November adalah bulan Keluarga Malaysia. Keluarga merupakan teras kepada masyarakat sejajar dengan pelancaran Keluarga Malaysia. Matlamat kita di dunia ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T sebagaimana firmanNya kepada orang beriman untuk menjaga diri dan ahli keluarga agar boleh masuk ke syurga bersama-sama. Namun persoalannya bagaimana persekitaran yang kita hendak bawa dalam keluarga kita agar seindah syurga.
Bila kita sebut tentang keluarga, ia terbentuk atas dasar satu ikatan perkahwinan. Ia bermula dari tangan seorang lelaki menjabat tangan walinya, ‘Aku terima nikahnya sekian-sekian dengan mas kahwinnya.’ ‘Sah’. Bermula saat itulah berlayarlah sebuah keluarga. Namun persoalannya hendak berlayar ke mana? Apa matlamat keluarga ini?
Setiap dari kita sudah pasti ingin mencapai kebahagiaan. Kebahagian yang hakiki apabila kita peroleh syurga di akhirat bersama-sama dengan seisi keluarga. Perkahwinaan dambaan juga apabila kita peroleh keredaan Allah S.W.T terutama dengan mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Kemudian, tidak lain dan tidak bukan, ianya merupakan fitrah semulajadi manusia itu sendiri yang memerlukan pasangan dalam membentuk keluarga.
Maqasid syariah ada menyatakan betapa pentingnya menjaga maruah dan keturunan dalam islam.
Allah S.W.T berfirman dalam Surah At-Tahrim ayat yang ke-6:
‘Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.’
Hal ini bermula dengan menjaga diri kita. Kemudian keluarga, masyarakat dan seterusnya sebuah negara. Sebenarnya, perkahwinan itu adalah satu ibadah yang panjang. Bermula daripada akad nikah sampailah akhir (kematian atau berakhir perkahwinan).
Paling penting nilai kekeluargaan yang berteraskan iman dan taqwa. Kemudian, sejajar dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang berteraskan kasih sayang, akhlak, sejahtera, sihat, berilmu, dan harmoni.
Ikatan perkahwinan adalah suatu ibadah. Bila sebut ibadah, ia diikat dengan tanggungjawab. Kalau tidak ada tanggungjawab, ibadah itu akan menjadi satu perkara yang sia-sia dan tidak memberi sebarang manfaat. Keluarga ini dibina dengan seorang lelaki yang menjadi ketua dan nakhoda yang akan bimbing keluarga. Apakah tugas seorang ketua keluarga?
Dalam Islam, teras kepada hebat sebuah keluarga itu dari sudut luarannya adalah bagaimana hebatnya insan bernama suami atau ayah bertindak. Kalau dilihat juga kepada para anbiya’, merekalah yang paling banyak berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat keturunan yang soleh. Terdapat banyak surah yang menyebut antaranya Surah Ibrahim, Luqman dan kisah Nabi Yaakub juga ada merakamkan mengenai siri doanya mendoakan akan kesejahteraan anak-anaknya.
Apa yang penting, peranan seorang ayah bukan menjadi seorang yang diktaktor, membuta-tuli dan sewaktu dengannya. Tetapi, adalah berdasarkan kepada apa yang dibawa oleh Allah S.W.T dalam al-Quran dan apa yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Antaranya, Surah Luqman (Ayat 13-19) banyak menekankan kepentingan pendidikan anak-anak.
Ibnu Qayyum ada menyebut, ‘Maka telah rosak anak-anak di atas kesan kelekaan dan kelalaian ayah-ayah mereka.’ Dalam bab masalah anak-anak adalah berpunca daripada kita sebagai orang lelaki. Cemburuilah di ketika mana anak kamu tidak ada di hadapan kamu.
Antaranya, jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Seterusnya, bagaimana Luqmanul al-Hakim mengajar dan mendidik anak-anak supaya hormat ibu bapa. (Ayat 14-15). Kemudian, pesanan beliau kepada anak-anaknya supaya ingat Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
Penghujungnya, mestilah cakna adakah anak-anak sudahkah melakukan ibadah solat. Kes ini banyak dalam kalangan kita yang terlepas pandang.
Keluarga Malaysia yang telah dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sempena ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 pada 22 Ogos 2021 dan dilancarkan pada 23 Oktober 2021.
3 Teras konsep keluarga Malaysia yang telah diangkat.
- Nilai Keterangkuman. Ada 7 nilai. (Menyemai budaya integriti, amanah, prinsip keadilan, amalan bermusyawarah, budaya ilmu, budaya komunikasi berhemah dan membina akhlak mulia) dalam anggota keluarga.
- Nilai Kebersamaan. Nilai kebertanggjawaban terhadap keluarga, amal ihsan, suasana harmoni, menjaga kehormatan, menjaga maruah keluarga dan menyemai semangat, keamanan dan kesejahteraan.
- Nilai Kesyukuran. Beriman, membudayakan amalan sihat secara fizikal. Mengekalkan tradisi adat kekeluargaan, kasih sayang dan juga hormat-menghormati.
Bila peranan seorang ayah untuk membantu mendidik anak dan keluarga. Isteri juga tidak kurang banyak tanggungjawab sepanjang membesarkan anak-anak. Bagaimana cara mengurus yang baik tanggungjawab dan taklifan sebagai isteri, ibu dan sebagai seorang ibu yang bekerja.
Contoh terbaik adalah dari baginda Nabi Muhammad S.A.W. Dalam kita membina keluarga ini, apa yang paling penting adalah niat sebelum berkeluarga. Sepanjang tempoh pelaksanaan, kita kena faham bahawa ini adalah satu amanah dan tanggungjawab Allah bagi kepada kita. Jadi, para ibu dan ayah, layanilah sebanyak mungkin suami atau isteri kita serta anak-anak kita kerana Allah. Dari hati yang ikhlas inilah dengan izin Allah akan melahirkan kemuliaan dan tindakan yang baik.
Seorang ibu atau isteri sebenarnya besar peranannya semenjak mengandung, menyusukan anak dan melahirkan anak. Begitu juga peranan si suami atau ayah. Dalam melaksanakan tugas ini, apa yang paling penting bagi kita adalah bagaimana kita menguruskan masa dan hubungan dengan Allah mesti dijaga. Apabila kita telah selesaikan hubungan kita dengan Allah, Allah akan mudahkan urusan kita dengan manusia.
Begitu juga dalam keluarga terutama mereka yang mempunyai anak-anak yang ramai. Islam mengajar kita setiap kali selepas solat, ibu bapa tidak meninggalkan doa kepada anak-anak. Hal ini supaya Allah S.W.T menganugerahkan kepada kita dan anak-anak kita pasangan hidup yang menjadi penyejuk pada mata kita. Semoga dijadikan kita pimpinan yang baik bagi orang yang bertaqwa.
Selain itu, pentingnya komunikasi yang baik. Sentiasalah mengucapkan terima kasih, meminta maaf kepada ahli keluarga, budayakan akhlak yang mulia, didik anak dengan akhlak yang baik dan sentiasa libatkan ahli keluarga dalam melakukan kerja rumah. Insya-Allah, jika kita laksanakan dengan penuh keikhlasan, ikut sunnah nabi Muhammad S.A.W, dengan doanya yang tidak putus-putus, disiplinkan anak-anak semenjak kecil lagi, moga-moga Allah S.W.T permudahkan segala urusan kita.
Semoga anak ini akan menjadi pembantu kita bukan setakat di dunia, mendoakan kita apabila kita sudah tiada, bahkan menjadi asbab kita masuk syurga Allah di akhirat kelak.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Apabila berlaku sedikit pergeseran dalam rumah tangga, bagaimanakah kaedah terbaik untuk menguruskannya secara berhikmah?
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Doa adalah sangat penting. Kekuatan doa ini tidak ada hijab. Terutamanya doa yang datang dari kedua-dua ibu dan bapa kerana Allah S.W.T sentiasa mendengar dan melihat.
Pertama, tafahum (Kefahaman). Maksudnya saling faham-memahami di antara satu sama lain. Jika konsep ini tidak ada, pergaduhan boleh terjadi walaupun disebabkan sekecil-kecil perkara.
Kedua, tolak ansur dan budi bicara dalam rumah tangga. Rezeki itu adalah datang daripada Allah S.W.T untuk dikongsi bersama pasangan. Jangan rasa mendabik dada, atau sombong.
Ketiga, tolong-menolong di dalam rumah tangga. Nabi sentiasa tolong isteri walau berada di rumah.
Terakhir, redha dengan pasangan yang ada. Insya-Allah semoga dengan keredhaan ini, pasti tidak akan ada sebarang masalah bilangan penceraian dalam negara kita.
Artikel disediakan oleh penulis wk.com
Boleh terus ke link asal FB Page Forum Perdana Ehwal Islam