Pendidikan Seksual

Bab persetubuhan, keluar air mani, keluar darah haid, mandi wajib telah anak pelajari seawal darjah 3 dalam topik hadas besar, subjek Pendidikan Islam.

Bukan dalam subjek itu sahaja sebab anak juga belajar bab pembiakan dalam matapelajaran Sains, juga perihal sentuhan selamat, sentuhan tak selamat, sentuhan tak selesa, serta private part dalam Pendidikan Kesihatan.

Jadi, katakanlah anak balik dari sekolah tanya kita, ibu, persetubuhan tu apa? Maka ini saya telah berikan jawapan. Selamat membaca, menelaah dan mengamalkannya. 😁

Gambar Hiasan : Google

Anak saya tanya apa itu persetubuhan. Sebab dia dapat tahu perkataan itu masa belajar tentang hadas besar. By the way anak saya darjah 3.

Jawapan saya, menarik soalan anak puan. Sebelum menjawab soalan anak, tolong sangat elakkan benda ini dari berlaku:

Gambar Hiasan : Google
  1. Marah anak. Siap hendak cili mulutnya lagi. Kenapa tanya macam itu? Kecil-kecil sudah pandai!
  2. Pass soalan kepada pasangan. Pasangan pula pass kembali kepada kita. Akhirnya ubah topik yang lain. Siap pura-pura tidur lagi.
  3. Diam sahaja. Pura-pura buat tidak dengar soalan yang diajukan.
  4. Apabila anak tanya terus kata, awak kecil lagi. Sudah besar nanti akan tahu sendiri.
Gambar Hiasan : Google

Jika salah satu dari 4 perkara di atas mak ayah lakukan, hal ini biasanya akan berlaku kepada anak-anak. Antaranya adalah:

  1. Anak sudah tidak akan tanya lagi.
  2. Dia akan cari di Google.
  3. Kawan dia akan ajar.
  4. Orang yang tidak dikenali ajar di internet.
  5. Anak belajar dari pornografi.
Gambar Hiasan : Google

Jadi, sekarang ini anda sebagai mak dan ayah hendak pilih yang mana? Biarkan anak-anak terkapai-kapai mencari jawapan sehingga terjebak dengan porn atau kita yang menjadi guru yang pertama mendidik anak-anak tentang pendidikan seksualiti?

Sudah berdekad lamanya sehingga kini, segenap kelucahan berada di hadapan mata anak-anak. Dalam televisyen, youtube, iklan di Facebook, Instagram, video di tik tok, telegram, billboard tepi jalan bahkan masa kelas online sebelum ini juga ada terdapat ada budak share video lucah sewaktu kelas online.

Gambar Hiasan : Google

Sebab itu saya selalu sebut berilah nama selayaknya kepada anggota kemaluan anak-anak. Jangan lagi kekalkan nama-nama objek yang merujuk kepada kemaluan seperti burung, bunga, belalai, siput, karipap, asam keeping, nasi lemak, batang dan lain-lain. Ini asasnya.

** Kiasan sebeginilah yang menjadi faktor ke arah lawak double meaning zaman sekarang ini***

Bila ibu dan bapa tidak bersedia mengajar anak berkenaan dengan anggota seksual sepeti zakar/penis, faraj/ vagina, maka perasaan malu, rasa lucah dan akward akan terus menebal di dalam diri mak ayah sampai bila-bila.

Tuan-tuan tahu atau tidak, seawal darjah 1 anak-anak sudah diajar oleh guru mengenali nama kemaluannya di sekolah: Zakar/penis, faraj/vagina?

Term inilah yang digunakan dalam subjek Pendidikan kesihatan, Pendidikan Islam serta Sains.

Berbalik kepada soalan anak puan ini, pertamanya syukurlah anak puan ini bertanya soalan ini kepada kita terus. Hal ini menandakan masih ada trust dalam diri anak kepada kita.

Selain itu, menjadi satu learning moment yang paling terbaik untuk mak ayah terangkan dengan jelas, tidak melucah, tidak melawakkan ia dan paling penting berterus terang.

Anak      : Mama, apa itu bersetubuh?

**Sebelum menjawab, tanya dulu anak dengar perkataan ini dari mana. Biasanya word bersetubuh ini dipelajari anak dari subjek Pendidikan Islam dalam topik akil baligh, wuduk, mandi wajib, berhadas. **

Mama   : Betul ke kakak hendak tahu? (Tanya anak dulu)

Anak      : Ya mama. Itu sebab kakak tanya Mama.

Mama   : Ok. Kakak tahu kan Allah ciptakan manusia ini berpasangan. Ada lelaki ada perempuan. Manusia pertama yang Allah ciptakan pun ada Adam dan Hawa. Apa yang membezakan lelaki dan perempuan ya kakak?

Anak     : Suara, tubuh badan dan kemaluan.

Mama   : Ha, pandai. Yang membezakan jantina lelaki dan perempuan adalah kemaluannya. Macam kakak kan perempuan, jadi Allah berikan faraj/vagina. Lelaki macam papa pula Allah berikan zakar/penis.

Allah ciptakan kita berbeza jantina ini supaya sampai satu masa lelaki dan perempuan akan berkahwin. Melalui perkahwinan, suami dan isteri ini Allah benarkan untuk bergurau senda, bertepuk tampar, bermesra, bercium-ciuman, berpelukan bahkan boleh melakukan hubungan intim.

Gambar Hiasan : Pinterest

Hubungan intim antara suami dan isteri inilah yang dipanggil sebagai bersetubuh atau hubungan seksual. Jika persetubuhan ini berlaku di luar perkahwinan, ini dipanggil zina. Zina diharamkan dan berdosa besar.

Hubungan seksual ini akan jadi rogol apabila yang perempuan dipaksa melakukannya tanpa kerelaan. Rogol ini adalah satu perbuatan yang amat jahat dan berdosa besar. Mangsa pula akan mengalami trauma dan ketakutan sampai bila-bila.

Kakak faham tak sampai tahap ni?

Anak      : Faham, mama.

Mama   : Persetubuhan di dalam perkahwinan ini, nabi sebutkan ia adalah sedekah. Suami isteri akan dapat pahala.  Allah Rahmati mereka.

Melalui persetubuhan ini juga, akan lahir seorang manusia di muka bumi.

Anak      : Macam mana tu mama?

Mama   : Begini, setiap makhluk Allah di dunia ada cara untuk membiak. Sebagai contoh, pokok ada yang membiak melalui biji benih.

Binatang pun begitu juga. Ada jantan, ada betina dan ada cara mereka membiak. Baik kucing, lembu, gajah, lembu, kuda dan lain-lain. Cara mereka meneruskan spesies dinamakan proses mengawan (mating).

Manusia?

Anak      : Tak tahulah mama.

Mama   : Hehe. Begini. Dengar baik-baik ya. Kakak pun sudah tahukan kemaluan lelaki bernama zakar dan kemaluan perempuan pula bernama faraj.

Zakar lelaki ini bukan sekadar tempat keluar air kencing sahaja, bahkan ia akan mengeluarkan benih lelaki bernama sperma. Bentuk sperma sama macam berudu. (Lukiskan).

Sperma ini dihasilkan di testis lelaki. Perempuan pula, Allah berikan ovari. Fungsi ovari ini sama macam testis lelaki. Ia berada di dalam bahagian kanan dan kiri rahim.

**Tunjukkan posisi rahim ibu di mana. Jika boleh Lukis, lukiskan. Jika ada buku panduan, tunjukkan. **

Ovari ini akan hasilkan benih yang bernama ovum. Sperma macam berudu, ovum ini selalunya macam telur.

Bila sperma ayah dan mak bertemu, maka ia akan membentuk zigot, kemudian jadi zigot, kemudian jadi embrio, fetus dan akhirnya jadi bayi.

Gambar Hiasan : Google

Begitulah cara bagaimana manusia boleh wujud di muka bumi.

Anak      : Macam mana sperma lelaki boleh bertemu dengan ovum perempuan tu mama?

Mama   : Bagus soalan kakak itu.

Sperma dan ovum ini akan bertemu bila berlaku persetubuhan. Zakar lelaki akan dimasukkan ke dalam faraj perempuan.

Akhirnya sperma papa pun boleh bertemu ovum mama. Inilah cara, bagaimana kakak boleh wujud di muka bumi.

Tapi dengan syarat kak! (Tekankan dekat sini.)

Seperti yang mama sebutkan tadi, persetubuhan hanya dibenarkan Allah hanya apabila lelaki dan perempuan berkahwin sahaja.

Jika tidak, berlakulah kes remaja hamil bawah umur, lahirnya anak luar nikah dan paling menyedihkan ada bayi yang akan dibuang di dalam tandas, tempat pembuangan sampah, masjid dan lain-lain tempat.

Sebab itu mama kena terus terang dengan kakak tentang bab ini. Kalau tak, kakak akan dapat info dari sumber yang salah.

Paling mama risaukan, kakak terjebak dengan video lucah. Sebab itu, mama selalu ulang-ulang, kalau terakses video atau gambar orang seksi, tak berpakaian, cepat-cepat bagi tahu mama dan papa.

Private part kena jaga. Jangan bagi sesiapa pun sentuh mulut, dada, punggung, paha serta kemaluan kakak. Tak kiralah orang tua papa ke, mama ke, atuk ke, bapa saudara ke, sepupu, cikgu, ustaz, kawan-kawan atau rakan sama jantina sekalipun.

Apa-apapun mama hendak ucap terima kasih sebab kakak tanya mama soalan ini. Bolehlah mama bantu sikit-sikit.

Gambar Hiasan : Pinterest

(Peluk anak)

Berkerut dahi nampak. Boleh jawab atau tidak? Jangan risau. Sambil bercerita, niatkan untuk tujuan mendidik, bukan untuk melucah. Sudah pasti kita mahu memastikan anak dapat info dari kita bukannya melalui sumber yang lain.

Namun saya yakin bukan senang hendak mula bercerita bab ini kepada anak. Membaca skrip yang saya sediakan dalam artikel ini pun sudah berpeluh dibuatnya, apatah lagi menjawab secara langsung soalan spontan dari anak. Mahu pengsan dibuatnya.

Saya faham rasa kekangan itu. Kejangkalan hendak bercerita, rasa takut, tidak tahu hendak bermula dari mana dan sebagainya. Semoga petikan artikel kali ini memberi sedikit kekuatan buat ibu ayah di luar sana sepanjang jatuh bangun dalam mendidik anak-anak. Insya-Allah.

Sumber artikel: FB Page Akhi Fairuz al-Jengkawi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *