Belaian Agung Sang Hawa Millenial 1 (2)

Rasulullah “Ikat Kain” Pada 10 Malam Terakhir

  • 1. Menurut Saidatina Aisyah r.a, apabila tiba 10 malam terakhir, Rasulullah ﷺ akan bersungguh menggandakan amalan ibadah Baginda ﷺ.

Kata Aisyah r.a:

” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ”

“Apabila tiba sepuluh malam yang terakhir, Rasulullahﷺ akan menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejut ahli keluarga Baginda (untuk turut beribadah), bersungguh dan memperkemas ikatan kainnya.”

(HR al-Bukhari)
Gambar: Google
  • 2. Apa yang dimaksudkan oleh Saidatina Aisyah dengan “ikat kain” ini? Menurut Ibn Hajar, terdapat dua makna daripada perkataan kiasan ini. Pertama, Baginda ﷺ menjauhkan diri dari menggauli isteri Baginda ﷺ. Tafsiran ini disokong dengan hadis yang lain yang menyatakan bahawa pada tempoh ini, Baginda menumpukan kepada amal ibadah dan mengasingkan diri dari katil.
Gambar Hiasan : Pinterest
  • 3. Al-Imam al-Khattabi pula berpandangan bahawa lafaz “ikat kain” ini bermaksud, Baginda ﷺ memfokuskan diri dengan bersungguh pada amal ibadah. Ini barangkali seumpama lafaz dalam bahasa melayu seperti “menyingsing lengan” (gambaran fizikal bagi melancarkan sesuatu kerja).
  • 4. Bagaimana Rasulullahﷺ menghidupkan malam Ramadan Baginda? Saidina Huzaifah menceritakan bagaimana bersungguhnya Nabi meningkatkan amalan Baginda pada malam-malam Ramadan.
  • 5. Menurut Huzaifah, beliau pernah solat bersama Rasulullahﷺ pada malam Ramadan. Rasulullahﷺ membaca surah al-Baqarah, al-Nisa’ dan Ali Imran dalam satu rakaat. Bayangkan ketiga-tiga surah yang menelan hampir 5 juzuk dibaca dalam satu rakaat sahaja! Begitulah khusyuknya Baginda tenggelam dalam keseronokan mendirikan malam-malam Ramadan.
  • 6. Saidina Umar pula dikatakan melantik Ubai ibn Ka’b dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam Tarawih bagi kaum Muslimin. Setiap mereka membaca surah yang lebih dari seratus ayat pada setiap rakaat sehingga ada dalam kalangan makmum yang mula bertongkat kerana lamanya solat tersebut. Peristiwa ini direkodkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Muwatta’.

Moga Allah membimbing kita dalam menghidupkan malam-malam terakhir ini.

Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *