ASMAK

Ustazah Asmak binti Husin terkenal dan cukup aktif menyampaikan perkongsian yang bermanfaat di media sosial. Beliau adalah salah seorang pendakwah yang banyak membicarakan topik kekeluargaan dan
perkahwinan. Penerima Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith ini adalah bekas Ahli Dewan Negara yang mewakili Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 2018 sehingga 2021. Beliau kini adalah penaung
Ikhtiar Ihsan Care, sebuah NGO yang mengutamakan hal kebajikan.


Beliau yang dilahirkan pada 16 Mei 1978 adalah isteri dan suri hati kepada Ustaz Mohd Fakaruddeen bin Che Omar. Ibu kepada 3 orang putera dan 2 orang puteri ini memulakan langkah menuntut ilmu ketika usia remaja di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Kota Bharu dan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di Universiti Malaya dalam bidang Usul Fiqh. Tidak terhenti di situ, perjalanan menuntut ilmu diteruskan lagi ke peringkat sarjana dalam bidang Undang-undang Islam di Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia. Bakat dan ketokohan beliau dalam kepimpinan menonjol semenjak di sekolah lagi apabila diberi tanggungjawab sebagai ketua pelajar di MMP dan kemudian aktif di
peringkat universiti dalam pelbagai persatuan pelajar.

Dunia dakwah ini adalah dunia yang tidak asing bagi Ustazah Asmak dan adik-beradiknya. Dibesarkan oleh ibu dan ayah yang merupakan tokoh agama setempat, banyak pesanan oleh ayahnya, Ustaz Husin dan juga ibu yang membangunkan jiwa mereka ke arah dakwah, terutamanya berkaitan cara untuk mendekatkan masyarakat dengan Islam. Antara pesanan ayahnya yang tidak dapat dilupakan adalah walau sesibuk mana sekalipun, jangan lupa untuk memperuntukkan masa di masjid atau surau meskipun hanya 30 minit demi mengajar masyarakat. Pernah menjadi pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, beliau kemudiannya diberi amanah untuk memegang jawatan Ahli Dewan Negara atau lebih dikenali sebagai Senator. Semasa memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negara, beliau telah mewakili Malaysia ke pelbagai mesyuarat dan persidangan peringkat antarabangsa yang melibatkan isu wanita. Aktif sebagai pendakwah selebriti, beliau juga pernah menjadi panel tetap rancangan TV Tanyalah Ustazah, Fiqh Wanita dan Syariah Meja Bulat.


Beliau aktif menyampaikan ceramah di seluruh Malaysia serta menulis pelbagai artikel di majalah dan akhbar tempatan seperti Sinar Harian dan Utusan Malaysia. Ini menjadikan beliau berpengalaman kira-kira 20 tahun dalam menguruskan isu wanita dan keluarga. Pempengaruh media sosial yang baik sukar dicari, ini kerana terlalu ramai pempengaruh di media sosial yang suka membuat content tidak membina
dan tidak bermanfaat, tujuan mereka asalkan menjadi viral dan ramai follower. Penggunaan media sosial yang meluas kepada semua golongan pada hari ini menyebabkan influencer mempunyai pengaruh yang besar dalam gaya hidup dan cara pemikiran masyarakat. Pentingnya menjadi pempengaruh yang baik menyebabkan Ustazah Asmak Husin menggunakan teknologi IT tanpa sempadan ini seoptimum mungkin dan sentiasa berkongsi ilmu di media sosial.

Ustazah Asmak Husin yang mempunyai ratusan ribu follower di media sosial sering dijadikan rujukan anak muda terutamanya dalam isu perkahwinan dan keluarga. Beliau sekaligus menjadi pembimbing masyarakat melalui perkongsian beliau yang ‘santai tapi sampai’. Cara perkongsian beliau telah berjaya menarik minat ramai dan semoga ianya memberi manfaat kepada anak muda dan masyarakat yang sentiasa tercari-cari panduan hidup keluarga menurut Islam. Semoga Ustazah Asmak mampu mencontohi Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith dalam membawa masyarakat mengenal Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *