Cover Main

Masih sedikit terusik dengan tularan yang dibuat seolah-olah orang Melayu tidak pernah memberi sumbangan kepada aspek kebajikan dan dakwah Orang Asli, maka saya sambung coretan kisah pengalaman bagaimana bermulanya Persatuan Misi Kembara Dakwah.

Menyantuni dan menyebar luas ajaran Islam kepada seluruh masyarakat Orang Asli adalah menjadi tanggungjawab semua Orang Islam. Tidak seharusnya kita sebagai orang Islam meletakkan tugasan ini di atas bahu kerajaan dan Institusi Agama semata-mata.

Sejak lima tahun lalu, Persatuan Misi Kembara Dakwah telah memainkan peranan mengajak pelbagai lapisan masyarakat terutamanya anak muda untuk mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli .

Bermula daripada ahli-ahli yang mempunyai minat dan rasa tanggungjawab yang sama, Misi Kembara Dakwah terus berusaha menyebarkan dakwah dengan cara berhikmah. Asasnya, menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh ikutan dalam kehidupan sehari hari.

Kisah bagaimana Nabi Muhammad menyantuni pengemis tua berbangsa Yahudi dijadikan tauladan dan model. Sunnah Rasulullah yang sentiasa sabar dan lemah lembut melayan pengemis ini sehingga akhirnya, sang pengemis mengucapkan kalimah syahadah selepas kewafatan Baginda.

Kebajikan Orang Asli diutamakan dalam setiap misi. Pengorbanan setiap ahli dan sukarelawan hanya Allah SWT yang dapat membalasnya. Dana adalah satu cabaran pada permulaan kerja-kerja dakwah sebegini. Berbekalkan keyakinan “Allah pasti membantu orang yang ingin menolong agamanya”, maka setiap ahli memulakan pengumpulan dana dengan mengeluarkan duit poket sendiri terlebih dahulu.

Maka benarlah, pertolongan Allah jua yang telah memudahkan setiap urusan dakwah. Setiap kali kami merancang untuk melaksanakan misi dakwah ke perkampungan Orang Asli, kami pasti menerima sumbangan dana samada dalam bentuk tunai ataupun barangan keperluan dapur.

Ramai orang Melayu Islam yang sanggup menaja keperluan untuk disampaikan kepada masyarakat Orang Asli. Sumbangan adalah sebagai ‘pengganti diri’ kerana tidak dapat bersama-sama menyampaikan dakwah atas komitmen masing masing.

Persatuan juga telah mendapat perhatian perlbagai agensi kerajaan negeri apabila melihat kepada kejayaan program-program yang telah dijalankan sebelumnya. Pengurusan persatuan yang memaklumkan setiap program kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah meraih kepercayaan daripada pelbagai pihak.

Dengan kerjasama yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan Negeri serta Pusat, Misi Kembara Dakwah telah berjaya melaksanakan pelbagai misi di perkampungan Orang Asli. Pihak PKINK serta anak anak syarikat turut memberi kerjasama terutamanya dalam bantuan kewangan dan logistik seperti kenderaan pacuan empat roda yang merupakan keperluan wajib apabila memasuki perkampungan Orang Asli. Syarikat Ladang Sungai Terah menjadi agensi yang menyediakan kenderaan, penginapan dan lembu untuk ‘Cak Rakyat’ bersama masyarakat Orang Asli.

Kebanyakan ahli persatuan kami tidak mampu memiliki kenderaan pacuan empat roda. Sudah tentulah ia menyukarkan kami memasuki perkampungan Orang Asli. Sokongan dan kerjasama agensi kerajaan telah memberikan kelegaan dan membolehkan misi-misi dakwah ini dijalankan dengan sempurna.

Pernah dahulu, sewaktu awal pergerakan, kami dibantu oleh ahli-ahli persatuan kenderaan pacuan empat roda. Sokongan MAIK dalam bentuk kewangan, nasihat dan pelbagai bahan dakwah telah banyak membantu melancarkan pergerakan persatuan dalam dakwah Orang Asli. MAIK juga telah membuka peluang kepada persatuan Misi Kembara Dakwah untuk bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan lain dan universiti –universiti awam tempatan.

Siswa – siswi Melayu dari Universiti Awam tempatan banyak membantu dalam menyantuni masyarakat Orang Asli dalam aktiviti- aktiviti seperti ceramah , bengkel kemahiran, sukaneka dan ziarah .

Misi Kembara Dakwah amat berterima kasih kepada pihak agensi- agensi Kerajaan Negeri dan juga Universiti – Universiti tempatan yang banyak membantu dalam kerja dakwah dan dalam menyampaikan bantuan kebajikan pada masyarakat Orang Asli .

Kesimpulannya, sebagai menjawab tularan berita “Melayu tidak bantu dakwah orang asli” sebelum ini, saya teringat pepatah Melayu, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar“. Apabila menulis dan buat sebaran pastikan ia maklumat yang betul. Elakkan persepsi buruk dan jahat.

Tak kenal maka tak cinta !

Lapangan dakwah terbuka luas, bersama kita rasai nikmatnya .


Dr Wan Martina Bt Wan Yusoff
Aktivis Kemasyarakatan OA
Timbalan Presiden Persatuan Misi Kembara Dakwah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *