Nama saya Abeeda. Bonda saya kata, saya ini berwajah polos. Jujur dan kadang-kadang agak lurus bendul. Menjadi anak bongsu dalam keluarga, saya diberi perhatian lebih oleh bonda dan ayahanda juga.

Saya ada dua orang kakak. Kakak sulung saya yang bernama Rahida, baik dengan saya tapi bersebab. Kakak tengah saya yang bernama Khalida pula cengih dengan saya. Saya sudah banyak kali cuba berbaik dengannya tapi balasannya tetap dingin. Hanya berkomunikasi dengan saya apabila bonda menyuruhnya.

Bonda tidak pernah tinggalkan saya. Pernah saya bertanyakan kepadanya, “Mengapa bonda terlalu risaukan saya?” Sering kali itu jugalah jawapan bonda tetap sama, “Sebab kamu anak istimewa di hati bonda dan bonda takkan persiakan kamu.” Saya acap kali tersenyum mendengar jawapan bonda itu.

Namun lain pula dengan kak Khalida. “Kamu jangan ingat kamu tu istimewa sangat. Kamu tu lembap. Dulu, orang lain sudah kenal Z tapi kamu masih bertatih mengenal B dan D. Orang lain sudah boleh menulis satu perenggan karangan, kamu masih berlatih menulis batu dan tuba. Itu bukan istimewa namanya, tahu? Itu lembap!”

Pang! Satu penangan daripada tangan gagah ayahanda singgah di pipi mulus Kak Khalida pada satu petang. Ya, saya petang itu yang saya sendiri tidak sedar puncanya. Kak Khalida tiba-tiba menyergah saya dengan ledakan kemarahannya seperti ledakan gunung berapi yang pernah saya tonton dalam rancangan National Geographic.

Merah menyala, membara-bara. Namun ketika ledakan itu meletus, saya tidak pula berlari sekuat-kuat hati seperti larinya orang ramai apabila lava mula mengalir keluar di kaki gunung berapi. Saya hanya mendengar satu persatu frasanya.

Rupa-rupanya, menurut bonda, Kak Khalida sangat marah apabila ayahanda membelikan saya sebuah komputer riba tanpa dipinta. Sebaliknya, Kak Khalida yang sudah lama mengingininya tidak pula dibelikan ayahanda. Kata bonda, “Ayahanda belikan kamu sebab tidak mampu ketinggalan. Ayahanda tidak belikan Kak Khalida sebab dia boleh pergi ke kelas komputer dan belajar bersama orang lain. Ayahanda mahu kamu belajar di rumah.”

“Mengapa saya tidak boleh pergi ke kelas dan belajar bersama orang lain. Tetapi ayahanda sayang kamu, dia tidak mahu kamu ketinggalan. Itu sahaja.” Bonda mengusap-usap belakang saya sambil di matanya ada genangan air mata yang tidak pernah gugur di hadapan saya. Bonda senyum semanis-manisnya kepada saya.

Saya ada guru yang dikhaskan untuk mengajar saya. Terutamanya bagi maya pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik. Sudah banyak kali ketika cikgu Aliza mengajarkan bahasa Melayu, saya berlari keluar kelas dan menyorok di belakang Pustaka Ilmu. Menangis.

Bukan kerana saya kena marah. Cikgu Aliza sangat sabar mengajar saya, cuma saya yang tidak sabar ketika belajar. Saya kurang suka membaca dan menulis. Saya lebih suka aktiviti permainan dan mendengar cerita.

Cikgu Aliza meminta saya menulis perkataan ‘batu’ di papan hitam. Tetapi, entah mengapa saya akan menulis ‘tuba’. Cikgu Aliza tidak marah. Kemudian, dia yang penuh sifat sabar menyuruh saya menulis ‘gula’. Tetapi, entah mengapa saya menulis ‘lagu’.

Dua kali Cikgu Aliza membetulkannya tetapi saya tetap juga menulis yang salah. Dek kesalahan yang banyak saya lakukan, saya jadi malu sendiri walaupun tiada siapa yang tertawakan saya, saya lari keluar kelas. Saya jadi marah terhadap diri sendiri.

“Tenanglah, kamu tidak boleh cepat berputus asa. Cikgu yakin kamu budak bijak.” Cikgu Aliza yang sudah tahu tempat persembunyian saya setiap kali melarikan diri dari kelas, cuba menenangkan saya sambil mengusap-usap belakang saya.

“Tidak, kamu tidak lembap. Kamu cuma lambat sikit itulah yang menjadikan kamu istimewa daripada orang lain.” ” Bagaimanaa yang dikatakan istimewanya saya?”

Kamu lebih hebat dan cepat menghafal daripada orang lain. Buktinya, kamu selalu mendapat nombor satu dalam pertandingan bercerita dengan cara menghafal setiap ayat cikgu bacakan kepada kamu.”

Saya kembali tersenyum dan bangga. Ya benar! Saya hebat menghafal.

*******************************************************************

Itu kisah zaman kecil saya. Kini, dalam kelembutan dan ketenangan tiupan angin malam ini, saya bukan lagi budak yang mudah menangisi kekurangan diri. Kekurangan yang saya rasakan dulu, saya pusingkan menjadi pemangkin untuk berjaya dan menjadi jauh istimewa daripada orang lain.

Kini saya novelis terkenal. Bonda dan ayahanda bangga dengan pencapaian saya. Mereka tidak lagi risau. Saya sudah dibenarkan ayahanda untuk menghadiri apa jua kelas bersama orang lain. Kak Khalida juga tidak marah-marah lagi. Malah turut mempromosikan novel-novel saya di laman sosialnya. Kak Rohida tidak lagi baik dengan saya hanya bersebab. Sebaliknya, dia sentiasa menemani saya jika ada kerja-kerja promosi.

Saya lambat baca dan menulis dahulu bukan sebab saya lembap. Saya cuma menghadapi kesukaran untuk mengingat dan mengenal abjad, dan konfigurasi perkataan. Saya juga cenderung untuk menterbalikkan apa jua yang saya tertulis di hadapan saya.

Saya juga selalu merasakan perkataan yang ada di hadapan saya akan berpusing-pusing dalam susunannya. Sebab itulah, ‘gula’ saya baca sebagai ‘lagu’, ‘bat’ saya baca sebagai ‘tab’, dan nombor 5 akan bertukar dengan nombor 8. Sebab itu jugalah, saya lebih hebat menghafal melalui penceritaan orang lain dan bukannya melalui pembacaan saya sendiri.

Itulah disleksia. Satu masalah pembelajaran dalam mengenal huruf, membaca, menulis dan mengira. Cara otak saya bekerja seidkit berbeza daripada cara otak orang lain bekerja. Saya menarik nafas dalam-dalam setiap kali mengenang kembali proses kedewasaan saya.

Sedikit sukar daripada orang lain. Sedikit mencabar daripada orang lain. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Setiap jadian, ada hikmah daripada-Nya. Allah tidak pernah menciptakan sesuatu tanpa tujuan. Dan tujuan saya diciptakan adalah supaya penghidap disleksia yang lain terdorong untuk tidak terus menangisi kelemahan diri . Penghidap disleksia juga manusia, punya hati dan perasaan, punya ruang dan peluang untuk berjaya.

Damai angin malam ini mata saya terasa kantuk. Selamat malam, alam. Oh ya, nama saya bukan Abeeda, tetapi Adeeba. Terkadang masih terkhilaf beza antara ‘d’ dengan ‘b’.

Cerpen yang ditulis oleh I.L.I

Sumber :

Majalah Demi Cinta (Bukan Susah Menjadi Solehah) Keluaran Telaga Biru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *