Fesyen

Wanita dan fesyen tidak dapat dipisahkan.  Ini adalah kerana sudah menjadi tabiat wanita yang suka bergaya sepanjang masa agar sentiasa kelihatan cantik dan ‘fashionable’, tambah-tambah lagi dengan kehadiran fesyen-fesyen yang lebih ‘versatile’.

Sebagai orang Islam kita bangga melihat semakin ramai kaum wanita memakai jilbab atau tudung menutupi kepala mereka. Pelbagai fesyen juga dapat dilihat. Sesungguhnya memakai tudung bukan sahaja menunjukkan dengan jelas identiti seseorang wanita muslim tetapi juga mampu memelihara mereka daripada tatapan mata liar sehingga mereka tidak diganggu sekali gus memastikan kesucian mereka terpelihara.

Kewajipan memakai jilbab ini ditegaskan melalui firman Allah:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Ahzab :59)

Aurat

 

Namun dalam keghairahan kaum wanita Islam berfesyen mereka harus memastikan pakaian atau fesyen yang mereka gayakan benar-benar mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam.

 

Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalm kitabnya, Jilbab Al-Marah Al-Muslimah menyebutkan lapan syarat jilbab syarie iaitu:

1) Menutup seluruh tubuh, kecuali muka dan telapak tangan.

2) Bukan untuk bertabarruj (bersolek) yang boleh menyebabkan pandangan mata tertuju kepadanya.

3) Bahannya diperbuat daripada kain yang tebal dan tidak nipis.

4) Kainnya longgar, tidak ketat dan tidak membentuk lekuk tubuh.

5) Tidak memakai minyak wangi.

6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.

7) Tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir.

8) Bukan memakainya kerana untuk mencari populariti.

 

Hakikatnya, mungkin ramai di antara kaum wanita muslim menganggap ia syarat yang agak berat apatah lagi kepada mereka yang ternyata sudah memakai tudung tetapi melanggar syarat-syarat di atas.

Sesungguhnya, jika seseorang wanita itu berhasrat menjadi muslimah, syarat berkenaan tidaklah begitu sukar kerana dalam pelaksanaan syariat Islam tidak ada perkara yang sukar sebagai mana firman Allah : “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”. (Al-Baqarah: 185)

Atas sebab itu dalam soal menutup aurat ini, Rasulullah dengan tegas mengingatkan bahawa, dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan melentuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.

Oleh itu, sekadar bertudung semata-mata kerana kehendak semasa bukan kerana kesedaran atas tanggungjawab sebagai seorang muslimah, masih belum mencukupi. Bertudung tetapi melakukan banyak perkara yang dilarang Allah sudah pasti tidak bermakna. Cuba lihat sekeliling kita bagaimana sesetengah mereka yang berpakaian sedemikian tetapi tidak mencerminkan keperibadian muslimah sebenar.

1

 

Bertudung bukan sekadar hiasan lahiriah semata-mata.

Oleh itu apabila seseorang wanita Islam membuat keputusan memakai tudung atau berjilbab ia harus memastikan ia bukanlah sekadar satu hiasan lahiriah semata-mata. Hakikatnya, ia adalah satu langkah kearah untuk mewujudkan jati diri seorang muslimah yang sebenar. Janganlah sekadar memakai jilbab kalau solat dan ibadat lain masih lintang pukang.

Malahan mereka juga perlu membuang sifat-sifat tidak elok seperti meninggikan suara, mengumpat, mencampuri urusan peribadi orang lain dan suka melakukan perkara-perkara maksiat. Inilah keadaan yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Kita melihat ramai wanita Islam yang bertudung tetapi sejauh manakah mereka memikirkan bahawa bertudung itu tidak semestinya menutup aurat.

Allah menetapkan peraturan dalam soal menutup aurat dan mereka yang terlibat tidak harus mengatakan bahawa adalah hak mereka untuk menentukan haluan kehidupan mereka. Kenyataan seumpama ini bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud : “Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata” (Al-Ahzab : 36)

Justeru selagi masa masih ada dan di saat Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk membentuk diri menjadi muslimah sejati maka rebutlah kesempatan yang suntuk ini. Janganlah menganggap bahawa masa sentiasa ada untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Ingatlah kematian yang menjemput manusia tidak mengira umur, masa dan ketika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *