Hari Sayyidatina Khadijah 2018 telah berlangsung dengan jayanya pada 1 November 2018 yang lalu dan telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 1500 orang wanita dari seluruh Kelantan. Selain itu, tontonan secara live di media sosial pula mencecah 9500 tontonan. Pada program ini, seramai 15 orang wanita telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Kelantan bersempena dengan sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2018 (HSK 2018). Pemilihan dibuat berdasarkan sumbangan dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh para wanita tersebut dalam bidang masing-masing.
YB Mumtaz Md Nawi, ketika merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah itu berkata, sambutan itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menghargai sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh para wanita khususnya wanita Kelantan. Sambutan yang bertemakan “Agar Dirimu Semulia Khadijah” merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan telah berlangsung di Hotel Grand Renai. Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid kontemporari oleh kumpulan The Naqra’ serta Slot Sihat Aafiyat oleh Professor Madya Dr. Nik Rosmawati Bt Nik Husain. Bicara Agar Dirimu Semulia Khadijah turut diadakan yang menampilkan jemputan khas selebriti tempatan iaitu Noorkhiriah Ahmad Shapie yang popular dengan “sihir sup bunjut” dalam drama Nuur, YB Ustazah Asmak Husin (Senator/Selebriti TV9), Ustazah Hafizah Abdullah (Penceramah/Mudhirah) dan Nabihah Basri (Pemenang Akademik Pendakwah Muslimat di RTM) sebagai moderator.
Pada program ini, sebanyak 1500 kuntuman bunga telah diedar kepada para peserta yang hadir sebagai simbolik untuk menghargai peranan penting yang telah dimainkan oleh para wanita dalam masyarakat. Wajah-wajah keterujaan boleh dilihat pada para peserta apabila menerima kuntuman bunga yang diedar.
Dalam majlis ini, 7 orang dinobatkan sebagai tokoh Hari Sayyidatina Khadijah 2018 manakala 8 orang individu yang telah dinobatkan sebagai Ikon Hari Sayyidatina Khadijah 2018.
Senarai penerima untuk Anugerah Tokoh 2018:
- Tokoh Sayyidatina Khadijah Khuwailid (Usahawan) – Wan Zainab Wan Ibrahim
- Tokoh Sayyidatina Zainab Khuzaimah (Kemasyarakatan) – Hajah Ubaidah Omar
- Tokoh Al-Khansa’ Amru (Kesenian) – Datuk Hajah Faridah Mat Saman
- Tokoh Siti Aminah Abdul Wahab (Armalah) – Ustazah Mariam Omar
- Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar (Pendidikan) – Prof. Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain
- Tokoh Zinnirah Ar-rumiyah (OKU) – Siti Huraizah Ruslan
- Tokoh Khaulah Al-Azwar (Sukan) – Nur Shuhaida Mahidin
Senarai penerima untuk Anugerah Ikon 2018:
- Ikon Masyarakat – Dr. Wan Martina Wan Yusoff
- Ikon Khas (Berani Kerana Benar) – Dr. Ilyani Mohamed Nawawi
- Ikon Pendidikan – Dr. Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah
- Ikon Kesenian – Siti Nur Zafran Zainal Abidin
- Ikon Usahawan – Nini Nisrin Muhammad
- Ikon Cakna Kebajikan – Noor Haseken P.Ramlee
- Ikon Dakwah – Nurul Nabihah Ahmad Basri
- Ikon Sukan – Nurul Alyahaziqah Kamarazaman
Semoga barisan penerima tokoh dan ikon ini, mampu menjadi role model buat wanita Kelantan yang lain supaya memacu mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan berusaha dengan lebih gigih dan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Untuk melihat lebih banyak foto, layari Facebook U-KekWa dan juga Facebook Hari Sayyidatina Khadijah