
Nuzul al-Qur’an: Titik Permulaan Hidayah untuk Seluruh Umat Manusia
Pendahuluan
Tanggal 17 Ramadan merupakan antara detik paling agung dalam sejarah umat Islam. Pada tarikh inilah berlakunya Nuzul al-Qur’an, iaitu peristiwa turunnya wahyu pertama daripada Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Turunnya al-Qur’an bukan sekadar catatan sejarah, tetapi ia menjadi titik perubahan besar kepada seluruh peradaban manusia. Mengubah cara berfikir, cara hidup dan hubungan manusia dengan Penciptanya.
Peristiwa ini bukan hanya untuk dikenang, tetapi untuk direnungi. Apa makna al-Qur’an dalam kehidupan kita pada hari ini? Bagaimana seharusnya kita menyambut dan menghidupkan semula ruh al-Qur’an dalam diri, keluarga dan masyarakat?
Persoalan yang sering bermain di minda masyarakat apabila tibanya peristiwa nuzul al-Quran adalah malam nuzul al-Quran merupakan malam turunnya al-Quran tetapi ada juga yang mengatakan al-Quran diturunkan pada malam lailatul Qadar?
Menurut S.S Datuk Dr Zulkifli bin Muhamad al-Bakri, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.
Sesungguhnya antara kemuliaan bulan Ramadan adalah berlakunya peristiwa penurunan mukjizat agung Rasulullah SAW pada bulan tersebut dan peristiwa ini dikenali sebagai nuzul al-Quran. Peristiwa ini telah dirakam oleh Allah SWT dalam firmannya:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Berdasarkan ayat di atas Ibn Kathir mentafsirkan bahawa Allah SWT memuliakan bulan puasa berbanding bulan yang lain yang mana bulan tersebut terpilih sebagai bulan turunnya al-Quran berbanding bulan-bulan yang lain.[1] .
Perbezaan antara penurunan al-Quran pada malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar adalah perbezaan dari segi kaedah penurunan al-Quran . Sesungguhnya al-Quran diturunkan secara berperingkat yang mana ia bermula dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah (langit dunia)dan seterusnya,dari baitul ‘izzah turun kepada Rasulullah SAW.[2]
Oleh yang demikian, perbezaan penurunan al-Quran di antara dua malam ini adalah seperti berikut:
Pertama, penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar ialah proses penurunan dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah atau dikenali sebagai langit dunia sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar,”
(Surah al-Qadr: 1)
Berdasarkan firman Allah di atas, Ibn kathir menafsirkan ayat ini dengan menukilkan pandangan Ibn Abbas tentang perkara ini yang mana Allah SWT menurunkan al-Quran secara serentak pada malam tersebut. Kemudian, Allah SWT menurunkan wahyu secara berperingkat kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun.[3]
Kedua, penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah SAW. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi[4]:
كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Permulaan wahyu bagi Rasulullah SAW pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”
(Rujuk al-Bidayah wa al-Nihayat: 3/11)
Malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.
Pengajaran Daripada Nuzul al-Qur’an
1. Kepentingan Ilmu dan Membaca
Perkataan pertama yang diturunkan ialah “Iqra” (Bacalah!). Ini menunjukkan betapa Islam sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan, pembacaan dan pencarian ilmu. Membaca bukan sekadar untuk dunia, tetapi untuk mengenal Pencipta.
2. al-Qur’an Bukan Sekadar untuk Dibaca
Ramai antara kita menjadikan al-Qur’an hanya sebagai bahan bacaan di bulan Ramadan, atau ketika kematian. Sedangkan al-Qur’an perlu dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan sepanjang hayat.
3. Amalan Tadabbur dan Tazakkur
Membaca al-Qur’an perlukan tadabbur (renungan mendalam) dan tazakkur (pengajaran). Allah berfirman:
“Maka tidakkah mereka menghayati (tadabbur) al-Qur’an?”
(Surah Muhammad, 47:24)
4. Kembalilah kepada al-Qur’an dalam kehidupan seharian
Menjadikan al-Qur’an sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan, keluarga, pendidikan, ekonomi, dan politik itu adalah kunci kepada kejayaan umat.
Dalam suasana dunia hari ini yang penuh cabaran isu peperangan, keruntuhan moral, ketidaktentuan ekonomi dan krisis identiti dalam kalangan remaja, al-Qur’an menawarkan panduan hidup yang tetap dan utuh. Manusia makin hilang arah kerana semakin jauh daripada al-Qur’an. Media sosial sarat dengan maklumat, tapi kurang hikmah. Maka, al-Qur’an perlu diangkat semula sebagai sumber utama kefahaman dan panduan kehidupan, khususnya dalam membuat keputusan penting dalam masyarakat dan negara.
Kesimpulan
Peristiwa Nuzul al-Qur’an bukan sekadar memperingati tarikh bersejarah, tetapi mengajak kita kembali kepada roh al-Qur’an. Ramadan adalah bulan al-Qur’an, maka marilah kita hidupkan semula hubungan kita dengan kalamullah. Bukan hanya membaca, tetapi juga memahami, menghayati dan mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan.
“Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah…”
(Surah Ali ‘Imran, 3:103)