Kerjaya : Kursus Untuk Wanita Di Kelantan
Copy Of Copy Of Try 1

Sebut sahaja tentang Akok, Jala Mas, Lompat Tikam, serta Nasi Kerabu, Nasi Dagang, pasti sahaja akan membangkitkan selera para jelata Darul Naim dan juga para pengunjungnya yang datang dari segala ceruk rantau, demi menikmati limpahan rezeki kurniaan-Nya yang tidak pernah putus di bumi Serambi Mekah ini. Tidak dapat dinafikan lagi juadah-juadah ini amat memikat selera dek rasanya yang sungguh ‘mouth-watering’, serta warna-warninya yang ‘vibrant’ dan mempesonakan, dan juga tradisi cara pembuatannya masih dikekalkan warisannya semenjak zaman dahulu kala lagi. Jelaslah, juadah Kelantan ini menunjukkan isyarat bahawa tradisi di Kelantan masih kekal gah, walaupun di negeri lain sudah cuba meniru barat dan tradisi luar untuk dibudayakan oleh jelatanya, serta menunjukkan lagi isyarat bahawa inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai ‘Jelapang Makanan Negara’ masih kekal relevan dari sudut keaslian tradisi makanan di Kelantan yang bahkan menjadi warisan untuk diangkat di peringkat negara.

Namun, di sebalik kelazatan dan warna-warni juadah Kelantan, terdapat para penggerak yang memainkan peranan penting di sebalik tabir. Mereka bersengkang mata di hujung malam, serta menggemblengkan tenaga untuk menghasilkan juadah-juadah ini, agar paginya dapat meneruskan lagi tradisi juadah yang bagaikan ’emas’ ini, serta memastikan agar tradisi ini tidak mati ditelan zaman. Tidak lain tidak bukan, mereka adalah para wanita Kelantan, yang menjadi tonggak dan penggerak utama bagi memastikan tradisi juadah negeri ini kekal gah di persada negara. Mereka dibekalkan dengan kecekalan, kesungguhan serta jati diri yang kuat demi memastikan generasi ini masih kenal akan tradisi juadah di Darul Naim, serta memastikan jelata di Darul Naim masih kekal bersantap dengan juadah yang menjadi identiti dan kebanggaan negeri ini.

Tidak hanya menghasilkannya dengan berseni di dapur sahaja, bahkan kebanyakan wanita Kelantan turut turun berniaga hasil air tangannya, demi menyara hidup keluarganya. Kebanyakan peniaga di Pasar Siti Khadijah yang termasyhur didominasi oleh para wanita sememangnya mewarnai pasar dengan aneka juadah tradisi Kelantan serta aromanya yang enak, telah berjaya memukau mata para pengunjung, terutamanya dari luar negara. Testimoni menunjukkan bahawa ramai pengunjung dari luar negara yang merasai juadah tradisi Kelantan di Pasar Siti Khadijah menyatakan bahawa juadah Kelantan terlalulah enak, bahkan beratnya semakin naik dek terlalu asyik dengan keenakan juadah di Kelantan.

Secara langsung atau tidak, para wanita yang menjadi tonggak penting dalam mengangkat martabat gastronomi atau juadah negeri Kelantan turut juga memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi negeri, serta pelancongan di Negeri Cik Siti Wan Kembang, la bukan sekadar mencari sumber pendapatan, bahkan kesan yang bertali atau ‘domino effect’ daripada air tangan para Wanita Kelantan amat penting untuk diperhatikan di negeri ini, agar kebajikan mereka tidak terabai supaya jasa mereka masih dapat diteruskan demi kemampanan tradisi serta budaya yang menjadi jati diri bagi Darul Naim tidak hilang ditelan zaman yang semakin ‘membarat’ kini.

Di bawah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, terdapat Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah (PLWOA) yang menawarkan berbagai inisiatif kepada wanita kelantan untuk meneruskan tradisi juadah negeri termasuklah inisiatif Kelas Kulinari yang menawarkan tutorial dan praktikal penghasilan juadah Kelantan seperti kuih-muih Nasi Manis, Pulut, Kek Batik dan berbagai lagi jenis makanan tradisi Kelantan, sebagai langkah yang proaktif untuk melahirkan wanita yang mahir dalam meneruskan tradisi juadah di Negeri ini, agar tidak ditelan oleh arus zaman, serta dapat merealisasikan lagi matlamat Kerajaan Negeri Kelantan bagi inisiatif ‘Kelantan Jelapang Makanan Negara’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *