Al Quran Surat Cinta Ilahi (1)

Sebenarnya, apakah maksud Nuzul al-Quran?

Gambar Hiasan : Pinterest

Nuzul al-Quran bermaksud turunnya al-Quran. Dalam al-Quran ada banyak ayat turunnya al-Quran. Antaranya surah al-Qadr dan Surah al-Isra’ ayat 1.

Kenapa Allah S.W.T selalu menceritakan mengenai turunnya al-Quran? Kenapa pentingnya al-Quran diturunkan? Kenapa diceritakan al-Quran diturunkan pada waktu malam dan dari tempat yang jauh?

Gambar Hiasan : Pinterest

Bila ingat Nuzul, tolong ingat 3K. Apa itu 3K? Nuzul ini ada kesan apabila kita sebut turun.

Kesan yang pertama apabila sebut al-Quran turun adalah kerendahan.

Maksudnya bila guna bahasa turun, hal ini bermaksud diturunkan daripada tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Kalau dari tempat rendah ke tempat tinggi itu bukan turun tetapi istilah daki. Jadi, turun itu bermaksud datang dari tempat yang Maha tinggi.

Persoalan, siapa yang di tempat yang rendah?

Rendah ini disebut dalam bahasa arab, ‘Adna’. Jadi tempat kita duduk ini dipanggil ‘Dunia’ iaitu tempat yang teramat rendah. Ada pengalaman atau tidak apabila duduk di suatu tempat yang rendah kemudian mahu berkomunikasi dengan seseorang yang berada di tempat yang tinggi? Ini menunjukkan, bila kita menyambut Nuzul al-Quran dan membaca al-Quran, perlu diingat bahawa kita ini sangat rendah dan hina. Kita juga tidak punya apa-apa kemuliaan melainkan hanya dengan al-Quran yang diturunkan dari tempat yang tinggi. Al-Quran akan meninggikan kedudukan kita.

Masih ingatkan malaikat apa yang menurunkan al-Quran daripada tempat yang tinggi?

Gambar Hiasan : Google

Namanya adalah malaikat Jibril. Nama lain kepada malaikat Jibril antaranya adalah Ar-Ruh. Kenapa nama Ar-Ruh? Sebab malaikat Jibril membawa al-Quran yang Allah juga namakan sebagai Ar-Ruh. Ruh ini merujuk kepada nama malaikat yang membawa al-Quran. Ar-Ruh juga merujuk kepada nama al-Quran itu sendiri.

Maka yang bawa turun itu juga turut dapat bau wanginya al-Quran.

تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ

Maksudnya: Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)

(Surah al-Qadr ayat 4)

Masih ingat cerita Nabi Adam a.s?

Ketika Nabi Adam a.s diciptakan daripada tanah, memang tidak ada nilai dan sangat rendah. Memang sangat hina sebab baginda adalah tanah yang tidak bergerak. Baginda daripada tanah yang dipijak-pijak dan kotor.

Kemudian masih ingat, Allah perintahkan malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s? Tetapi, bilakah malaikat diperintahkan sujud oleh Allah yang bila mana iblis engkar? Maka, malaikat ini telah sujud kepada Nabi Adam a.s selepas Allah yang Maha Sempurna dan Maha Tinggi meniupkan roh ke dalam Adam a.s. Kalau Allah tidak tiupkan roh kepada Nabi Adam a.s, nescaya Nabi Adam a.s tidak dapat hidup. Kalau roh tidak ditiupkan, Nabi Adam a.s akan berada dalam keadaan hina, tidak akan bangun, bergerak dan tidak akan menjadi manusia yang sempurna dan juga khalifah. Tetapi, setelah ditiupkan roh, malaikat sujud hormat. Bila ditiupkan roh, Nabi Adam a.s bahkan dimuliakan sehingga lebih mulia daripada para malaikat. Hanya kerana ditiupkan roh, Nabi Adam a.s menjadi semulia-mulia makhluk ciptaan Allah Azzawajalla.

Perkaitan di sini, bila malaikat Jibril ditugaskan membawa al-Quran lalu digelar Ar-Ruh. Manakala, sekiranya kita tidak membaca al-Quran, kita ini hina sebagaimana sewaktu Nabi Adam a.s tidak dimasukkan roh. Maknanya tidak ada kemuliaan.

Tetapi, apabila kita membaca al-Quran, umpama sebagaimana Allah S.W.T meniupkan roh dalam diri kita lalu kita menjadi manusia yang mulia. Malangnya, masih ramai dalam kalangan kita menganggap tidak mengapa untuk tidak membaca dan memahami makna al-Quran.

Berbalik kepada di manakah penciptaan Nabi Adam a.s. Nabi Adam a.s diciptakan di syurga yang merupakan tempat yang tinggi. Hal ini membuktikan, kita ini berasal dari tempat yang tinggi. Sebab syurga adalah tempat di mana moyang kita yang pertama diciptakan oleh Allah. Syurga itu umpama kampung halaman kita. Ini sebab Allah ciptakan manusia yang Bernama Nabi Adam dan Hawa a.s.

Kita semua ini pernah berkumpul di alam roh (Syurga) sebelum berpindah ke alam rahim ibunda kita.

Gambar Hiasan: Pinterest

So, bila kita baca al-Quran, kita akan dapat merasakan ketenangan. Siapa baca al-Quran, dia akan dapat perasaan ahli syurga. Tetapi, baca sahaja belum tentu kerana kita perlu cuba memahami al-Quran itu sendiri. Al-Quran perlu dibaca dengan bimbingan guru-guru. Jangan terlalu mengejar baca beberapa halaman sehingga tidak memahami makna bacaan.

Ahli syurga ini tidak ada sebarang duka cita. Mudah-mudahan kita semua dapat menjadi penghuni syurga di akhirat nanti. Itu K yang pertama buat pedoman kita semua.

K yang kedua adalah kegelapan.

Bayangkan kita berkomunikasi dengan orang yang tinggal di apartment tingkat 30. Mereka mengatakan ada banjir atau tsunami hendak datang. Kita yang berada di tingkat bawah ini hendak percaya atau tidak? Sudah pasti kita percaya.

Manakala, sekiranya kawan yang berada di sebelah kita dalam kereta yang sama pula yang mengatakan ada ombak besar atau tsunami hendak datang, sudah pasti kita tidak akan percaya. Kita pun ambil tindakan ke atas dia kerana hendak menipu tidak bertempat. Kita anggap dia menipu kerana di sekeliling kita itu dikelilingi oleh bukit bukau nan indah, dan tidak nampak apa-apa pun kebarangkalian untuk tsunami. Hal ini menunjukkan asbab si dia berada satu paras dengan kita.

Makin tinggi, makin nampak bahaya lebih awal. Bila Allah sebut al-Quran dibawa dari tempat yang tinggi menunjukkan makin banyak kita membaca al-Quran, makin banyak kita nampak apa yang orang lain tidak nampak.

Gambar Hiasan : Pinterest

Sebab kita macam naik lift apabila kita membaca al-Quran. Tindak-tanduk orang dalam bahaya adalam mereka akan buat persiapan untuk menghadapi bahaya, setuju?

Adakah sama orang yang diberitahu ada kebakaran dengan orang yang tidak nampak dia sedang ditimpa kebakaran?

Jadi, ini kesan orang yang membaca al-Quran umpama kita berada di tempat yang rendah (kegelapan), kemudian Allah menyelamatkan kita agar terus berwaspada kerana Al-Quran adalah kalamullah yang penuh dengan petunjuk.

Apa bahaya dalam al-Quran yang semua orang akan hadapi?

Di situlah hari pembalasan yang dipenuhi dengan ancaman bahaya. Sekarang ini kita tidak merasa bahaya. Tetapi ingat di sana nanti, tiada orang yang akan terkecuali. Setelah bangkit dari kubur, semua orang akan menghadapi bahaya kecuali orang-orang yang telah membuat persiapan dan menbuat bekalan.

Jadi, kita kena ikut petunjuk dalam al-Quran. Al-Quran umpama suara dari tingkat 30, puncak Gunung Kinabalu ataupun satelit yang memberi amaran kepada kita akan ancaman bahaya yang akan berlaku supaya kita bersedia dan cuba pergi ke tempat yang selamat.

Al-Quran juga umpama waze. Ia memberikan Hudan ataupun huda. Huda bemaksud direction supaya kita tidak mengalami kemalangan.

Point yang ketiga adalah Kecintaan.

Bila Allah kata kami turunkan al-Quran, ini bermaksud Allah yang Maha Tinggi telah mendatangkan al-Quran kepada kita.

Cuba bayangkan anda menerima satu kotak hadiah yang anda tidak ketahui apakah isi di dalamnya. Tetapi, alamat yang dituju adalah rumah dan nama anda. Anda tertanya-tanya akan kotak tersebut kerana anda tidak order dari mana-mana sama ada Lazada, Shoppe dan sebagainya. Lebih peliknya, alamat sender adalah jauh daripada Malaysia. Apa perasaan anda? Sudah pasti ada berdebar dan penuh dengan tanda tanya.

Apa yang lebih anda teruja ataupun excited adalah apabila sender sebut di kotak itu satu statement, “Anda pasti sangat memerlukan barang ini”. Bayangkan ketika itu anda adalah pengidap satu penyakit berat, agak-agak apakah barang di dalam kotak itu. Barangkali, barang di dalam kotak itu adalah ubat. Kita jadi teruja.

Gambar Hiasan : Pinterest

Jadi, begitulah perumpamaan kepada al-Quran itu sendiri yang datangnya dari tempat yang amat tinggi dan jauh untuk kemaslahatan kita.

Allah turunkan al-Quran sebagai surat cinta-Nya kepada kita semua.

Kesimpulan

Gambar Hiasan : Pinterest

Apabila kita memahami 3K iaitu kerendahan, kegelapan dan kecintaan. Kita adalah hina dan lemah tanpa ruh dan al-Quran. K yang kedua iaitu kegelapan, apabila kita berada di tempat yang rendah, kita tidak nampak macam orang dekat atas. Kita dalam kegelapan. Kita tidak nampak bahaya. Al-Quran beritahu bahaya itu. Untung bagi orang yang menyediakan bekalan. K yang ketiga adalah kecintaan.

Bila al-Quran datang dari tempat yang tinggi dan jauh, ini menunjukkan kamu tidak ada solusi sendiri untuk menyelesaikan masalah. Kamu perlukan bantuan untuk selesaikan masalah kami. Maka, Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim datangkan kecintaan atau Surat Cinta) lalu diturunkan al-Quran, dan mengajar kita berkomunikasi untuk mendapatkan hajat keperluan kita. Allah sangat penyayang lalu menurunkan al-Quran kepada kita. Allah Maha Pakar dan expert mengenai kita.

Semoga bermanfaat

Sumber: Ceramah Nuzul al-Quran