Amalan Wanita

Laa.. period pulak. Dah la nak masuk 10 akhir Ramadhan dah ni.. Ruginya

Berikut merupakan antara keluhan yang biasa kita dengar dari para wanita yang merasa terkilan apabila datang bulan pada bulan Ramadhan terutama pada tempoh 10 terakhir.

Berikut adalah beberapa nasihat yang wajar diamati oleh para muslimah sekiranya uzur sedangkan di dalam hati bersemangat hendak beribadah.  Disenarai juga beberapa ibadah yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika uzur.

1.  Redha dengan ketentuan ALLAH

Mempunyai perasaan redha terhadap ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati seseorang mukmin.  Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan qadha ALLAH.  Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang dan bersangka baik dengan Tuhannya.  Dan sifat redha ini adalah sifat yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH.  Bukan senang seseorang itu hendak redha.  Justeru, redhalah.  Ada ganjaran pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.

Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.

Sumber : Pinterest.com

2.  Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan

Memang ibadah terbaik di waktu seperti malam adalah solat-solat sunnat.  Namun, disebabkan oleh wanita-wanita uzur  tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja.  Contoh ibadah yang boleh dilakukan ialah:

  • Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf al-Quran.
  • Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Quran.
  • Dzikrullah iaitu mengingati ALLAH samada melalui lidah, hati atau perbuatan.  Banyak kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:
    • “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
    • “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
    • “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
    • “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
    • “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
    • “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
    • Dan lain-lain lagi.
  • Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar.  Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali.  Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin.
  • Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.  Berdoa juga adalah ibadah.
  • Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
  • Muhasabah diri.
  • Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
  • Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.

Tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang uzur.  Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan.  Kerana di dalamnya kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar.  Oleh itu, janganlah ditinggal terus dari beribadah pada waktu malam walaupun kita uzur.

Sumber : Pinterest.com

3.  Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.

  • Menghadiri majlis-majlis ilmu.
  • Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah.
  • Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
  • Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
  • Menyediakan juadah berbuka puasa untuk ahli keluarga dan taulan yang berpuasa.  InsyaALLAH, seseorang yang ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.
  • Berinfaq.
  • Membantu orang yang kesusahan.
  • Menyebarluaskan salam.
  • Dan banyak lagi tidak terkira.
Sumber : Freepik.com

Itulah antara sebahagian yang dapat dimanfaatkan oleh wanita-wanita yang berada di luar sana. Memang ramai wanita yang tidak sedar akan ibadah-ibadah lain yang ada di dalam ISLAM.  Mereka ingat hanya solat dan puasa sahaja ibadah.  Ketidaksedaran ini membuatkan para wanita yang didatangi haid mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan.  Terbuanglah peluang begitu sahaja, malah ada yang tidur sahaja disebabkan oleh pada anggapan mereka bahawa mereka tidak boleh melakukan ibadah.

ALLAH Maha Pemurah.  Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hambaNYA.  Dan pahala dariNYA memang DIA sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA.  Konsep ibadah ini terlalu luas.  Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh jadi ibadah?  Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan. 

Sumber dari FB Page Brunei FM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *