Slot Sihat Aafiyat: Anda Bijak Anda Sihat oleh YBhg. Dr Nik Rosmawati Nik Husain (Pakar Perubatan Kesihatan Awam USM).

Selebriti Dakwah, Haryati Hamzah atau lebih dikenali Yatt Hamzah turut hadir memberi pengkongsian permulaan penghijrahan beliau dari dunia glamour sehingga mengejar cinta Allah.

“Kita telah didedahkan tentang aurat bermula dari kecil lagi, tapi kemungkinan kefahaman kita terhadap aurat itu belum mencukupi. Sebab itu, masih ada wanita di luar sana gagal menutup aurat mahupun menutup aurat tapi belum sempurna. Saya memilih berhijrah kerana ingin meraih cinta Allah”, kata Yatt Hamzah

Yatt Hamzah juga turut membaca tafsir surah An-Nur ayat 31 sebagai panduan kepada umat Muhammad dalam memahami aurat wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *