
PENDAHULUAN
Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) dan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (Darul Niswah) Meranti telah menganjurkan program Rencah Rasa Mek Klate yang mengetengahkan juadah piney kotey (Pinang Kontang). Program tersebut dirasmikan isteri Menteri Besar, Datin Panglima Perang Wan Nor Hanita Wan Yaacob. Beliau mengakui amalan berhimpun sesama wanita untuk berkongsi kebaikan melalui penyediaan. juadah tradisional memang menjadi resam masyarakat di Kelantan.
Sesi petang dimanfaatkan dengan bersantai bersama kaum keluarga dan jiran tetangga untuk menyediakan juadah minum petang sambil mengeratkan ukhuwah. Di samping itu, dapat menghidupkan semula kuih pusaka yang merupakan sajian tersohor zaman dahulu.
PEMBAKAR SEMANGAT JIHAD
Piney kotey atau ejaan mengikut persuratan Melayu, pinang kontang (tua, kering atau kotai) ialah kuih tradisional istimewa dalam kalangan masyarakat Kelantan yang diriwayatkan berkait rapat dengan gaya didikan berseni seorang ayah memotivasikan tiga puteranya saling berbaik dan bersungguh-sungguh berjihad untuk menyebarkan dakwah ke seluruh alam Melayu.
Melalui resipi piney kotey, Perdana Menteri Kelantan Majapahit II Sayid Ali Nurul Alam membakar semangat kasih sayang adik abang dan keperwiraan kepada puteranya; Wan Husein, Wan Bo dan Wan Demali agar menjadi seperti kuda perang ‘Adiyat, Muria dan Mughirat.
Setelah dipersiapkan diri mereka sebagai pemimpin pelapis, berangkatlah tiga putera dari Kelantan selaku dai ke seluruh Nusantara. Masing-masing dikehendaki berpecah arah, Wan Husein belayar ke Pulau Madura yang terletak di Jawa untuk menyambung tugas bapa saudara mereka Maulana Malik Ibrahim. Wan Bo menuju ke Pasai (Aceh) untuk membantu sepupunya Maulana Ishak. Manakala Wan Demali ke Pulau Bintan (Negeri Segantang Lada di kepulauan Riau) menolong sepupu mereka Sunan Ampel di Gerisek (Muar, Johor).
Begitu nenda memulakan cerita setelah meminta anak cucunya berbasmallah dan berwuduk sebelum dia meletakkan kuali di atas dapur untuk menyediakan komponen pertama kuih iaitu inti. Kemudian anak cucu itu mengaminkan doa pengukuh ikatan jiwa sesama keluarga. Bonda menterjemahkan makna Surah Yasin ayat 36 yang dilafaz nenda: “Maha Suci Allah yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri, mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.”
Sesudah itu, pantas Along menggaul kelapa parut putih dihasilkan daripada sebelah tempurung kelapa “itey setape” dengan secawan air dan dua keping “nnise kerek”. Bonda pula memasukkan dua helai pandan dan secubit garam sambal sesekali memperjelaskan lagi khasiat buah pinang.
KAITAN KASIH SAYANG DENGAN PINANG
Bonda berkongsi fakta buah pinang, nama saintifiknya Areca Catechu ialah pelengkap ramuan makan sirih kerana pokok tumbuhan tropika berasal dari Semenanjung Tanah Melayu mempunyai nilai perubatannya tersendiri berdasarkan sejarah purba kebudayaan alam Melayu.
Pinang ialah antara empat jenis pokok palma yang disebut di dalam Batu Bersurat Talang Tuwo tahun 684M semasa kerajaan Melayu purba yang agung Merong Mahawangsa bertaat setia
di bawah pemerintahan Khalifah Marwan Ibn Al-Hakam (Marwan I).
Banyak perlambangan pinang dalam peribahasa seperti bagai pinang dibelah dua, (serupadan sepadan), bermalam di bawah nyiur pinang orang, kata orang dituruti (hendaklah kita mengikuti adat-istiadat negeri yang kita tinggal), darah baru setampuk pinang (masih muda, belum banyak pengalaman) dan pinang pulang ke tampuknya (sudah pada tempatnya).
Nek, cepat lah sambung cerita,” gesa Abang Ngah selepas menggelintar fakta di dalam talian ketika Usu selesai membulatkan inti kelapa yang lembap kecoklatan sebesar guli.
INSPIRASI RESIPI
“Bagai pinang dianduh, putus tali dia berdiri; bawa bertenang jangan gaduh, berkah rezeki ikhlaskan diri,” nenda berseloroh seraya tersenyum bangga melihat keterujaan cucunya menggali makna khazanah bangsa.
Menurut nenda, cerita piney kotey yang tersohor pada zaman dahulu kala sampailah menitir daripada generasi ke generasi itu dikatakan direka resipinya oleh ulama dan umara Ali Nurul Alam untuk mendidik puteranya melalui sajian air tangan berinspirasi daripada maksud surah al-‘Adiyat perihal tiga kuda perang. ‘Adiyat kuda perang tangkas berlari dan bernafas kencang, Muria pula pukulan kukunya memercikkan bunga, manakala Mughirat, menyerang tiba-tiba waktu pagi serbu kubu musuh.
Sementara menunggu inti kelapa menyejuk, Usu menyiapkan bahagian kedua kuih dengan menggaul sebati bauran satu setengah cawan debu (tepung) beras pulut dan tiga sudu besar tepung gandum bersama secubit garam dan secawan air perahan daun pandan.
Usu menguli doh itu sampai tidak lagi melekat di telapak tangan lalu merehatkannya setengah jam. Ketika itulah dia bertanya asal-usul nama pinang kontan membuatkan bonda mengerling sekilas kepada nenda. Dua beranak bijaksana itu saling membalas senyuman manis penuh makna. Menurut bonda, falsafah resipi itu ialah untuk merangsang semangat pemuda Melayu agar gagah perkasa kerana mereka mesti mempersiapkan fizikal, mental dan spiritual untuk meluaskan penguasaan kerajaan Islam di Nusantara yang berikat setia dengan Khalifah Uthmaniyah.
“Pinang tua menjadi antara kudapan para lelaki untuk meningkatkan tenaga dan daya hidup yang cergas, cerdas, tangkas serta awet muda,” hurai bonda sembari mengambil doh hijau yang sempurna mengembang setelah dibiarkan Usu tadi. Kemudian dicubitnya doh lembut itu sebesar ibu jari lalu dileperkan di telapak tangan.
Seterusnya, bonda meletakkan geguli inti kelapa ditengah-tengah doh tersebut. Kemudian doh leper itu dipaut hujungnya ke dalam sehingga membungkus seluruh permukaan inti lalu membulatkan doh sebesar gurah itu.
Keterujaan Along memujuknya menggelintar maklumat berkaitan khasiat pinang kontang. Fakta yang diperolehi menjelaskan kandungan gizi dalam 100 gram pinang tua memiliki gizi 56.7gram karbohidrat, 5.2gram protein, 10.2gram lemak, 19 miligram Thiamin (vitamin B1), 10 hingga 12 miligram Riboflavin (vitamin B2) dan 31 miligram Niasin (vitamin B3). Menurut Along, pinang tua juga mengandungi 450 miligram kalium,400 miligram kalsium, 89 miligram fosfor, 76 miligram natrium dan 4.9 miligram zat besi.
“Semua zat tersebut bermanfaat untuk meningkatkan sifat kelelakian,” ocehnya sambil berdehem mengerling Angah yang sibuk membubuh inti kelapa ke dalam doh hijau yang telah siap dileperkannya selepas melihat bonda menunjuk ajar.
RANGUP DI LUAR, LEMBUT DI DALAM
Gelak tawa mereka sekeluarga menghiasi sesi akhir penyediaan kuih piney kotey yakni salutan luarnya. Nenda meminta Usu mencedok dua sudu besar tepung beras dan tepung gandum ke dalam mangkuk kaca. Ditambahnya air perahan kunyit tumbuk seruas ibu jari dan gula garam secukup rasa lalu diaduk sebati.
Sesudah itu, bonda pun mencantumkan tiga doh hijau tadi menjadi kembar siam lalu mencelupnya ke dalam cairan kuning itu kemudian menggorengnya di dalam minyak panas hingga garing keemasan. Setelah masak, kuih kehijauan yang lembut berinti kelapa di dalam dan rangup diluar itu tak ubah kelihatannya seperti tiga butir buah pinang yang saling bertangkupan.
Menurut nenda, warna coklat inti tamsilan sifat fitrah manusia. Hijau warna doh pula melambangkan kesejahteraan Islam. Manakala salutan kuning itu pula ialah simbolik kekuasaan daulah Islamiah dipayungi raja berdaulat.
PENUTUP
Kuih piney kotey direka cipta untuk memotivasi para dai menegakkan syiar Islam dan menentang penjajahan pemikiran (ghuzwatul fikr) setangkas kuda perang. Kemuncaknya, Perdana Menteri Kelantan Sayid Ali Nurul Alam dilantik menjadi Raja Patani agung bergelar Sultan Qunbul pada tahun 1467 dan mengetuai serangan balas terhadap Siam sehingga menghancurkan kota Ayuthia. Serangan tersebut turut disertai anaknya, Laksamana Bentan Wan Demali bersama pahlawan Melaka, Hang Tuah dan Tun Mutahir serta tentera Aceh.
Manakala Wan Bo (Syarif Abdullah) pula berjaya menegakkan dua buah Kerajaan Islam Bintan dan Ceribon. Paling membanggakan, puteranya Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) ditakdirkan berjaya mendaulatkan Kesultanan Bintan Darul Masyhur pada tahun 1526. Sekali gus, menyempurnakan cita-cita datuknya, Sayid Hussein Jamadil Kubra (ayahanda) Sultan Qunbul/Sayid Nurul Alam).
Demikianlah kisah di sebalik nama juadah piney kotey yang sarat falsafah penyebaran dakwah oleh usrah diraja Kelantan gemilang sebagai penguasa Pentas Sunda (satu daratan besar di rantau Nusantara yang mengabungkan Thailand, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Filipina).
Rujukan
1. Laman sesawang Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan
2. Nuraidil Zakaria Tanah Kala: Sejarah Negeri Kelantan, Geroda Merah Press, 2017.