Didik Anak Cara Islam

Anak-anak kita apabila sudah menginjak ke usia remaja memang boleh diharap sangat kerana idea mereka sentiasa segar, berani mencuba, dan mereka menjadi harapan umat. Tetapi apabila tidak kena cara, boleh demam kita menguruskan anak remaja kita yang degil, bertindak sesuka hati, pentingkan kawan, dan selalu melawan!

Buku kompilasi 365 Tip Didik Anak Remaja Gaya Rasulullah adalah hasil daripada pengalaman yang diadun dengan matlamat keremajaan dan disokong oleh dalil-dalil yang berkaitan.

Terdapat lapan bahagian dalam buku ini iaitu:

1)Mengenali Fitrah Remaja

2)Membentuk Keperibadian Anak-Anak

3)Pengurusan Akil Baligh dan Batasan Aurat

4)Komunikasi Berkesan antara Anak Remaja dan Ibu Bapa

5)Melakar Kecemerlangan Masa Hadapan

6)Mengurus Cinta Remaja

7)Membentuk Emosi Remaja

8)Bonus! 60 Tip Mengurus Penyakit Remaja

Kata-kata motivasi daripada ibu bapa sendiri

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi mengukuhkan moral anak-anak. Mereka memerlukan tempat mengadu ataupun bercerita. Kita adalah insan yang sepatutnya menjadi kepercayaan anak-anak. Bina semangat anak-anak sekiranya mereka sedang lemah dan bimbing mereka jikalau tersasar. Ibu bapa perlu kreatif dalam memberi semangat.

DALIL

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka

Surah Ar-Ra’d, ayat 11

Jom Amal

  1. Beri anak-anak motivasi dan semangat terutamanya selepas solat berjemaah ataupun ketika makan.
  2. Tuliskan kata-kata semangat pada nota kecil untuk anak-anak remaja kita. Sertakan sekali tandatangan kita dan selitkan dalam dompet ataupun beg mereka.
  3. Beritahu anak-anak apa yang membuatkan ibu bapa bangga terhadap diri mereka. Saat anak sedang bersedih ataupun ditimpa masalah, kita sebagai ibu bapa sepatutnya menjadi orang pertama bagi memberi semangat dan kepercayaan kepada mereka.

Membudayakan Ucapan, ‘Terima Kasih’

Sebenarnya perkataan, ‘Terima kasih’ begitu memberi kesan mendalam dalam hati sesiapa sahaja. Walaupun hanya dengan dua patah perkataan; ‘Terima’ dan ‘Kasih’. Ucapan ini membuatkan sesiapa sahaja berasa dihargai dan berpuas hati dengan apa yang sedang dilakukan. Apatah lagi sekiranya perkataan iru diselitkan dengan senyuman kebanggaan, pelukan kasih, dan ciuman mesra daripada ibu bapa yang mereka sayangi. Sudah tentu ia begitu berharga untuk anak-anak.

Sumber Gambar: Pinterest

Dalil

Abu Hurairah r.a berkata, Nabi Muhammad SAW menjelaskan, “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.”

Hadis direkodkan oleh Imam Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Kitab Silsilat Al-Ahadth As-Shahihah, 1/702

Jom Amal

  1. Ucapkan ‘Terima kasih’ ketika anak melakukan perbuatan baik kepada kita walau sekecil perkara sekalipun.
  2. Pada anak-anak lelaki, ungkapan yang menandakan bahawa diri mereka penting dalam keluarga sangat bermakna. Manakala, pada anak-anak perempuan, kata-kata pujian dan menyebut-nyebut kelebihan mereka menjadi sesuatu yang membina nilai diri mereka.
  3. Sentiasa ingatkan anak-anak supaya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa.
  4. Biasakan anak-anak untuk saling mengucapkan ‘Terima Kasih’ sesama mereka. Ingatkan anak-anak supaya mengucapkan penghargaan kepada insan di sekeliling mereka.
  5. Bincang dengan anak-anak perihal ucapan ‘Terima Kasih’ yang berkait rapat dengan rasa syukur kepada Allah SWT.
Sumber: Google

Dapat sesuatu?

Jom cuba terapkan dalam kehidupan seharian. Moga Allah redha.

Artikel telah disunting oleh penulis wk.com

Petikan asal boleh rujuk Buku 365 tip didik anak remaja gaya Rasulullah karya Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *